28. Pokok Buah-buahan Di KampungKu

 


28. Pokok Buah-buahan Di KampungKu

Pagi tadi aku bersama isteri pergi mencari pokok bunga di Bertam Nursery bersebelahan jalan dengan kedai makan Kacang Poi Utagha dekat Paya Keladi, Kepala Batas. Isteri suka pokok petunia. Selepas membuat pilihan pokok aku kembali ke kereta yang aku parkir di bawah pokok seralat atau setengah panggil pokok mentega. Aku snap beberapa keping gambar. Aku kemudian ditegur "suka ka makan buah ni?' tanya abang yang datang kepada aku yang aku pun tidak perasan ada orang memerhatikan aku selama ini. Dulu masa kecil memang suka makan buah seralat ni, saya guna sabut untuk bersihkan bulunya jawab aku. Belum ada yang masak lagi katanya. Pokok abang ka tanya aku. Pokok rare ni susah nak cari tambah aku lagi. Pokok orang tua, kalau hendak benih saya ada katanya. "Maaf saya tak ada tanah untuk tanam" jawab aku mudah untuk menolak dengan baik semawaannya.


Saya uruskan Kacang Poi Utagha ini katanya merendah diri. Oo tokey kedai ni rupanya. Buka ka kedai tanya aku. Lama dah tutup sejak PKP ni kerana tak boleh dine in, so susah sikit hendak survive jawabnya. Aku sambung bertanya tentang pokok. Pokok-pokok rare seperti setoi susah hendak dapat dan harga buah dia pun mahal sekarang kata aku. Oh ada sepohon pokok setoi dekat belakang rumah orang tua saya sambil tunjukkan aku ke arah rumah kayu lama di seberang jalan. Kami terhenti bersembang apabila ada seorang OKU datang memohon derma dan masing-masing melayan OKU tersebut.


Pokok rare di kampung

Teringat di kampung aku, pada masa dahulu sewaktu aku kecil banyak juga pokok rare yang ada pada masa itu. Pengumpulan data pokok buah-buahan dan pokok rare ini adalah hasil kerjasama dengan beberapa orang sahabat di kampung aku. Kalau orang kampung baca mungkin boleh teringat lagi kut.


1. Ada sepohon pokok binjai yang besar di hujung kampung berhampiran padang bola. Padang bola tersebut adalah bendang yang kering pada musim kemarau. Penduduk ratakan tanah dan buat tiang gol dari buluh. Rasanya ada kubur dekat pokok binjai ini. Disekeliling pokok binjai terdapat banyak pokok buluh dan pokok nibong. Aku pernah pergi menembak burung punai dekat pokok nibong ini dengan Cu Mat. Tok aku pernah buat jeruk buah binjai ini. Buah binjai yang telah dipotong disimpan dalam botol. Masam, lemak dan manis jeruk binjai ini.

2. Pokok getah banyak ditanam di Kampung aku. Seluruh kawasan rumah Hj Mohamad (imam masjid Sungai Dua) adalah ladang getah yang ditanam secara tersusun. Rumah Tok Teh guru mengaji aku pun terletak dalam ladang getah ini. Kebanyakan orang kampung aku ada pokok getah yang ditanam di belakang rumah mereka. Yang mana ada banyak pokok getah selalunya ada mesin getah. Pokok getah ada juga antara rumah Tok Som dengan rumah Pak Ibrahim yang kerja dengan RAF masa pasukan Australia masih ada di pangkalan udara Butterworth.  Kebun getah Tok Som sampai ke rumah Tok Ark. Di belakang rumah Tok Ark kebun getah Tok Som sampai sempadan tanah Lebai Hamid. 

3. Tanah Tok Som dekat rumah Pak Hashim (Tok kepada Hj Zol) ada banyak pokok manggis dan ada pokok mempelam minyak. Depan rumah Pak Hashim ada pokok durian Belanda dan pokok nyior. Sebelah rumah Pak Hashim mengadap rumah Tok Haji Yaakop ada sebaris pokok pinang. 

4. Sekeliling rumah Tok Mat (bapa Othman) dan rumah Tok Som Pak Hashim ada pokok getah dan bemban. Ini adalah laluan aku merentas kebun getah dan hutan bemban mereka untuk pergi ke kedai Pak Man melalui jalan kampung.

5. Pokok keranda di kampong Pak Din jalan hendak pergi ke rumah Yang. Pokok keranda ada juga sepohon dibelakang kebun Tok Lebai Hamid. Buah keranda kulitnya keras. Pecah kulit dan makan isinya yang berbiji-biji kecil.

6. Pokok Ko** Mamak dekat rumah Abang Li (anaknya Rosman) dan rumah Mak Nyon (Mak abang Sobri Onn). Pening aku makan buah ni. Macam makan getah kena bakar ja. 

7. Ada sepohon pokok kekabu tinggi depan rumah Pak Bakar ( rumah Ed). Satu lagi ada sepohon dekat belakang rumah Pak Long Mat (Ayah Nazri). Bila buahnya masak merekah, kekabu jatuh macam salji, ha ha ha berangan masa kecil main salji.

