33. Dinosaur!

 



33. Dinosaur!

Aku perasan buku-buku yang Hamza pinjam di perpustakaan, separuhnya adalah buku-buku tentang dinosaur. Mainan dia juga akan ada satu dua yang bentuk dinosaur ini. Budak lelaki kalau main dengan permainan dinosaur akan nampak aksi kasar seperti dinosaur sedang makan atau berlawan. Ha ha ha baju tidur, baju jalan pun ada gambar dinosaur, baru aku perasan.

Aku ingin tahu kenapa kebanyakan budak-budak suka sangat dengan dinosaur ini. Jadi aku mulai Google dan dapati beberapa jawapan yang mengejutkan. Rupa-rupanya sudah ada kajian tentang kenapa budak-budak suka sangat dengan dinosaur dan ini sebahagian yang aku rangkumkan.

Buku-buku tentang dinosaur kebanyakan warnanya menarik, lukisan dinosaur yang cantik, muka dinasour yang tidak menakutkan atau adakala nampak senyum. Ini membantu anak-anak kecil berangan dan berimiginasi tentang hidupan ini, alam sekitarnya dan kekuatan atau kuasa yang dinosaur ini ada. Ini semua merupakan permulaan minat anak-anak kepada dinosaur.

Ada penyelidik berpendapat bahawa perasaan ingin tahu dan kalau boleh hendak temui dinosaur merupakan naluri yang ada pada anak-anak. Kita telahpun disajikan dengan cerita-cerita filem tentang dinosaur ini. Replika dinosaur yang besar dan boleh bergerak juga telah banyak direka cipta untuk tontonan kita semua. Anak-anak tahu suatu masa dulu dinosaur pernah wujud, hidup dan mati. Anak-anak ini secara tidak langsung mempelajari tentang bumi, kehidupan dan alam semulajadi.

Makhluk yang luar biasa ini sangat menarik. Dengan membaca anak-anak akan tahu bagaimana species ini muncul dan hilang. Bagaimana ia menyesuai dan mempertahankan dirinya. Secara tidak langsung mereka akan memahami garis masa kehidupan di bumi ini. Zaman Triassic, zaman Jurassic dan zaman Cretaceous yang mana aku pun dapat garisan masa ini dari buku yang Hamza pinjam.

Menurut kajian anak-anak yang taksub dengan dinosaur ini mereka akan membaca dan mendapatkan sebanyak ilmu tentang dinosaur dan proses ini mengembangkan pengetahuan mereka. Kita akan dapati mereka akan tekun mempelajari serta memberi perhatian terhadap ilmu berkaitan dinosaur ini. Anak-anak bila berminat akan cuba menyebut perkataan dengan betul dan ini membentuk kemahiran linguistik yang lebih baik. Secara tidak langsung minat ini membantu mereka memproses maklumat dengan lebih mendalam. Lama kelamaan kaedah belajar mereka akan menjadi lebih baik. Penyelidik juga mengatakan ini merupakan strategi pelajaran masa depan dan juga ia merupakan satu cara melahirkan anak-anak pintar.

Cuba beri anak-anak anda yang berumur bawah 7 tahun buku dinosaur. Adakah mereka berminat?



#tamat


32. Membaca Buku!

 


32. Membaca Buku!

Kenapa orang kata banyak membaca bertambah ilmu pengetahuan? Setakat ilmu sajakah atau ada apa lagi yang kita perolehi apabila kita membaca?

Jadi aku cuba mencari jawapannya dengan mengGoogle dan tengok apa aku dapat. Dalam 0.02 saat sahaja Google bagi aku 5 juta lebih hasil carian tentang “reading”. Ramai orang yang menulis tentang membaca ini, tetapi macam-macam cerita laa. Bila search “important of reading” maka hasilnya berkurang kepada 313 artikel.  

Apakah yang mereka katakan, tentang kepentingan membaca! Banyak rupanya. Ada yang bagi 10, ada yang bagi 20 dan ada yang bagi hingga 45 kepentingannya. Hasilnya aku rangkumkan begini;

Kadang-kadang ibu bapa tahu akan kepentingan membaca kepada anak-anak tetapi mereka tidak menyediakan buku untuk dibaca. Bagi membantu penulisan yang baik bagi anak-anak adalah dengan mereka banyak membaca. Membaca meningkatkan perbendaharaan kata mereka. Baca sahajalah buku apa yang mereka suka dan minat. Pinjam dari perpustakaan jika tidak mampu untuk dibeli. Sesetengah orang rasa pelik untuk meminjam buku dari perpustakaan kerana ada ibu bapa yang langsung tidak pernah masuk ke perpustakaan awam. Mungkin ada yang lebih terkejut jika dapat tahu sesetengah perpustakaan awam ada café di dalamnya.

Membaca buku menjadikan otak kita aktif. Otak kita berkemampuan untuk lebih berfikir. Ia menajamkan fikiran kita dan menghasilkan idea. Kalau kita selalu senaman untuk hasilkan otot-otot atau muscle kita menjadi besar dan kuat maka otak pula akan kuat apabila kita selalu membaca. “Otak akan menjadi lebih tajam” kata orang. Membaca membuatkan kita banyak berimiginasi tentang bahan yang kita baca. Berlakunya “critical thingking”. Hasilnya ada kala kita perlu membuat suatu keputusan. Kita perlukan maklumat, kita perlukan data. Agar keputusan kita tepat. Kita perlu merujuk kepada penulisan, buku, data dan lain-lain maklumat. Otak kita kena berfikir dimana maklumat itu.

Tetapi ada kala apabila kita membaca, kita rasa mengantuk! Maka saya temui pandangan ini, untuk mudah tidur maka baca buku sebelum tidur. Anda akan tidur dengan nyenyak. Tetapi jika waktu siang kita baca sahaja dah mula rasa mengantuk, maknanya kita tidak focus kepada apa yang kita baca. Otak melayang ke tempat lain. Jadi membaca memerlukan kita focus kepada apa yang kita baca.

Membaca boleh mengatasi masalah nyanyuk dan hilang ingatan terutama apabila kita semakin tua. Orang kata penyakit Alzheimer dan Dementia. Kajian juga mendapati orang yang stress boleh mengurangkan rasa stress dengan membaca. Cuba ambil sedikit masa lebih kurang 6 minit untuk membaca dan katanya 68% rasa stress sudah berkurangan.

Cuba baca buku-buku motivasi jika anda rasa lemah dan tidak bersemangat untuk membuat sesuatu. Anda akan mendapati banyak idea dan kata-kata semangat yang memberi kekuatan baru kepada anda. Ianya akan membantu anda lari dari kegagalan kepada kejayaan dengan contoh-contoh mereka yang berjaya.

Apabila kita membaca maka terserlahlah asal usul, sejarah keturunan dan kebudayaan kita. Begitu jugalah kebudayaan lain-lain bangsa. Lagi banyak kita membaca lagi faham kita tentang sejarah negara kita dan negara-negara lain. Kalau kita hanya mengharapkan orang luar menulis tentang sejarah negara kita, sudah tentu kehebatan mereka sahajalah yang akan ditonjolkan. Mereka sahajalah yang membuka pulau dan kota di negara kita. Maka kita kena kenali penulis tempatan.

Membaca buku samalah juga kita beriadah, berhibur dengan cara percuma. Sekarang ini kemahiran membaca sangat perlu terutama apabila kita hadir untuk temuduga. Kadar kebolehan rakyat untuk membaca sangat penting untuk negara. Pelabur juga melihat kemampuan rakyat samada pengetahuan mereka tinggi ataupun tidak.

