31. Gajet oh gajet

 



31. Gajet oh gajet

Tengahari tadi aku panggil cucuku. Dia diam dan asyik melihat youtube cerita kanak-kanak dari tablet. Hingga aku terpaksa pergi mendekati dan menyentuk dia, baru dia perasan dan bertanya kenapa. “Jom, makan nasi!” kata aku. “Kenapa tadi masa Tok panggil tak jawab?” tanya aku. “Tak dengar pun!” jawabnya.

Aku rasa laa apabila seseorang terlalu asyik dengan sesuatu tontonan di TV, tablet, telefon pintar atau gajet yang lain, otaknya akan menampan segala bunyi dari luar yang biasa-biasa didengar untuk diproses bagi mengambil tindakan oleh badan. Keasyikan dengan gajet menjadikan masa yang mereka lalui itu terlalu cepat. Mereka tidak akan puas apabila kita cuba menyekat atau menganggu mereka. Ini yang menyebabkan mereka marah atau memberontak jika kita mengawal keseronokan yang mereka sedang lalui. Adakah ini tanda-tanda ketagihan kepada gajet?.

Aku ada membaca satu kajian yang dibuat terhadap ibu bapa yang mempunyai anak antara umur 9 hingga 24 bulan. Bagaimana kesan gajet terhadap anak-anak mereka yang menggunakan gajet melebihi 2 jam dalam sehari. Antara hasil kajian mendapati anak-anak yang ketagihan kepada gajet ini mempunyai kesan terhadap perkembangan pertuturan atau bahasa. Perbendaharaan bahasa anak-anak tidak banyak dan pertuturan pula tidak jelas. Mereka banyak menggunakan pergerakan tangan untuk mendapatkan sesuatu, bukannya berkata sesuatu untuk mendapatkan bantuan atau keperluan dari ibubapa. Kajian juga mendapati interaksi atau rangsangan ibubapa dengan anak-anak juga berkurangan.

Dalam kajian lain pula, beberapa orang penulis mendapati penggunaan gajet pada jangka masa yang lama boleh menjejaskan perkembangan bahasa, kemahiran membaca, memori, dan tumpuan. Penggunaan tanpa kawalan juga akan merosakkan hubungan kekeluargaan dan sosial serta boleh membawa kepada penyakit-penyakit fizikal mahu pun mental.

Bagi mencegah kesan negative gajet kepada anak-anak, penyelidik mencadangkan supaya ibubapa mengawal dan menyelia skrin gajet yang digunakan oleh anak-anak mereka. Ibubapa hendaklah berusaha mengambil berat bagi mengurangkan risiko berkaitan dengan masa mengadap skrin, dan hendaklah juga sentiasa berhati-hati dengan apa yang anak-anak lihat di gajet mereka. Ada juga penyelidik lain yang mencadangkan ibubapa menjadi contoh ikutan dan ini sangat penting dalam membentuk peribadi anak-anak. Mereka menekankan bahawa cara berkomunikasi antara anak-anak dengan ibubapa juga ada kesannya. Selain itu pemilihan kawan oleh anak-anak juga sangat penting bagi mengawal ketagihan gajet ini.

Beza betul permainan zaman sekarang. Tak macam saya zaman dulu-dulu. Nak kata dulu-dulu main permainan lagi hebat, tidak juga. Kalau dulu kita main gasing, bukan main sorang sorang. Kena main ramai-ramai. Asyik juga. Main lama juga. Bergerak sana sini. Riuh rendah dengan suara rakan-rakan. Menjerit juga mak kita bila balik lambat. Tapi zaman sentiasa  berubah maka kita laluilah dengan berhati-hati agar kita tidak tengelam dengan keasyikan dan penipuan masa.

 

#Tamat


Ulasan

Catatan Popular