8. Pokok moktan (rambutan) dalam kebun Pak Chat, memang banyak pokok yang dia tanam. Buah moktan di sini memang famous sebab sedap dan buahnya lekang.

9. Pokok muyu depan bangsal menyemat atap di depan rumah Mak Teh (Tok Bedah).

10. Pokok setoi dekat rumah Tok Ma.

11. Belakang rumah Pak Long Mad (ayah Nazri) ada pokok staq di tanah Tok Mahmud dan pokok rambai di tanah Hj Yaakob. Pokok namnam ada dekat rumah Hj Yaakob dan depan pokok namnam ada pokok rambai. Pokok rambai juga ada dua pokok depan rumah Tok Mek.

12. Pokok mertajam ada sepohon depan rumah Pak Hasim Mak Rahmah.

13. Belakang kampung Cikgu Zakaria ada pokok durian, manggis dan langsat. Ada pondok untuk menunggu durian dekat situ. Sementara di depan rumah cikgu Zakaria ada pokok kuinin. Satu pokok besar satu pokok kecil. Ada pokok amra (kedondong) dan pokok jambu. Ada juga pokok janggus tepi rumah. 

14. Belakang kampung Lebai Hamid ada pokok getah dan bemban. Ada pokok manggis, bacang, durian, pokok keranda, pokok staq, pokok jering, pokok buluh dan pokok nibong. Pokok nibong ni aku dan ayah ambil untuk buat reban ayam.

15. Pokok keriang belakang rumah Pak Uih (Idrus).

16. Belakang rumah Tok Meah ada pokok buluh dan pokok nibong yang banyak. Pernah orang luar datang ambil batang nibong ini. Pokok buluh ini pula pernah terbakar dan orang kampung berusaha memadam api agar tidak merebak ke rumah Tok Meah. Rumah Tok Meah atap rumbia pada masa itu. Di depan rumah Tok Meah ada pokok ceremai dan mempelam telor. 

17. Di sebelah rumah Hj Abdullah ada pokok buluh kuning besar bersempadan dengan tanah Cikgu Zakaria. Ianya berhampiran jalanraya. Depan rumah ada pokok ceri, pokok limau yang buahnya senang makan ulat, pokok jambu dan ada juga pokok manggis. Di sebelah rumah ada ditanam pokok tudung periok sebagai pagar tepi rumah dan ada pokok jambu air. Buah jambu air ini aku jual dekat kawan-kawan di sekolah.

18. Di depan rumah cikgu Basir ada sepohon pokok keriang yang terletak di tepi parit. Biru mulut aku makan buah ni.

19. Rumah Tok Su Ali (ustaz Noor)  ada banyak pokok nyior dan pokok koko yang ditanam secara tersusun. Aku pernah makan buah koko yang masak. Makan isi bukan bijinya. Biji koko depa keringkan sebelum dijadikan serbuk koko. Sebelah rumah Pak Tam yang juga bersebelahan rumah Tok Su Ali ada pokok putat, betul-betul sebelah telaga dan parit yang lurus dibuat untuk penanaman koko.

20. Di depan rumah Hj Yaakob ada pokok buluh kecil yang dijadikan pagar. Ada pokok bunga kertas yang besar. Aku suka panjat pokok bunga kertas ini kerana senang untuk ambil buah tudung periok yang hitam dan manis.

21. Depan rumah Mak Lang Lah, (Abang Mat, Lan) ada pokok rokam. Ada pokok setoi dekat tepi jalan masuk ke rumah. Belakang rumah Mak Lang Lah juga ada pokok bunga tanjung.

22.  Belakang rumah Che Ros yang abang Mat (TNB) sewa banyak pokok nyior. 

23. Pokok lemba hidup merata di hujung kampung. Pokok bemban macam dah jadi tanaman wajib kat kampung ini. Permintaan tinggi dari pokok bemban kerana ramai pengusaha atap dari daun nipah memerlukan bemban ini.

24. Kebun kelapa Cina banyak ditanam berbaris sampai ke belakang kampung dekat dengan sungai. 

25. Sepanjang tepi jalan kerajaan tanam pokok Pukul Lima. 

26. Pokok Ketapang sebelah rumah Tok Bedah dan depan rumah Wa Chin (Hashim). Pokok besar di depan jalan raya. Ada aku ceritakan dahulu, seram lalu di bawah pokok ini pada waktu malam.

Itu sahaja yang mampu aku ingat. Tanah di kampung aku ini boleh ditanam apa sahaja dan pokok-pokok mampu hidup subur. Kalau di tanam semula pokok-pokok durian, manggis di hujung kampung mungkin tak lama lagi anak cucu kita boleh makan. Jangan biarkan tanah semak. Tanamlah pokok buah-buahan nanti sedekahlah hasilnya kepada anak cucu.

Ulasan

Catatan Popular