Mereka yang banyak membaca lebih berkeyakinan dalam keterampilan seharian. Mereka ini juga lebih berkeyakinan untuk menulis dengan baik. Lebih faham tentang situasi semasa. Lebih faham mengenai moral dan pemikiran beretika.

Kita yang banyak membaca buku-buku agama akan lebih mendekati Allah. Memahami keperluan dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Tahu kenapa kita berada di bumi ini dan ke mana kita selepas ini. Keistimewaan Muslim apabila membaca Al-Quran dijanjikan pahala oleh Allah. Banyak membaca membantu diri sendiri dan keluarga dalam beribadah.

Tentu banyak lagi kebaikan yang pembaca perolehi selain dari apa yang saya nyatakan di atas. Semoga coretan ini sedikit sebanyak membantu anda untuk kembali membaca buku. 

#tamat




31. Gajet oh gajet

 



31. Gajet oh gajet

Tengahari tadi aku panggil cucuku. Dia diam dan asyik melihat youtube cerita kanak-kanak dari tablet. Hingga aku terpaksa pergi mendekati dan menyentuk dia, baru dia perasan dan bertanya kenapa. “Jom, makan nasi!” kata aku. “Kenapa tadi masa Tok panggil tak jawab?” tanya aku. “Tak dengar pun!” jawabnya.

Aku rasa laa apabila seseorang terlalu asyik dengan sesuatu tontonan di TV, tablet, telefon pintar atau gajet yang lain, otaknya akan menampan segala bunyi dari luar yang biasa-biasa didengar untuk diproses bagi mengambil tindakan oleh badan. Keasyikan dengan gajet menjadikan masa yang mereka lalui itu terlalu cepat. Mereka tidak akan puas apabila kita cuba menyekat atau menganggu mereka. Ini yang menyebabkan mereka marah atau memberontak jika kita mengawal keseronokan yang mereka sedang lalui. Adakah ini tanda-tanda ketagihan kepada gajet?.

Aku ada membaca satu kajian yang dibuat terhadap ibu bapa yang mempunyai anak antara umur 9 hingga 24 bulan. Bagaimana kesan gajet terhadap anak-anak mereka yang menggunakan gajet melebihi 2 jam dalam sehari. Antara hasil kajian mendapati anak-anak yang ketagihan kepada gajet ini mempunyai kesan terhadap perkembangan pertuturan atau bahasa. Perbendaharaan bahasa anak-anak tidak banyak dan pertuturan pula tidak jelas. Mereka banyak menggunakan pergerakan tangan untuk mendapatkan sesuatu, bukannya berkata sesuatu untuk mendapatkan bantuan atau keperluan dari ibubapa. Kajian juga mendapati interaksi atau rangsangan ibubapa dengan anak-anak juga berkurangan.

Dalam kajian lain pula, beberapa orang penulis mendapati penggunaan gajet pada jangka masa yang lama boleh menjejaskan perkembangan bahasa, kemahiran membaca, memori, dan tumpuan. Penggunaan tanpa kawalan juga akan merosakkan hubungan kekeluargaan dan sosial serta boleh membawa kepada penyakit-penyakit fizikal mahu pun mental.

Bagi mencegah kesan negative gajet kepada anak-anak, penyelidik mencadangkan supaya ibubapa mengawal dan menyelia skrin gajet yang digunakan oleh anak-anak mereka. Ibubapa hendaklah berusaha mengambil berat bagi mengurangkan risiko berkaitan dengan masa mengadap skrin, dan hendaklah juga sentiasa berhati-hati dengan apa yang anak-anak lihat di gajet mereka. Ada juga penyelidik lain yang mencadangkan ibubapa menjadi contoh ikutan dan ini sangat penting dalam membentuk peribadi anak-anak. Mereka menekankan bahawa cara berkomunikasi antara anak-anak dengan ibubapa juga ada kesannya. Selain itu pemilihan kawan oleh anak-anak juga sangat penting bagi mengawal ketagihan gajet ini.

Beza betul permainan zaman sekarang. Tak macam saya zaman dulu-dulu. Nak kata dulu-dulu main permainan lagi hebat, tidak juga. Kalau dulu kita main gasing, bukan main sorang sorang. Kena main ramai-ramai. Asyik juga. Main lama juga. Bergerak sana sini. Riuh rendah dengan suara rakan-rakan. Menjerit juga mak kita bila balik lambat. Tapi zaman sentiasa  berubah maka kita laluilah dengan berhati-hati agar kita tidak tengelam dengan keasyikan dan penipuan masa.

 

#Tamat


30. Terperlus

 


30. Terperlus

Pada suatu hari, anak aku minta untuk basuh kaki aku. Aku terdiam. Tapi sebab dia bersungguh-sungguh nak buat aku benarkan sahaja. Banyak betul parut dekat kaki ini katanya. Aku kata, ini semua parut kesan luka dan kudis masa kecil-kecil dulu. Maka berceritalah aku. 


Ada suatu peristiwa yang meninggalkan bekas parut yang besar pada kaki aku. Aku suka memancing. Adalah pada suatu hari, waktu petang aku pergi memancing dekat parit di seberang jalan berhampiran rumah aku. Parit dekat dengan kebun sayur Pak Din ada banyak ikan keli. Pak Din, Kak Sham dan Mak Yoon memang rajin bercucuk tanam. Walaupun kawasan tanah berhampiran bendang tidaklah sebesar mana tetapi hasil kebun mereka sangat banyak. 


Aku mula memancing di tepi parit sampai ke bawah pokok reyang. Teringat arwah Ya adik abang Pa. Dengar kata dia jatuh pokok reyang dan sakit sebelum meninggal. Di sebelah pokok reyang ada pokok rambutan. Pokok rambutan ini buahnya memang elok dan lekang. Pokok rambutan ini berada dalam halaman rumah yang di sewa oleh Pak Omar. Sebelum itu rumah ini disewa oleh Cikgu Ayub. Pak Omar baru sahaja membuat titi baru. Dia ada kereta.


Pada masa aku memancing di atas titi depan rumah Pak Omar inilah kaki aku terperlus dicelah titinya. Bayangkan kaki aku terperlus sampai ke lutut. Luka di tepi lutut besar. Sakit amat sangat. Bohong kalau kata aku tak teriak (menangis). Balik rumah basuh luka dengan detol dan balut dengan kapas yang dibubuh ubat kuning. Sepanjang malam kaki aku berdenyut. Besoknya aku pergi juga ke hospital Butterworth untuk buat dressing. Aku rasa berbulan juga laa untuk luka aku itu hendak baik. 


Aku tak tahulah samada kawan-kawan sekampung aku yang kaki mereka tak berkudis dan luka macam aku. Lepas satu, satu. Kalau tidak kerana tersepak batu, tersepak akar kayu. Paling takut terpijak paku atau kaca. 


Pakailah kasut ya anak-anak bila bermain bola. Jangan pakai selipar atau berkaki ayam. 

Tamat// Gambar hiasan sahabatku semasa mereka kecil

29. Luka di kakiku

 


29. Luka di kakiku

Masa kecil, aku mengalami banyak peristiwa yang menyebabkan aku tercedera, luka di kaki dan akhirnya menjadi kudis. 

Kasut yang aku ada hanyalah kasut untuk pergi ke sekolah. Setiap hari aku akan memakai selipar jepun sahaja. Itu pun rasanya setahun satu pasang selipar sahaja yang ayah belikan. Aku pakai sehingga berlubang atau terputus. Selalunya bila bermain, aku berkaki ayam. Kalau masuk bendang memang aku akan tinggalkan selipar di rumah. Kalau aku pakai pun hanya untuk melintas jalan dan bila sampai di bendang aku tinggalkan sliper di atas batas.

