23. Air paip dan air telaga
23. Air paip dan air telaga
Di Kampung Telok Sungai Dua pada awal tahun 60an, yang aku ingat terdapat satu sahaja paip air awam yang dipasang di tepi jalanraya berhampiran rumah Mak Lang Lah dan rumah Tok Som. Di situlah tempat orang kampung datang mengambil air bersih secara percuma untuk minuman keluarga dan juga untuk mandi manda. Walaupun ada yang mandi di situ tetapi kebanyakan penduduk masih mandi di telaga.
Paip air ke rumah kami mula dinikmati pada pertengahan tahun 60an. Ayah dan kebanyakan orang kampung membeli kok bulat yang dibuat dari simen untuk menyimpan air. Ketika itu kebanyakan rumah mempunyai bilik mandi di luar rumah. Nikmat mempunyai air bersih, Allah sahaja yang tahu. Minum air paip adalah perkara biasa. Air paip sudah dikira bersih kerana kejernihannya. Itulah kemajuan yang kami nikmati pada masa itu. Kami hidup dari zaman asas kemajuan, hidup dengan air bersih.
Semasa kecil, masih ada keluarga di kampungku yang menggunakan air perigi untuk tujuan mandian dan mencuci pakaian. Ada beberapa telaga atau perigi yang masih aku ingat.
1. Rumah Tok Lebai Hamid (rumah Tok aku) terdapat sebuah telaga yang besar. Menurut cerita ayah pada suatu ketika berlaku musim kemarau dan penduduk kampung berkerjasama mengorek telaga ini dan menemui mata air di kawasan tersebut. Maka ramai orang kampung yang datang mengambil air di situ. Masa aku kecil telaga tersebut tidak digunakan lagi kerana kami telah mula menggunakan air paip. Di dalam telaga ini terdapat banyak ikan lampam dan sepat. Sekali sekala aku memancing di telaga ini. Waktu hujan lebat air telaga ini melimpah. Ikan jelas kelihatan berenang-renang di hadapan rumah aku.
2. Rumah Tok Meah, yang terletak di belakang rumah Tok Lebai Hamid, terdapat juga telaga besar. Ianya juga berdekatan dengan rumah Pak Long Mat dan rumpunan pokok buluh. Ianya digunakan oleh banyak keluarga di situ. Air telaganya jernih dan sejuk. Aku selalu juga mandi di situ.
3. Rumah Long Embun berdekatan rumah Ngah Laili. Telaga terletak depan rumah sebelah kiri. Terdapat pokok getah dan bemban ditepi telaga ini. Airnya Jernih dan sejuk. Kawasan mainan kami budak-budak sekitar telaga ini. Main tanah liat. Buat binatang dengan tanah liat.
4. Rumah Pak Hashim, Mak Lah (Tok Hj Zol). Telaga dekat dengan pokok manggis. Dipagar dengan daun kelapa dan zink serta kayu. Air telaganya jernih dan sejuk. Aku pernah mandi di sini. Dimandikan juga pernah di telaga ini kerana aku bersunat di rumah Pak Hashim. Nanti insyaAllah aku akan tulis kisah ini.
5. Ada satu lagi telaga dekat sawah Pak Man Perlis. Telaganya besar. Telaga ini dekat dengan sawah yang terletak dalam kampung. Aku pernah mandi dan ramai yang suka masuk dalam telaga ini. Sekali jaa kut aku mandi di situ. Kaki tak capai dasar telaga macam nak lemas aku dibuatnya.
6. Ada sebuah telaga dekat ruman Tok Man, Abang Mat dekat rumah Tok Su Ali (ayah ustaz Noor). Telaga terletak di belakang rumah. Air telaganya jernih dan terdapat pokok putat disebelahnya.
7. Rumah Ngah Laili. Satu-satunya rumah dimana telaga ada dalam rumah. Telaga mereka guna kok simen.
Mendapat air bersih menjadi keutamaan semua penduduk. Perlahan-lahan paip-paip air mula memasuki kampung dan ia merupakan suatu kemajuan pada masa itu. Aku menyaksikan beberapa rumah yang yang membuat bilik air di luar rumah, menyediakan kok simen dan setengahnya membuat kolah simen sendiri. Air bersih juga suatu nikmat.
Ulasan
Catat Ulasan