41. Membaca boleh mengubah persepsi kita




 41. Membaca boleh mengubah persepsi kita.

 

Sambil duduk berehat di luar surau, saya ternampak sahabat lama; Budin (bukan nama sebenar). Saya memberi salam sambil menghulur tangan. Dia menyambut dengan senyum. Lama tidak berjumpa beliau. Beliau seorang pembekal buku-buku agama dan mempunyai sebuah kedai buku di sebuah pusat beli-belah. Beliau kelihatan sihat. Sambil bertanya khabar berita, saya bertanya tentang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, yang berlangsung dari 26 Mei hingga 4 Jun 2023 yang lalu. Walaupun pada kali ini beliau tidak menyertai pameran buku tetapi ada membekalkan buku-buku agama untuk dijual di acara tersebut.

 

Kami terus berbual tentang Pesta Buku. Pada pandangan beliau, kali ini buku-buku agama kurang laris katanya. Tidak ramai orang dewasa atau orang tua yang datang. Kebanyakan buku-buku novel yang laris. Ramai remaja yang mengunjungi Pesta Buku kali ini.

 

Bagi saya kenyataan beliau ini bermaksud buku agama banyak diminati oleh orang-orang dewasa atau tua. Jadi adakah orang dewasa atau tua kurang membaca?

 

Dulu-dulu banyak orang bercakap tentang remaja tidak suka membaca. Isu lama tetapi saya cuba kupas agar terjumpa jawapannya. Banyak kajian telah dibuat. Banyak alasan-alasan yang kita jumpai.

 

Bagi saya punca sebenar adalah sikap malas membaca. Malas ini suatu penyakit. Ubat malas adalah rajin. Sebab itu orang yang berjaya adalah orang yang rajin.

 

Rajin itu atas sebab usaha yang kuat. Rajin itu tercetus atas sebab orang itu tahu kenapa dia membaca atau membuat sesuatu kerja, dia berusaha dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Kenapa rajin membaca? Kerana ingin tahu. 


Selain kena tahu membaca, perlu pandai memahami "content area reading" terutama untuk membaca bagi mempelajari sesuatu. Memahami makna perkataan yang dibaca, mengetahui isi cerita dan apa yang hendak disampaikan oleh pengarang kepada pembaca dan semua ini perlu dipelajari diperingkat awal. Semua ini membantu untuk pembaca menilai dan menganalisa bacaan tadi. 

 

Pilihan bahan bacaan sekarang sudah banyak. Samada dalam bentuk bercetak atau secara digital, web, buku audio, media sosial dan lain-lain. Tetapi jika ada sikap malas membaca, apa saja bentuk bukunya tetap tidak membantu.

 

Untuk menjadi rajin membaca kita kena mula dari sekarang. Cari suatu tajuk yang anda minat bagi memulakan pembacaan. Ada orang membaca untuk meningkatkan motivasi diri, memajukan diri dalam kerjaya, memahami ilmu agama, membahagiakan keluarga dan lain-lain lagi.

 

Jika anda ingin menjadi contoh terbaik bagi keluarga maka anda perlu banyak membaca. Memang ada perbezaan orang yang berilmu dengan orang tidak berilmu. Menuntut dan banyak membaca akan membezakan tahap ilmu itu.

 

Membaca banyak mengubah cara kita berfikir. Kita berfikir mengikut tahap ilmu yang kita ada, sehinggalah kita membaca suatu perspektif berbeza dari pandangan kita. Barulah kita akan terfikir akan potensi pada perbezaan ini. Cuba lihat synopsis dari satu tajuk buku yang memenangi Buku Terbaik bagi kategori Buku Sekolah Rendah dan kanak-kanak tahun 2022. 

 

I am Quiet: A story for the introvert in all of us

Penulis: Andie Powers   Illustrator: Betsy Petersen   Penerbit: Shambhala

Sinopsis:

Emile tidak malu - dia pendiam. Emile mungkin kelihatan pemalu dan malu di luar, tetapi di dalam dia sibuk dengan berimaginasi. Walaupun orang dewasa dan juga kanak-kanak lain mungkin melihat Emile sebagai kanak-kanak yang pemalu yang tidak mengangkat tangannya di dalam kelas, kita tahu bahawa Emile sebenarnya seorang pengembara laut, penjelajah yang berani dan kawan kepada binatang buas.

 

Kisah ini memberi kita kefahaman untuk menghormati dan menggalakkan keindahan mengenali diri kita dengan tepat siapa diri kita. Dunia Emile menunjukkan kepada kita bahawa minda kanak-kanak yang pendiam boleh menjadi kaya, luas dan berani seperti mana-mana kanak-kanak lain yang lebih ekstrovert.

 

Ini adalah contoh bagaimana persepsi sesuatu kehidupan manusia itu berubah apabila kita mendalami emosi mereka melalui pembacaan.


#rajin


Ulasan

Catatan Popular