Cara kehidupanku memudahkan aku mendapat luka di kaki. Walaupun lukanya kecil tetapi ia mudah untuk terus merebak dan  menjadi kudis. Walaupun di rumah ada ubat iaitu ubat kuning dan ubat biru untuk merawat luka. Tetapi selalunya ia tidak begitu berkesan. Walaupun aku letak ubat kuning di kapas dan kemudiannya ditekapkan di kudis serta dilekatkan pula dengan plaster ianya tetap tidak tahan lama disebabkan aku suka bermain, berlari dan selalu terkena air. Bayangkan bila ada kudis di kaki dan aku kena pergi ke bendang menolong keluarga. Kudis akan kembang dan membesar. Ada juga ubat penicillin seperti gel yang aku sapu pada luka. Kalau bubuh gel selalunya aku tidak balut kudis tersebut. Kudis terdedah menyebabkan bari sejenis serangga yang kecil seperti lalat suka hinggap di tempat luka dan memakan nanah. Akibatnya kudis aku akan lambat baik.


Kalau pergi sekolah selalu aku bubuh plaster dekat kudis dan sarung dengan sarung kaki. Bila main bola terus lupa yang kaki berkudis, tendang bola juga walaupun kaki sakit. Pada waktu sekolah rendah aku masih ingat ada van dari pejabat kesihatan akan datang setiap minggu ke kawasan pekan Sungai Dua. Van ini akan berhenti di tepi jalan berhampiran kilang memproses udang dan kilang ubat nyamuk. Pada waktu rehat aku akan pergi mendapatkan ubat luka dari van ini. Pegawai kesihatan akan memberi juga kapas dan plaster untuk kegunaan aku. Pada masa itu belum ada klinik kesihatan di Sungai Dua. Siksa betul bila berkudis di kaki. Memang lambat baik. Bila kering saja, cepat sahaja luka balik. 


Alhamdulillah, kita jarang mendengar kanak-kanak zaman sekarang berkudis. Penjagaan kesihatan oleh masyarakat di negara kita bertambah baik.

28. Pokok Buah-buahan Di KampungKu

 


28. Pokok Buah-buahan Di KampungKu

Pagi tadi aku bersama isteri pergi mencari pokok bunga di Bertam Nursery bersebelahan jalan dengan kedai makan Kacang Poi Utagha dekat Paya Keladi, Kepala Batas. Isteri suka pokok petunia. Selepas membuat pilihan pokok aku kembali ke kereta yang aku parkir di bawah pokok seralat atau setengah panggil pokok mentega. Aku snap beberapa keping gambar. Aku kemudian ditegur "suka ka makan buah ni?' tanya abang yang datang kepada aku yang aku pun tidak perasan ada orang memerhatikan aku selama ini. Dulu masa kecil memang suka makan buah seralat ni, saya guna sabut untuk bersihkan bulunya jawab aku. Belum ada yang masak lagi katanya. Pokok abang ka tanya aku. Pokok rare ni susah nak cari tambah aku lagi. Pokok orang tua, kalau hendak benih saya ada katanya. "Maaf saya tak ada tanah untuk tanam" jawab aku mudah untuk menolak dengan baik semawaannya.


Saya uruskan Kacang Poi Utagha ini katanya merendah diri. Oo tokey kedai ni rupanya. Buka ka kedai tanya aku. Lama dah tutup sejak PKP ni kerana tak boleh dine in, so susah sikit hendak survive jawabnya. Aku sambung bertanya tentang pokok. Pokok-pokok rare seperti setoi susah hendak dapat dan harga buah dia pun mahal sekarang kata aku. Oh ada sepohon pokok setoi dekat belakang rumah orang tua saya sambil tunjukkan aku ke arah rumah kayu lama di seberang jalan. Kami terhenti bersembang apabila ada seorang OKU datang memohon derma dan masing-masing melayan OKU tersebut.


Pokok rare di kampung

Teringat di kampung aku, pada masa dahulu sewaktu aku kecil banyak juga pokok rare yang ada pada masa itu. Pengumpulan data pokok buah-buahan dan pokok rare ini adalah hasil kerjasama dengan beberapa orang sahabat di kampung aku. Kalau orang kampung baca mungkin boleh teringat lagi kut.


1. Ada sepohon pokok binjai yang besar di hujung kampung berhampiran padang bola. Padang bola tersebut adalah bendang yang kering pada musim kemarau. Penduduk ratakan tanah dan buat tiang gol dari buluh. Rasanya ada kubur dekat pokok binjai ini. Disekeliling pokok binjai terdapat banyak pokok buluh dan pokok nibong. Aku pernah pergi menembak burung punai dekat pokok nibong ini dengan Cu Mat. Tok aku pernah buat jeruk buah binjai ini. Buah binjai yang telah dipotong disimpan dalam botol. Masam, lemak dan manis jeruk binjai ini.

2. Pokok getah banyak ditanam di Kampung aku. Seluruh kawasan rumah Hj Mohamad (imam masjid Sungai Dua) adalah ladang getah yang ditanam secara tersusun. Rumah Tok Teh guru mengaji aku pun terletak dalam ladang getah ini. Kebanyakan orang kampung aku ada pokok getah yang ditanam di belakang rumah mereka. Yang mana ada banyak pokok getah selalunya ada mesin getah. Pokok getah ada juga antara rumah Tok Som dengan rumah Pak Ibrahim yang kerja dengan RAF masa pasukan Australia masih ada di pangkalan udara Butterworth.  Kebun getah Tok Som sampai ke rumah Tok Ark. Di belakang rumah Tok Ark kebun getah Tok Som sampai sempadan tanah Lebai Hamid. 

3. Tanah Tok Som dekat rumah Pak Hashim (Tok kepada Hj Zol) ada banyak pokok manggis dan ada pokok mempelam minyak. Depan rumah Pak Hashim ada pokok durian Belanda dan pokok nyior. Sebelah rumah Pak Hashim mengadap rumah Tok Haji Yaakop ada sebaris pokok pinang. 

4. Sekeliling rumah Tok Mat (bapa Othman) dan rumah Tok Som Pak Hashim ada pokok getah dan bemban. Ini adalah laluan aku merentas kebun getah dan hutan bemban mereka untuk pergi ke kedai Pak Man melalui jalan kampung.

5. Pokok keranda di kampong Pak Din jalan hendak pergi ke rumah Yang. Pokok keranda ada juga sepohon dibelakang kebun Tok Lebai Hamid. Buah keranda kulitnya keras. Pecah kulit dan makan isinya yang berbiji-biji kecil.

6. Pokok Ko** Mamak dekat rumah Abang Li (anaknya Rosman) dan rumah Mak Nyon (Mak abang Sobri Onn). Pening aku makan buah ni. Macam makan getah kena bakar ja. 

7. Ada sepohon pokok kekabu tinggi depan rumah Pak Bakar ( rumah Ed). Satu lagi ada sepohon dekat belakang rumah Pak Long Mat (Ayah Nazri). Bila buahnya masak merekah, kekabu jatuh macam salji, ha ha ha berangan masa kecil main salji.

8. Pokok moktan (rambutan) dalam kebun Pak Chat, memang banyak pokok yang dia tanam. Buah moktan di sini memang famous sebab sedap dan buahnya lekang.

