29. Luka di kakiku
29. Luka di kakiku
Masa kecil, aku mengalami banyak peristiwa yang menyebabkan aku tercedera, luka di kaki dan akhirnya menjadi kudis.
Kasut yang aku ada hanyalah kasut untuk pergi ke sekolah. Setiap hari aku akan memakai selipar jepun sahaja. Itu pun rasanya setahun satu pasang selipar sahaja yang ayah belikan. Aku pakai sehingga berlubang atau terputus. Selalunya bila bermain, aku berkaki ayam. Kalau masuk bendang memang aku akan tinggalkan selipar di rumah. Kalau aku pakai pun hanya untuk melintas jalan dan bila sampai di bendang aku tinggalkan sliper di atas batas.
Cara kehidupanku memudahkan aku mendapat luka di kaki. Walaupun lukanya kecil tetapi ia mudah untuk terus merebak dan menjadi kudis. Walaupun di rumah ada ubat iaitu ubat kuning dan ubat biru untuk merawat luka. Tetapi selalunya ia tidak begitu berkesan. Walaupun aku letak ubat kuning di kapas dan kemudiannya ditekapkan di kudis serta dilekatkan pula dengan plaster ianya tetap tidak tahan lama disebabkan aku suka bermain, berlari dan selalu terkena air. Bayangkan bila ada kudis di kaki dan aku kena pergi ke bendang menolong keluarga. Kudis akan kembang dan membesar. Ada juga ubat penicillin seperti gel yang aku sapu pada luka. Kalau bubuh gel selalunya aku tidak balut kudis tersebut. Kudis terdedah menyebabkan bari sejenis serangga yang kecil seperti lalat suka hinggap di tempat luka dan memakan nanah. Akibatnya kudis aku akan lambat baik.
Kalau pergi sekolah selalu aku bubuh plaster dekat kudis dan sarung dengan sarung kaki. Bila main bola terus lupa yang kaki berkudis, tendang bola juga walaupun kaki sakit. Pada waktu sekolah rendah aku masih ingat ada van dari pejabat kesihatan akan datang setiap minggu ke kawasan pekan Sungai Dua. Van ini akan berhenti di tepi jalan berhampiran kilang memproses udang dan kilang ubat nyamuk. Pada waktu rehat aku akan pergi mendapatkan ubat luka dari van ini. Pegawai kesihatan akan memberi juga kapas dan plaster untuk kegunaan aku. Pada masa itu belum ada klinik kesihatan di Sungai Dua. Siksa betul bila berkudis di kaki. Memang lambat baik. Bila kering saja, cepat sahaja luka balik.
Alhamdulillah, kita jarang mendengar kanak-kanak zaman sekarang berkudis. Penjagaan kesihatan oleh masyarakat di negara kita bertambah baik.
Ulasan
Catat Ulasan