21. Menjerat burung
21. Menjerat burung
Pada masa kecil aku banyak belajar dengan kawan-kawan bagaimana membuat jerat untuk menangkap burung di dalam kampung. Menjerat burung boleh saja dibuat di atas pokok atau di atas tanah. Menggunakan batang pokok sebagai pembidas dan tali tangsi untuk menjerat kaki burung. Selalunya aku menjerat burung di atas pokok menggunakan pisang atau buah keladi yang merah sebagai umpan. Hutan bemban belakang rumah tempat operasi aku. Kawasan itu banyak burung merbah, burung murai tanah dan murai gila. Kadang-kadang terserempak juga dengan burung punai tanah dan juga murai batu di situ.
Kawan-kawan di kampung ramai yang pandai membuat jerat. Ada sahaja burung yang mereka dapat. Merbah dan burung wak-wak antara yang selalu aku nampak dalam sangkar mereka. Ada juga yang menggunakan denak seperti burung merbuk dan juga burung terkukur. Abang aku pernah membela burung chak atau burung pipit berwarna choklat. Aku tidak tahu dari mana dia dapat.
Sepanjang aku membuat jerat ini, tak pernah sekalipun jerat aku mengena. Ya, walaupun seekor burung. Yang aku dapat hanyalah gigitan nyamuk di lengan dan pipi aku. Begitulah aktiviti masa kecil sentiasa berangan, mencuba dan berharap. Ismail Pak Hashim jiran aku pandai menjerat burung. Aku ingat lagi dia ada membela seekor anak burung mengala kerbau. Jinak burung ini. Dibiar terbang dan dipanggil untuk diberi makan. Ayah ada juga membela burung terkukur dan burung punai. Merdu suara burung ini apabila berbunyi. Ramai juga jiran yang membela burung. Ada yang membela di dalam sangkar dan ada juga yang membela di bawah beranda yang ditutup dengan dawai mata punai. Seingat aku, rumah Pak Jit jiran aku juga ada membela burung merbuk, terkukur biasa dan terkukur jawa. Kalau di rumah Pak, panggilan untuk bapak saudara aku di Permatang Che Tak, mereka membela burung merpati secara lepas bebas. Ada rumah kotak yang dibina khas untuk merpati ini. Tiang rumah kotak ini satu sahaja sementara kotaknya nun di atas tiang tersebut. Berpuluh ekor merpati tinggal di dalamnya. Tiang dibalut dengan zink supaya kucing atau musang tidak dapat panjat untuk memakan telor atau anak burung merpati ini.
Di sebelah rumah Pak ada hutan bemban. Dalam hutan bemban ini pun banyak burung-burung yang hidup bersembunyi di dalamnya. Ini termasuk burung gelam, burung ayam-ayam dan burung-burung kecil yang lain. Di sebelah hutan bemban ini terbentang luas, bendang yang sayup mata memandang. Dari hujung hutan bemban di Permatang Che Tak ini kita boleh nampak Kampung Telok tempat tinggal keluarga aku. Kampung-kampung lain juga boleh nampak seperti Permatang Sungai Dua, Masjid Tuan Haji Samad sampai sebelah Simpang Empat Permatang Buluh. Kadang-kadang aku dan keluarga berjalan kaki sahaja melalui batas bendang yang luas ini pergi dan balik ke rumah Pak dari kampung aku.
Berjalan kaki dalam bendang dari Permatang Che Tak ke Kampung Telok boleh lagi dibuat pada masa dulu. Selepas kerajaan membina lebuhraya, semua itu hanya tinggal kenangan. Lebuhraya ini memutuskan semua jalan rentas bendang yang selalu kami lalui. Lebuhraya telah mengambil tanah bendang emak aku dan juga tanah bendang yang ayah aku kerjakan. Semoga anak cucu aku akan ambil tahu yang lebuhraya berhampiran Tol Sungai Dua, Seberang Perai itu dahulu sebahagian tanahnya adalah tanah tok nenek mereka.
#Tamat. Ada lagi kah sahabat yang membela burung?
Ulasan
Catat Ulasan