9. Pokok muyu depan bangsal menyemat atap di depan rumah Mak Teh (Tok Bedah).

10. Pokok setoi dekat rumah Tok Ma.

11. Belakang rumah Pak Long Mad (ayah Nazri) ada pokok staq di tanah Tok Mahmud dan pokok rambai di tanah Hj Yaakob. Pokok namnam ada dekat rumah Hj Yaakob dan depan pokok namnam ada pokok rambai. Pokok rambai juga ada dua pokok depan rumah Tok Mek.

12. Pokok mertajam ada sepohon depan rumah Pak Hasim Mak Rahmah.

13. Belakang kampung Cikgu Zakaria ada pokok durian, manggis dan langsat. Ada pondok untuk menunggu durian dekat situ. Sementara di depan rumah cikgu Zakaria ada pokok kuinin. Satu pokok besar satu pokok kecil. Ada pokok amra (kedondong) dan pokok jambu. Ada juga pokok janggus tepi rumah. 

14. Belakang kampung Lebai Hamid ada pokok getah dan bemban. Ada pokok manggis, bacang, durian, pokok keranda, pokok staq, pokok jering, pokok buluh dan pokok nibong. Pokok nibong ni aku dan ayah ambil untuk buat reban ayam.

15. Pokok keriang belakang rumah Pak Uih (Idrus).

16. Belakang rumah Tok Meah ada pokok buluh dan pokok nibong yang banyak. Pernah orang luar datang ambil batang nibong ini. Pokok buluh ini pula pernah terbakar dan orang kampung berusaha memadam api agar tidak merebak ke rumah Tok Meah. Rumah Tok Meah atap rumbia pada masa itu. Di depan rumah Tok Meah ada pokok ceremai dan mempelam telor. 

17. Di sebelah rumah Hj Abdullah ada pokok buluh kuning besar bersempadan dengan tanah Cikgu Zakaria. Ianya berhampiran jalanraya. Depan rumah ada pokok ceri, pokok limau yang buahnya senang makan ulat, pokok jambu dan ada juga pokok manggis. Di sebelah rumah ada ditanam pokok tudung periok sebagai pagar tepi rumah dan ada pokok jambu air. Buah jambu air ini aku jual dekat kawan-kawan di sekolah.

18. Di depan rumah cikgu Basir ada sepohon pokok keriang yang terletak di tepi parit. Biru mulut aku makan buah ni.

19. Rumah Tok Su Ali (ustaz Noor)  ada banyak pokok nyior dan pokok koko yang ditanam secara tersusun. Aku pernah makan buah koko yang masak. Makan isi bukan bijinya. Biji koko depa keringkan sebelum dijadikan serbuk koko. Sebelah rumah Pak Tam yang juga bersebelahan rumah Tok Su Ali ada pokok putat, betul-betul sebelah telaga dan parit yang lurus dibuat untuk penanaman koko.

20. Di depan rumah Hj Yaakob ada pokok buluh kecil yang dijadikan pagar. Ada pokok bunga kertas yang besar. Aku suka panjat pokok bunga kertas ini kerana senang untuk ambil buah tudung periok yang hitam dan manis.

21. Depan rumah Mak Lang Lah, (Abang Mat, Lan) ada pokok rokam. Ada pokok setoi dekat tepi jalan masuk ke rumah. Belakang rumah Mak Lang Lah juga ada pokok bunga tanjung.

22.  Belakang rumah Che Ros yang abang Mat (TNB) sewa banyak pokok nyior. 

23. Pokok lemba hidup merata di hujung kampung. Pokok bemban macam dah jadi tanaman wajib kat kampung ini. Permintaan tinggi dari pokok bemban kerana ramai pengusaha atap dari daun nipah memerlukan bemban ini.

24. Kebun kelapa Cina banyak ditanam berbaris sampai ke belakang kampung dekat dengan sungai. 

25. Sepanjang tepi jalan kerajaan tanam pokok Pukul Lima. 

26. Pokok Ketapang sebelah rumah Tok Bedah dan depan rumah Wa Chin (Hashim). Pokok besar di depan jalan raya. Ada aku ceritakan dahulu, seram lalu di bawah pokok ini pada waktu malam.

Itu sahaja yang mampu aku ingat. Tanah di kampung aku ini boleh ditanam apa sahaja dan pokok-pokok mampu hidup subur. Kalau di tanam semula pokok-pokok durian, manggis di hujung kampung mungkin tak lama lagi anak cucu kita boleh makan. Jangan biarkan tanah semak. Tanamlah pokok buah-buahan nanti sedekahlah hasilnya kepada anak cucu.

27. Taugeh vs Togei

 

27. Taugeh vs Togei

Cerita pasal taugeh ni aku teringat masa membeli taugeh di satu kedai kat Shah Alam.  Bila balik aku simpan dulu, besok ambil nak buat sayur dah tak boleh, dia dah masam. Aku beli lagi simpan lagi besoknya juga masam. Taugeh kat kedai tu dia rendam bagi nampak segar dan gemok-gemok. Tapi masalah taugeh ni dia cepat masam. Beli pun jenuh pilih dia bercampur yang elok dengan yang segar tapi bila dalam satu bekas dah tentu bau masam. Kalau beli kena masak terus jangan simpan-simpan.


Bila balik utara aku beli togei yang dia jenis tak rendam. Nak beli gaul-gaul sikit untuk jatuhkan kulit kacang yang hitam dan terus pergi timbang. Togei jenis kering ni lebih tahan lama kalau simpan dalam peti ais pun dia tak masam. Cuma cara nak simpan togei kena pandai supaya tahan lama.


Masa kecil aku paling tak suka makan bihun yang ada togei. Sebabnya togei ni dia tak buang ekor. Ekor tu sebenarnya akar dia. Aku beberapa kali terlekat togei bila makan kat kantin sekolah rendah. Sampai laa ni teringat.


Cerita pasal togei, masa kecil aku paling suka makan sayur lemak togei yang mak masak. Campur tau kuaw (tauhu)  dan udang. Tapi yang paling boring bila nak kena bersiang togei. Buang akar togie. Emak selalu panggil aku untuk kerja macam ni. Mak tahu aku tak akan tolak bila disuruh.Tapi hendak cepat kerja. Aku pangil adik-adik, aku siap bagi-bagi bahagian masing-masing untuk sama-sama menyiang akar togei. Itu yang cepat sikit. Sambil bersiang, sambil dengar radio. Jadi tak boring. Selain togei satu lagi yang ambil masa nak bersiang adalah ikan bilis. Buang kepala dan buang tulang.


Tips untuk menyimpan togei agar tahan lama dalam peti ais dan mudah untuk digunakan dengan segera. Caranya ; Bersiang togei dan simpan dalam bekas plastik yang diletak tisu kering di bawahnya. Tutup rapat dan simpan dalam tempat sayur dalam peti ais.

