25. Bakar Jerami
25. Bakar Jerami
Petang ini aku ronda-ronda dengan isteri. Aku memandu kereta hingga sampai dekat kampung di sebelah taman tempat tinggal aku. Pening duduk memerap dekat rumah. Dapat keluar ambil udara luar sikit punya laa lega rasanya. Dekat hujung kampung ada bendang yang luas. Masa aku sampai di tepi bendang, aku nampak ada seorang anak muda sedang membakar jerami. Bila ditanya katanya dia bantu ayah membersihkan bendang. Anak muda berpakaian kemas ala petani moden. Aku mengambil kesempatan merakam beberapa keping gambar menarik untuk dimasukkan dalam FB dan Instragram aku.
Salah satu proses penanaman padi adalah melupuskan jerami. Jerami adalah batang padi yang sudah diambil padinya. Batang-batang jerami yang berlonggok-longgok dalam bendang perlu dibakar jika masih kering. Jerami padi kalau sudah basah dan terendam, bau dia memang busuk masam. Jerami masam ini perlu dikecak atau diserakkan sahaja dalam bendang supaya mudah untuk dihancurkan oleh mesin pembajak.
Oh ya ada sedikit cerita masa kecilku
Pada waktu aku kecil ada satu peristiwa tentang membakar jerami ini yang aku masih ingat. Waktu itu petang. Peristiwa ini berlaku di bendang belakang rumah cikgu Basir sekarang ini. Petang itu seorang penduduk yang mengerjakan bendang membuat pembakaran jerami. Bendang beliau telah siap dikerat (dibanting) padi dan padi telah pun diambil keluar dari bendangnya. Sementara bendang di sebelahnya padi belum cukup masak untuk dikerat. Beliau telah membuat pembakaran terbuka bagi melupuskan jeraminya. Selepas membakar jerami tidak pasti beliau balik ke rumah atau masih ada di situ. Tiba-tiba kami dikejutkan dengan teriakan bendang terbakar. Bendang terbakar. Bendang yang belum diambil padi tadi telah disambar api. Dengar kata berlaku angin kencang petang itu yang menyebabkan api dari longgokan jerami yang dibakar tadi diterbangkan angin ke bendang sebelah. Api merebak dengan cepat. Semua orang kampung yang berhampiran berlari keluar mencapai baldi, membawa kayu dan ada yang membasahkan guni. Sama-sama berlari ke bendang bagi memadamkan api. Oleh kerana kejadian berlaku dekat dengan kampung maka mudahlah orang ramai membantu. Alhamdulillah api dapat dipadamkan. Hanya sebahagian sahaja dari bendang tersebut yang terbakar. Bomba yang sampai kemudiannya mendapati keadaan telah terkawal. Mengambil iktibar dari peristiwa itu pembakaran jerami sentiasa dikawal dan dibuat pada waktu petang apabila angin tidak ada atau tidak ada angin kencang.
Orang tua-tua yang masih hidup di kampung saya mungkin masih ingat peristiwa ini. Itulah ceritanya .
Ulasan
Catat Ulasan