19. Tahan Bubu

 


19. Tahan Bubu


Petang itu hujan lebat. Angin sedikit kuat. Emak menyuruh aku menutup tingkap. Sebelum menutup tingkap aku melihat keluar. Melihat ke arah bendang. Putih sahaja tidak kelihatan Gunung Jerai. Malah pokok-pokok nyiur di Permatang Haji Hasan pun nampak kabur sahaja. Mata aku tertumpu pada bendang Pak Ali yang betul-betul mengadap ke arah rumah aku. 


Padi yang baru beberapa minggu sahaja di tanam, tumbuh menghijau. Angin berserta hujan mengalunkan pokok-pokok padi yang muda. Hujan menjadikan air di dalam petak padi meningkat. 


Hujan semakin lebat. Air mula naik di bawah rumah. Sliper aku sudah terapung. Cepat-cepat aku turun ke bawah dan ambil sliper serta kasut. Aku letak semuanya di atas tangga. Di bawah rumah air sudah naik dalam sejengkal. Bila hujan terlalu lebat, air dari dalam kampung akan melimpah ke luar dan akan masuk ke kawasan rumah-rumah berhampiran rumah aku. Selalunya rumah rumah Pak Long Mat, rumah Tok Meah, rumah Wan dan rumah aku akan bertakung air hujan ini. 


Telaga besar sebelah rumah aku turut melimpah airnya. Dalam telaga ini banyak ikan-ikan lampam dan juga sepat benua. Masa ini ikan akan keluar dari telaga mengikut aliran air yang masuk ke parit depan rumah. Dari atas rumah aku boleh nampak ikan-ikan berenang di halaman rumah. Otak ini mula berikir bagaimana hendak tangkap ikan-ikan ini. Nak guna sauk atau serampang atau serekap. Ayah ada sauk yang diguna untuk menyauk udang. Abang Mat ada serampang buluh mata tiga. Ada juga serekap yang kami guna untuk cari ikan di bendang.


Tiba-tiba terdengar mak panggil kami minum petang. Mak buat bubur kacang. Aku suka bubur kacang cicah roti bengali. Mak juga bancuh teh O untuk kami.


Besok pasti ayah akan ke bendang melihat air di petak. Jika air banyak ayah akan buka gelung untuk air mengalir keluar ke parit gila. Tempat aku kami ada tali air yang kami panggil parit gila. Tidak pasti bagaimana nama tersebut muncul. Mungkin kerana parit ini tidak lurus, bengkang bengkok.


Pagi besoknya aku dan ayah ke bendang. Melihat air yang banyak mengalir dari petak ke petak merentasi batas. Aku sempat juga melihat kelibat ikan sepat benua, haruan dan puyu berenang mengikut aliran air melintasi batas bendang. Jika berpeluang terjumpa ikan yang tersangkut di atas batas, mudah bagi aku menangkapnya.


Ayah balik ke rumah pagi itu dan mengambil bubu. Ikan banyak kata ayah. Bubu yang dibuat dari buluh yang ayah ambil ini agar besar. Tinggi dalam 4 kaki. Berbentuk bulat. Diperbuat dari buluh. Ada tempat masuk ikan dan ada pintu kecil untuk keluarkan hasil yang terperangkap dalam bubu.


Ayah bawa bubu ke seberang jalan di depan rumah. Ada parit di situ. Parit yang dalam dan bersih. Parit ini sentiasa dibersihkan oleh Jabatan Parit dan Tali Air. Air dari petak Tok Su Ali yang berlebihan juga akan di alir keluar ke parit itu. Ayah masukkan bubu ke dalam parit. Muka pintu mengadap aliran air masuk ke dalam buku. Ayah letakkan buluh-buluh di tepi bubu agar ikan tidak boleh mengelak untuk masuk ke dalam bubu. Bubu di ikat dengan pancang buluh agar tidak teralih oleh aliran air yang deras. Parit ini walaupun di tepi jalan tetapi ianya adalah parit untuk diguna bagi mengalirkan air bendang terus ke sungai. Besok pagi baru ayah bercadang untuk angkat bubu ini.


Aku sudah lupa tentang ikan semalam yang bermain-main di halaman rumah. Aku asyik meredah air yang tidak surut-surut lagi. Air dalam parit depan rumah masih penuh, airnya jernih. Langit masih mendung. Hujan renyai-renyai sekali sekali datang menambahkan air yang tidak surut-surut ini.


Pada waktu tengah hari aku dapat tahu orang sedang berpesta menjala di sungai dekat hujung kampung berdekatan Pekan Sungai Dua. Aku capai basikal dan pergi ke sana ingin melihat apa yang sedang berlaku. Ramai orang berkumpul melihat orang menjala ikan. Orang yang menjala ada dua tiga orang. Mereka menjala ikan berhampiran jambatan yang ada paip air besar. Aku lihat air sungai mengalir laju. Bila ada saja tanda ikan di permukaan sungai mereka campakkan jala. Lampam jawa, sepat benua dan puyu memang banyak. Aku nampak Pak Bakar beberapa kali mencampakkan jalanya dan hasilnya puyu, sepat siam dan ada juga haruan.


Malam itu abang Mat ajak menyuluh ikan dalam parit. Abang Mat buat serampang mata tiga. Guna batang buluh dan ikat besi serampang di hujungnya. Kami menyuluh dekat parit berhadapan rumah Tok Su Ali. Parit di situ bersih, senang nampak ikan. Dapat lah juga malam itu ikan keli dan haruan.


Besoknya pagi-pagi ayah mengangkat bubu yang diletakkan dalam parit sehari sebelumnya. Aku bantu tarik bubu naik ke atas batas di tepi jalan raya. Banyaknya ikan. Paling banyak ikan sepat siam dan puyu. Ada juga ikan haruan dan keli. Penuh separuh jaras banyaknya ikan ini. Balik rumah nanti kena tolong emak siang ikan pula. Aku suka makan masak pindang ikan keli dan haruan. Pedas dan manis. Ikan sepat siam buat masak asam utara memang menyelerakan. Sepat siam lumur garam dan jemur bagi kering, buat goreng bersama bawang merah dan cili kering pun boleh menambahkan selera.


#Tamat. Semua ini kenangan masa kecilku. Semoga kenangan ini dapat ku tinggalkan untuk anak-anak dan cucu-cucuku dan juga pembaca sekelian.

Ulasan

Catatan Popular