26.1 Gambar pasukan bola



26.1 Gambar pasukan bola

 Ini pasukan bola sepak junior Kampung Telok, Sungai Dua. Depa pandai buat team sendiri. Depa panggil pasukan kampung lain mai lawan kat kampung kami. Semua masih sekolah rendah masa ini dan ada yang masih Tadika. Bergambar dekat tanah lapang bekas rumah Daoh di belakang  rumah Pak Hashim (Datuk kepada Zolkepli). Depa jadikan kawasan lapang ini sebagai padang bola masa lawan team luar. Main tak pakai kasut. Hebat budak-budak ni. Laa ni semua dah berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Dari kiri berdiri : Nazmi, Zolkepli, Nazri, Bob, Sanusi, Amir, Nazlan

Dari kiri duduk : Nazrol, Din, Eee, Azam, Zaini, Faudzi, Fadzli

26. Main bola untuk sekolah

 




26. Main bola untuk sekolah

Masa aku dalam darjah enam aku terpilih sebagai salah seorang pemain bolasepak sekolah. Kami dilatih oleh guru jasmani. Sekolah pada masa itu ada padang bola yang luas. Padang bola bersambung dengan bendang. Kami pada masa itu bermain bola tanpa kasut. Semua berkaki ayam. Kebanyakan pakai guard kaki. Beli sendiri. Aku masih ingat pemain bola pasukan kami terdiri dari aku, Toy sebagai goalkeeper, Arif Shah, Saad, Zul dan yang lain aku tak ingat dah. Latihan berlari, passing bola dan belajar stop bola. Tapi bila main tak ada rules tetap sama berebut nak tendang bola semata-mata. Lupa cikgu ajar suruh passing, buka permainan. Tak ingat dah cikgu ajar strategy ke tidak. Tetapi sebagai pasukan sekolah kami bercita-cita besar untuk menang setiap perlawanan. Petang itu entah macam mana kami berlatih sampai mahgrib. Aku rasa masa itu cikgu dah balik kut sebab itu kami terbabas masa. Kelamkabut aku kayuh basikal masa balik, takut kena marah dengan emak. Satu hal lagi dari sekolah kena lalu pekan Sungai Dua. Lalu ikut pekan maknanya lalu depan Balai Polis. Masa sampai dekat selekoh betul-betul depan Balai Polis ni tiba-tiba Pak Cik Polis tempit dekat aku "mana lampu!". Apalagi sekuat hati aku kayuh tanpa tengok belakang. Basikal aku lampu terbakar. Lupa hendak beli lampu ganti. Tak tahulah yang jerit tu ayah Toy ka siapa. Ayah Toy polis. Tapi sampai sekarang aku tak lupa peristiwa itu.


Perlawan pertama dan terakhir aku bermain untuk sekolah rendah adalah melawan Sekolah Kebangsaan Sungai Puyu. Perlawanan di Sekolah Kebangsaan Simpang Empat, Permatang Buluh. Kami kalah 2 gol berbalas 1. Yang satu gol itu, tu lah gol pertama yang aku score dalam satu-satunya perlawanan antara sekolah. Jersey kami masa tu baju merah berbelang hitam. Belang melentang. Itulah jersey bolasepak dan itulah jersey untuk main sepaktakraw. Sepupu aku Hofni, dan kawan-kawan yang kebanyakan duduk di Sungai Lokan bermain untuk team Sekolah Kebangsaan Sungai Puyu. 


Kenangan masa kecil menjadi cerita untuk anak cucu. Macam serupa tapi tak sama bola sepak dahulu dengan sekarang.

25. Bakar Jerami

 


25. Bakar Jerami

Petang ini aku ronda-ronda dengan isteri. Aku memandu kereta hingga sampai dekat kampung di sebelah taman tempat tinggal aku. Pening duduk memerap dekat rumah. Dapat keluar ambil udara luar sikit punya laa lega rasanya. Dekat hujung kampung ada bendang yang luas. Masa aku sampai di tepi bendang, aku nampak ada seorang anak muda sedang membakar jerami. Bila ditanya  katanya dia bantu ayah membersihkan bendang. Anak muda berpakaian kemas ala petani moden. Aku mengambil kesempatan merakam beberapa keping gambar menarik untuk dimasukkan dalam FB dan Instragram aku.

Salah satu proses penanaman padi adalah melupuskan jerami. Jerami adalah batang padi yang sudah diambil padinya. Batang-batang jerami yang berlonggok-longgok dalam bendang perlu dibakar jika masih kering. Jerami padi kalau sudah basah dan terendam, bau dia memang busuk masam. Jerami masam ini perlu dikecak atau diserakkan sahaja dalam bendang supaya mudah untuk dihancurkan oleh mesin pembajak.

Oh ya ada sedikit cerita masa kecilku

Pada waktu aku kecil ada satu peristiwa tentang membakar jerami ini yang aku masih ingat. Waktu itu petang. Peristiwa ini berlaku di bendang belakang rumah cikgu Basir sekarang ini. Petang itu seorang penduduk yang mengerjakan bendang membuat pembakaran jerami. Bendang beliau telah siap dikerat (dibanting) padi dan padi telah pun diambil keluar dari bendangnya. Sementara bendang di sebelahnya padi belum cukup masak untuk dikerat. Beliau telah membuat pembakaran terbuka bagi melupuskan jeraminya. Selepas membakar jerami tidak pasti beliau balik ke rumah atau masih ada di situ. Tiba-tiba kami dikejutkan dengan teriakan bendang terbakar. Bendang terbakar. Bendang yang belum diambil padi tadi telah disambar api. Dengar kata berlaku angin kencang petang itu yang menyebabkan api dari longgokan jerami yang dibakar tadi diterbangkan angin ke bendang sebelah. Api merebak dengan cepat. Semua orang kampung yang berhampiran berlari keluar mencapai baldi, membawa kayu dan ada yang membasahkan guni. Sama-sama berlari ke bendang bagi memadamkan api. Oleh kerana kejadian berlaku dekat dengan kampung maka mudahlah orang ramai membantu. Alhamdulillah api dapat dipadamkan. Hanya sebahagian sahaja dari bendang tersebut yang terbakar. Bomba yang sampai kemudiannya mendapati keadaan telah terkawal. Mengambil iktibar dari peristiwa itu pembakaran jerami sentiasa dikawal dan dibuat pada waktu petang apabila angin tidak ada atau tidak ada angin kencang. 

Orang tua-tua yang masih hidup di kampung saya mungkin masih ingat peristiwa ini. Itulah ceritanya .

24. Pokok Pukul Lima

 


24. Pokok Pukul Lima

Di Kampung Telok banyak pokok Pukul Lima di tanam sepanjang jalan dari mula sungai yang ada paip besar melintasi sungai di Sungai Dua sehingga ke hujung kampung bersempadan Sungai Lokan. Malah di Sungai Lokan juga ada di tanam pokok pukul lima ini. Pada masa aku mula bersekolah pokok-pokok Pukul Lima sudah besar-besar. Pokok ini menjadikan jalanraya redup di waktu tengahari. Salah satu pokok ini yang besar ada di depan rumah Pak Hashim (Datuk kepada Hj Zol). Seberang jalannya adalah rumah Tok Su Ali (ayah ustaz Noor) . Di bawah pokok ini telah dibuat bangsal jaga yang digunakan semasa darurat. Bangsal ini di cat dengan warna cerah putih kekuningan. Tak sempat nak tanya orang tua dahulu bagaimana mereka membuat kawalan kampung. 


Pokok Pukul Lima ditebang semasa proses membuat penanaman paip besar bagi menyalurkan air ke Pulau Pinang. Begitu juga dengan pondok kawalan ini turut diruntuhkan pada masa itu.


Sayang binaan begitu tidak sempat dirakamkan fotonya sebagai bukti kenangan yang pernah dilalui oleh generasi dahulu di kampung aku dalam mempertahankan kemerdekaan tanah air ini.

23. Air paip dan air telaga

 


23. Air paip dan air telaga

Di Kampung Telok Sungai Dua pada awal tahun 60an, yang aku ingat terdapat satu sahaja paip air awam yang dipasang di tepi jalanraya berhampiran rumah Mak Lang Lah dan rumah Tok Som. Di situlah tempat orang kampung datang mengambil air bersih secara percuma untuk minuman keluarga dan juga untuk mandi manda. Walaupun ada yang mandi di situ tetapi kebanyakan penduduk masih mandi di telaga. 


