30. Terperlus
30. Terperlus
Pada suatu hari, anak aku minta untuk basuh kaki aku. Aku terdiam. Tapi sebab dia bersungguh-sungguh nak buat aku benarkan sahaja. Banyak betul parut dekat kaki ini katanya. Aku kata, ini semua parut kesan luka dan kudis masa kecil-kecil dulu. Maka berceritalah aku.
Ada suatu peristiwa yang meninggalkan bekas parut yang besar pada kaki aku. Aku suka memancing. Adalah pada suatu hari, waktu petang aku pergi memancing dekat parit di seberang jalan berhampiran rumah aku. Parit dekat dengan kebun sayur Pak Din ada banyak ikan keli. Pak Din, Kak Sham dan Mak Yoon memang rajin bercucuk tanam. Walaupun kawasan tanah berhampiran bendang tidaklah sebesar mana tetapi hasil kebun mereka sangat banyak.
Aku mula memancing di tepi parit sampai ke bawah pokok reyang. Teringat arwah Ya adik abang Pa. Dengar kata dia jatuh pokok reyang dan sakit sebelum meninggal. Di sebelah pokok reyang ada pokok rambutan. Pokok rambutan ini buahnya memang elok dan lekang. Pokok rambutan ini berada dalam halaman rumah yang di sewa oleh Pak Omar. Sebelum itu rumah ini disewa oleh Cikgu Ayub. Pak Omar baru sahaja membuat titi baru. Dia ada kereta.
Pada masa aku memancing di atas titi depan rumah Pak Omar inilah kaki aku terperlus dicelah titinya. Bayangkan kaki aku terperlus sampai ke lutut. Luka di tepi lutut besar. Sakit amat sangat. Bohong kalau kata aku tak teriak (menangis). Balik rumah basuh luka dengan detol dan balut dengan kapas yang dibubuh ubat kuning. Sepanjang malam kaki aku berdenyut. Besoknya aku pergi juga ke hospital Butterworth untuk buat dressing. Aku rasa berbulan juga laa untuk luka aku itu hendak baik.
Aku tak tahulah samada kawan-kawan sekampung aku yang kaki mereka tak berkudis dan luka macam aku. Lepas satu, satu. Kalau tidak kerana tersepak batu, tersepak akar kayu. Paling takut terpijak paku atau kaca.
Pakailah kasut ya anak-anak bila bermain bola. Jangan pakai selipar atau berkaki ayam.
Tamat// Gambar hiasan sahabatku semasa mereka kecil
Ulasan
Catat Ulasan