Paip air ke rumah kami mula dinikmati pada pertengahan tahun 60an. Ayah dan kebanyakan orang kampung membeli kok bulat yang dibuat dari simen untuk menyimpan air. Ketika itu kebanyakan rumah mempunyai bilik mandi di luar rumah. Nikmat mempunyai air bersih, Allah sahaja yang tahu. Minum air paip adalah perkara biasa. Air paip sudah dikira bersih kerana kejernihannya. Itulah kemajuan yang kami nikmati pada masa itu. Kami hidup dari zaman asas kemajuan, hidup dengan air bersih. 


Semasa kecil, masih ada keluarga di kampungku yang menggunakan air perigi untuk tujuan mandian dan mencuci pakaian. Ada beberapa telaga atau perigi yang masih aku ingat.

1. Rumah Tok Lebai Hamid (rumah Tok aku) terdapat sebuah telaga yang besar. Menurut cerita ayah pada suatu ketika berlaku musim kemarau dan penduduk kampung berkerjasama mengorek telaga ini dan menemui  mata air di kawasan tersebut. Maka ramai orang kampung yang datang mengambil air di situ. Masa aku kecil telaga tersebut tidak digunakan lagi kerana kami telah mula menggunakan air paip. Di dalam telaga ini terdapat banyak ikan lampam dan sepat. Sekali sekala aku memancing di telaga ini. Waktu hujan lebat air telaga ini melimpah. Ikan jelas kelihatan berenang-renang di hadapan rumah aku.

2. Rumah Tok Meah, yang terletak di belakang rumah Tok Lebai Hamid, terdapat juga telaga besar.  Ianya juga berdekatan dengan rumah Pak Long Mat dan rumpunan pokok buluh. Ianya digunakan oleh banyak keluarga di situ. Air telaganya jernih dan sejuk. Aku selalu juga mandi di situ.

3. Rumah Long Embun berdekatan rumah Ngah Laili. Telaga terletak depan rumah sebelah kiri. Terdapat pokok getah dan bemban ditepi telaga ini. Airnya Jernih dan sejuk. Kawasan mainan kami budak-budak sekitar telaga ini. Main tanah liat. Buat binatang dengan tanah liat. 

4. Rumah Pak Hashim, Mak Lah (Tok Hj Zol). Telaga dekat dengan pokok manggis. Dipagar dengan daun kelapa dan zink serta kayu. Air telaganya jernih dan sejuk. Aku pernah mandi di sini. Dimandikan juga pernah di telaga ini kerana aku bersunat di rumah Pak Hashim. Nanti insyaAllah aku akan tulis kisah ini.

5. Ada satu lagi telaga dekat sawah Pak Man Perlis. Telaganya besar. Telaga ini dekat dengan sawah yang terletak dalam kampung. Aku pernah mandi dan ramai yang suka masuk dalam telaga ini. Sekali jaa kut aku mandi di situ. Kaki tak capai dasar telaga macam nak lemas aku dibuatnya. 

6. Ada sebuah telaga dekat ruman Tok Man, Abang Mat dekat rumah Tok Su Ali (ayah ustaz Noor). Telaga terletak di belakang rumah. Air telaganya jernih dan terdapat pokok putat disebelahnya.

7. Rumah Ngah Laili. Satu-satunya rumah dimana telaga ada dalam rumah. Telaga mereka guna kok simen.

Mendapat air bersih menjadi keutamaan semua penduduk. Perlahan-lahan paip-paip air mula memasuki kampung dan ia merupakan suatu kemajuan pada masa itu. Aku menyaksikan beberapa rumah yang yang membuat bilik air di luar rumah, menyediakan kok simen dan setengahnya membuat kolah simen sendiri. Air bersih juga suatu nikmat. 

22. Paip besar di depan rumah

 


22. Paip besar di depan rumah

Usaha kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membekalkan air ke Pulau Pinang dari Sungai Muda Kedah adalah dengan membuat terusan dari Sungai Muda ke Pusat Rawatan Air Sungai Dua. Dari Pusat Rawatan Air ini, air disalurkan melalui paip bawah tanah ke Pulau. Lubang parit untuk paip besar ini dikorek sepanjang tepi jalanraya yang melibat banyak kampung termasuk Kampung Telok, Sungai Lokan dan lain-lain kampung lagi.  Lubang parit yang besar ini kemudiannya diisi dengan paip besar yang disambung-sambung. Bagi mengelak runtuhan tanah semasa proses mengorek parit ini mereka meletakkan cerucuk besi di tepi tebing. Masa mula-mula mereka mengerjakan projek ini,  aku masih di sekolah rendah. Apabila mereka membuat kerja di hadapan rumah aku, aku sudah di tingkatan satu, kerja belum siap lagi pada masa itu. Besar paip air ini, aku boleh berlari di dalamnya. Pernah aku turun ke dalam saluran paip ini yang siap dipasang di dalam tanah. Gelap tak berani aku hendak berjalan di dalamnya. Bila kita bercakap ianya bergaung. Maklumlah paip kosong dan panjang. Proses menyiapkan saluran paip ini memakan masa yang lama. Apabila hujan, lubang yang dikorek dan tidak sempat dikambus akan menakung air. Kerja mengepam air terpaksa dibuat bagi kawasan yang terlibat bagi meneruskan kerja penyambungan paip-paip ini. Kawasan yang lama ditinggal menjadi kolam-kolam kecil dan ikan pula banyak di dalamnya. Aku pernah memancing di tempat-tempat takungan air ini. Sepat, puyu, keli dan haruan memang banyak pada masa itu. 


Sekarang projek ini sudah siap,  generasi baru kalau tidak diberitahu mungkin tidak perasan bahawa di dalam tanah sebelah jalan di Kampung Telok Sungai Dua ada paip besar yang mengalirkan air ke Pulau Pinang.


Masa kerja mengorek tanah di depan rumah ini, aku terjumpa banyak pasir seperti pasir laut. Aku juga terjumpa siput dan juga kerang. Dulu-dulu mengikut cerita orang tua-tua kawasan kampung ini adalah sebahagian dari laut.


Aku teringat masa pergi melawat Tapak Arkeologi Lahar Kepah di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, aku dimaklumkan bahawa pada masa dahulu kawasan laut juga merentasi kawasan berhampiran Kepala Batas. Penemuan rangka manusia Neoliti berusia 5000 tahun terdapat juga di situ. Banyak kerang ditemui di situ. Pernahkah anda sampai ke sana? Kalau belum singgahlah. Belajar sedikit tentang tamadun kita. Banyak yang kita belajar masa kecil dahulu telah berubah dengan penemuan ini.


21. Menjerat burung

 


21. Menjerat burung

Pada masa kecil aku banyak belajar dengan kawan-kawan bagaimana membuat jerat untuk menangkap burung di dalam kampung. Menjerat burung boleh saja dibuat di atas pokok atau di atas tanah. Menggunakan batang pokok sebagai pembidas dan tali tangsi untuk menjerat kaki burung. Selalunya aku menjerat burung di atas pokok menggunakan pisang atau buah keladi yang merah sebagai umpan. Hutan bemban belakang rumah tempat operasi aku. Kawasan itu banyak burung merbah, burung murai tanah dan murai gila. Kadang-kadang terserempak juga dengan burung punai tanah dan juga murai batu di situ. 


Kawan-kawan di kampung ramai yang pandai membuat jerat. Ada sahaja burung yang mereka dapat. Merbah dan burung wak-wak antara yang selalu aku nampak dalam sangkar mereka. Ada juga yang menggunakan denak seperti burung merbuk dan juga burung terkukur. Abang aku pernah membela burung chak atau burung pipit berwarna choklat. Aku tidak tahu dari mana dia dapat.


Sepanjang aku membuat jerat ini, tak pernah sekalipun jerat aku mengena. Ya, walaupun seekor burung. Yang aku dapat hanyalah gigitan nyamuk di lengan dan pipi aku. Begitulah aktiviti masa kecil sentiasa berangan, mencuba dan berharap. Ismail Pak Hashim jiran aku pandai menjerat burung. Aku ingat lagi dia ada membela seekor anak burung mengala kerbau. Jinak burung ini. Dibiar terbang dan dipanggil untuk diberi makan. Ayah ada juga membela burung terkukur dan burung punai. Merdu suara burung ini apabila berbunyi.  Ramai juga jiran yang membela burung. Ada yang membela di dalam sangkar dan ada juga yang membela di bawah beranda yang ditutup dengan dawai mata punai.  Seingat aku, rumah Pak Jit jiran aku juga ada membela burung merbuk, terkukur biasa dan terkukur jawa. Kalau di rumah Pak, panggilan untuk bapak saudara aku di Permatang Che Tak, mereka membela burung merpati secara lepas bebas. Ada rumah kotak yang dibina khas untuk merpati ini. Tiang rumah kotak ini satu sahaja sementara kotaknya nun di atas tiang tersebut. Berpuluh ekor merpati tinggal di dalamnya. Tiang dibalut dengan zink supaya kucing atau musang tidak dapat panjat untuk memakan telor atau anak burung merpati ini.


Di sebelah rumah Pak ada hutan bemban. Dalam hutan bemban ini pun banyak burung-burung yang hidup bersembunyi di dalamnya. Ini termasuk burung gelam, burung ayam-ayam dan burung-burung  kecil yang lain.  Di sebelah hutan bemban ini terbentang luas, bendang yang  sayup mata memandang. Dari hujung hutan bemban di Permatang Che Tak ini kita boleh nampak Kampung Telok tempat tinggal keluarga aku. Kampung-kampung lain juga boleh nampak seperti Permatang Sungai Dua, Masjid Tuan Haji Samad sampai sebelah Simpang Empat Permatang Buluh. Kadang-kadang aku dan keluarga berjalan kaki sahaja melalui batas bendang yang luas ini pergi dan balik ke rumah Pak dari kampung aku. 


Berjalan kaki dalam bendang dari Permatang Che Tak ke Kampung Telok boleh lagi dibuat pada masa dulu. Selepas kerajaan membina lebuhraya, semua itu hanya tinggal kenangan. Lebuhraya ini memutuskan semua jalan rentas bendang yang selalu kami lalui. Lebuhraya telah mengambil tanah bendang emak aku dan juga tanah bendang yang ayah aku kerjakan. Semoga anak cucu aku akan ambil tahu yang lebuhraya berhampiran Tol Sungai Dua, Seberang Perai itu dahulu sebahagian tanahnya adalah tanah tok nenek mereka.


#Tamat. Ada lagi kah sahabat yang membela burung?

20. Bank Simpanan Pejabat Pos

 



20. Bank Simpanan Pejabat Pos


Selepas solat jumaat aku tidak balik terus ke rumah. Walaupun perut terasa lapar tetapi aku tetap menunggu. Menunggu di bawah pokok ketapang. Pokok ketapang sebelah kedai Cina basikal dan dekat dengan tanah lapang. Di tanah lapang ini pada bulan tertentu selalu ada persembahan wayang Cina. Bila aku pergi bergunting rambut dengan ayah dan masa itu pula ada persembahan wayang Cina di Pekan Sungai Dua, ayah akan dukung aku untuk tengok sekali. Aku rendah mana hendak nampak lakonan di atas 'stage' dengan ramainya orang disekeliling aku.


Van merah tertulis Pos berhenti berhampiran pokok ketapang tadi. Tempat ini redup. Ramai yang menunggu rupanya. Pintu boot belakang van dibuka. Abang posmen mula membuka kaunter. Semua beratur untuk dapatkan perkhidmatan Pos. Sampai giliran aku. Aku hulurkan buku Bank Simpanan Pejabat Pos. "Saya nak masukkan duit" kataku. Berapa? tanya abang posmen. Seringgit aku jawab. Abang posmen ambil duit dan dia tulis dalam buku akaun aku. Dom bunyi dia cop dekat buku. Kemudian dia hulur buku dekat aku. "Terima kasih abang" kata aku sambil memberi laluan kepada orang di belakangaku. Aku pegang erat Buku Simpanan dan berjalan ke basikal. Aku buka dan belek jumlah dalam buku. Emmp dah sepuluh ringgit simpanan aku. 


Hasil simpanan sebahagian duit belanja dan hasil jualan buah jambu dekat sekolah dapat juga aku simpan seringgit minggu ini. Petang-petang aku akan cari buah jambu batu dekat rumah aku. Rumah Tok ada juga pokok jambu. Jambu Tok isinya merah. Jambu ini lembut sikit dan bila masak banyak ulat. Aku jual jambu masa darjah tiga rasanya. Pagi-pagi bila sampai sekolah aku letak bag dekat kelas di tingkat atas. Aku bawa bag plastik yang penuh dengan buah jambu turun dekat bawah dan tunggu tepi tangga. Bila Yusof, Arif Shah, Toi, Ishak, Saad, Noordin dan kawan-kawan sekolah sampai aku tanya depa, siapa hendak buah jambu. Dua biji sekupang (sepuluh sen). Sebelum kelas bermula kebanyakan buah sudah habis aku jual. Jarang aku bawa balik buah yang tak habis. Kalau tak habis, aku makan sendiri. 


Pernah pada hari raya aku dapat kumpul dan simpan hingga tujuh ringgit. Itu rasanya duit raya paling banyak yang aku dapat dan paling banyak aku simpan dekat Bank Simpanan Pejabat Pos. Di Pekan ada juga wakil Pos. Kalau hendak beli setem aku akan pergi beli dekat Pak Murad. Kedai dia hujung simpang antara jalan untuk ke Pengkalan Machang dan ke Kampung Teluk.  Kedai  Pak Murad betul-betul mengadap Balai Polis. Sebelah Balai Polis ada gelanggang badminton. Depan Gelanggang Badminton dan sebelah jalanraya ada Pos Box. Surat-surat kalau tak nak bagi kat Pak Murad boleh masuk dalam Pos box ini.


Pak Murad sebenarnya buka kedai gunting rambut. Sambil itu dia juga menjadi wakil pos. Kedai gunting rambut Pak Murad ini mungkin kedai gunting orang Melayu yang pertama dekat pekan ini rasanya. Surat-surat yang sampai dari Pejabat Pos Besar Butterworth akan di susun dalam kotak-kotak yang ada dalam kedai ini. Kemudian barulah posmen pergi hantar ke rumah-rumah. Aku masih ingat Posmen yang selalu hantar surat ke kampung aku namanya Zaidi. Orangnya putih dan kacak. Tambah segak bila dia beruniform Posmen. Zaidi akan menaiki basikal merah yang ada raga di depan handle. Beliau sentiasa senyum bila hantar surat. Kalau ada surat Zaidi akan bunyikan loceng basikal bila lalu di depan rumah.


Setem paling laku pada masa bulan puasa. Ramai orang membeli setem untuk menghantar kad raya. Karung surat kadang-kadang lebih dari satu guni Pak Murad hantar ke Pejabat Pos Besar Butterworth. Dia hantar disebelah petang bila van Pos datang mengambil. Bulan puasa ramai menunggu Zaidi kut-kut ada kad raya untuk mereka. 


Dekat kedai Pak Murad ini, aku pernah bergunting rambut dengan dia. Kadang-kadang tengah bergunting dia akan berhenti sekejap kerana ada orang datang nak beli setem. Kalau orang nak buat pos berdaftar lagi laa lama kena tunggu. Anak-anak Pak Murad pandai-pandai. Masa tu yang aku tahu dah ada anak dia yang masuk universiti.


#Tamat. Aku dok cari siapa yang bagi inspirasi untuk aku buka buku Bank Simpanan Pejabat Pos. 

19. Tahan Bubu

 


19. Tahan Bubu


Petang itu hujan lebat. Angin sedikit kuat. Emak menyuruh aku menutup tingkap. Sebelum menutup tingkap aku melihat keluar. Melihat ke arah bendang. Putih sahaja tidak kelihatan Gunung Jerai. Malah pokok-pokok nyiur di Permatang Haji Hasan pun nampak kabur sahaja. Mata aku tertumpu pada bendang Pak Ali yang betul-betul mengadap ke arah rumah aku. 


Padi yang baru beberapa minggu sahaja di tanam, tumbuh menghijau. Angin berserta hujan mengalunkan pokok-pokok padi yang muda. Hujan menjadikan air di dalam petak padi meningkat. 


Hujan semakin lebat. Air mula naik di bawah rumah. Sliper aku sudah terapung. Cepat-cepat aku turun ke bawah dan ambil sliper serta kasut. Aku letak semuanya di atas tangga. Di bawah rumah air sudah naik dalam sejengkal. Bila hujan terlalu lebat, air dari dalam kampung akan melimpah ke luar dan akan masuk ke kawasan rumah-rumah berhampiran rumah aku. Selalunya rumah rumah Pak Long Mat, rumah Tok Meah, rumah Wan dan rumah aku akan bertakung air hujan ini. 


Telaga besar sebelah rumah aku turut melimpah airnya. Dalam telaga ini banyak ikan-ikan lampam dan juga sepat benua. Masa ini ikan akan keluar dari telaga mengikut aliran air yang masuk ke parit depan rumah. Dari atas rumah aku boleh nampak ikan-ikan berenang di halaman rumah. Otak ini mula berikir bagaimana hendak tangkap ikan-ikan ini. Nak guna sauk atau serampang atau serekap. Ayah ada sauk yang diguna untuk menyauk udang. Abang Mat ada serampang buluh mata tiga. Ada juga serekap yang kami guna untuk cari ikan di bendang.


Tiba-tiba terdengar mak panggil kami minum petang. Mak buat bubur kacang. Aku suka bubur kacang cicah roti bengali. Mak juga bancuh teh O untuk kami.


Besok pasti ayah akan ke bendang melihat air di petak. Jika air banyak ayah akan buka gelung untuk air mengalir keluar ke parit gila. Tempat aku kami ada tali air yang kami panggil parit gila. Tidak pasti bagaimana nama tersebut muncul. Mungkin kerana parit ini tidak lurus, bengkang bengkok.


Pagi besoknya aku dan ayah ke bendang. Melihat air yang banyak mengalir dari petak ke petak merentasi batas. Aku sempat juga melihat kelibat ikan sepat benua, haruan dan puyu berenang mengikut aliran air melintasi batas bendang. Jika berpeluang terjumpa ikan yang tersangkut di atas batas, mudah bagi aku menangkapnya.


Ayah balik ke rumah pagi itu dan mengambil bubu. Ikan banyak kata ayah. Bubu yang dibuat dari buluh yang ayah ambil ini agar besar. Tinggi dalam 4 kaki. Berbentuk bulat. Diperbuat dari buluh. Ada tempat masuk ikan dan ada pintu kecil untuk keluarkan hasil yang terperangkap dalam bubu.


Ayah bawa bubu ke seberang jalan di depan rumah. Ada parit di situ. Parit yang dalam dan bersih. Parit ini sentiasa dibersihkan oleh Jabatan Parit dan Tali Air. Air dari petak Tok Su Ali yang berlebihan juga akan di alir keluar ke parit itu. Ayah masukkan bubu ke dalam parit. Muka pintu mengadap aliran air masuk ke dalam buku. Ayah letakkan buluh-buluh di tepi bubu agar ikan tidak boleh mengelak untuk masuk ke dalam bubu. Bubu di ikat dengan pancang buluh agar tidak teralih oleh aliran air yang deras. Parit ini walaupun di tepi jalan tetapi ianya adalah parit untuk diguna bagi mengalirkan air bendang terus ke sungai. Besok pagi baru ayah bercadang untuk angkat bubu ini.


Aku sudah lupa tentang ikan semalam yang bermain-main di halaman rumah. Aku asyik meredah air yang tidak surut-surut lagi. Air dalam parit depan rumah masih penuh, airnya jernih. Langit masih mendung. Hujan renyai-renyai sekali sekali datang menambahkan air yang tidak surut-surut ini.


Pada waktu tengah hari aku dapat tahu orang sedang berpesta menjala di sungai dekat hujung kampung berdekatan Pekan Sungai Dua. Aku capai basikal dan pergi ke sana ingin melihat apa yang sedang berlaku. Ramai orang berkumpul melihat orang menjala ikan. Orang yang menjala ada dua tiga orang. Mereka menjala ikan berhampiran jambatan yang ada paip air besar. Aku lihat air sungai mengalir laju. Bila ada saja tanda ikan di permukaan sungai mereka campakkan jala. Lampam jawa, sepat benua dan puyu memang banyak. Aku nampak Pak Bakar beberapa kali mencampakkan jalanya dan hasilnya puyu, sepat siam dan ada juga haruan.


Malam itu abang Mat ajak menyuluh ikan dalam parit. Abang Mat buat serampang mata tiga. Guna batang buluh dan ikat besi serampang di hujungnya. Kami menyuluh dekat parit berhadapan rumah Tok Su Ali. Parit di situ bersih, senang nampak ikan. Dapat lah juga malam itu ikan keli dan haruan.


Besoknya pagi-pagi ayah mengangkat bubu yang diletakkan dalam parit sehari sebelumnya. Aku bantu tarik bubu naik ke atas batas di tepi jalan raya. Banyaknya ikan. Paling banyak ikan sepat siam dan puyu. Ada juga ikan haruan dan keli. Penuh separuh jaras banyaknya ikan ini. Balik rumah nanti kena tolong emak siang ikan pula. Aku suka makan masak pindang ikan keli dan haruan. Pedas dan manis. Ikan sepat siam buat masak asam utara memang menyelerakan. Sepat siam lumur garam dan jemur bagi kering, buat goreng bersama bawang merah dan cili kering pun boleh menambahkan selera.


#Tamat. Semua ini kenangan masa kecilku. Semoga kenangan ini dapat ku tinggalkan untuk anak-anak dan cucu-cucuku dan juga pembaca sekelian.

58. Lawatan ke Mostar, Bosnia

  58. Lawatan ke Mostar,  Bosnia  Mostar, sebuah bandar yang indah di Bosnia dan Herzegovina, terkenal bukan hanya kerana penerjun dari Star...