20. Bank Simpanan Pejabat Pos
20. Bank Simpanan Pejabat Pos
Selepas solat jumaat aku tidak balik terus ke rumah. Walaupun perut terasa lapar tetapi aku tetap menunggu. Menunggu di bawah pokok ketapang. Pokok ketapang sebelah kedai Cina basikal dan dekat dengan tanah lapang. Di tanah lapang ini pada bulan tertentu selalu ada persembahan wayang Cina. Bila aku pergi bergunting rambut dengan ayah dan masa itu pula ada persembahan wayang Cina di Pekan Sungai Dua, ayah akan dukung aku untuk tengok sekali. Aku rendah mana hendak nampak lakonan di atas 'stage' dengan ramainya orang disekeliling aku.
Van merah tertulis Pos berhenti berhampiran pokok ketapang tadi. Tempat ini redup. Ramai yang menunggu rupanya. Pintu boot belakang van dibuka. Abang posmen mula membuka kaunter. Semua beratur untuk dapatkan perkhidmatan Pos. Sampai giliran aku. Aku hulurkan buku Bank Simpanan Pejabat Pos. "Saya nak masukkan duit" kataku. Berapa? tanya abang posmen. Seringgit aku jawab. Abang posmen ambil duit dan dia tulis dalam buku akaun aku. Dom bunyi dia cop dekat buku. Kemudian dia hulur buku dekat aku. "Terima kasih abang" kata aku sambil memberi laluan kepada orang di belakangaku. Aku pegang erat Buku Simpanan dan berjalan ke basikal. Aku buka dan belek jumlah dalam buku. Emmp dah sepuluh ringgit simpanan aku.
Hasil simpanan sebahagian duit belanja dan hasil jualan buah jambu dekat sekolah dapat juga aku simpan seringgit minggu ini. Petang-petang aku akan cari buah jambu batu dekat rumah aku. Rumah Tok ada juga pokok jambu. Jambu Tok isinya merah. Jambu ini lembut sikit dan bila masak banyak ulat. Aku jual jambu masa darjah tiga rasanya. Pagi-pagi bila sampai sekolah aku letak bag dekat kelas di tingkat atas. Aku bawa bag plastik yang penuh dengan buah jambu turun dekat bawah dan tunggu tepi tangga. Bila Yusof, Arif Shah, Toi, Ishak, Saad, Noordin dan kawan-kawan sekolah sampai aku tanya depa, siapa hendak buah jambu. Dua biji sekupang (sepuluh sen). Sebelum kelas bermula kebanyakan buah sudah habis aku jual. Jarang aku bawa balik buah yang tak habis. Kalau tak habis, aku makan sendiri.
Pernah pada hari raya aku dapat kumpul dan simpan hingga tujuh ringgit. Itu rasanya duit raya paling banyak yang aku dapat dan paling banyak aku simpan dekat Bank Simpanan Pejabat Pos. Di Pekan ada juga wakil Pos. Kalau hendak beli setem aku akan pergi beli dekat Pak Murad. Kedai dia hujung simpang antara jalan untuk ke Pengkalan Machang dan ke Kampung Teluk. Kedai Pak Murad betul-betul mengadap Balai Polis. Sebelah Balai Polis ada gelanggang badminton. Depan Gelanggang Badminton dan sebelah jalanraya ada Pos Box. Surat-surat kalau tak nak bagi kat Pak Murad boleh masuk dalam Pos box ini.
Pak Murad sebenarnya buka kedai gunting rambut. Sambil itu dia juga menjadi wakil pos. Kedai gunting rambut Pak Murad ini mungkin kedai gunting orang Melayu yang pertama dekat pekan ini rasanya. Surat-surat yang sampai dari Pejabat Pos Besar Butterworth akan di susun dalam kotak-kotak yang ada dalam kedai ini. Kemudian barulah posmen pergi hantar ke rumah-rumah. Aku masih ingat Posmen yang selalu hantar surat ke kampung aku namanya Zaidi. Orangnya putih dan kacak. Tambah segak bila dia beruniform Posmen. Zaidi akan menaiki basikal merah yang ada raga di depan handle. Beliau sentiasa senyum bila hantar surat. Kalau ada surat Zaidi akan bunyikan loceng basikal bila lalu di depan rumah.
Setem paling laku pada masa bulan puasa. Ramai orang membeli setem untuk menghantar kad raya. Karung surat kadang-kadang lebih dari satu guni Pak Murad hantar ke Pejabat Pos Besar Butterworth. Dia hantar disebelah petang bila van Pos datang mengambil. Bulan puasa ramai menunggu Zaidi kut-kut ada kad raya untuk mereka.
Dekat kedai Pak Murad ini, aku pernah bergunting rambut dengan dia. Kadang-kadang tengah bergunting dia akan berhenti sekejap kerana ada orang datang nak beli setem. Kalau orang nak buat pos berdaftar lagi laa lama kena tunggu. Anak-anak Pak Murad pandai-pandai. Masa tu yang aku tahu dah ada anak dia yang masuk universiti.
#Tamat. Aku dok cari siapa yang bagi inspirasi untuk aku buka buku Bank Simpanan Pejabat Pos.
Ulasan
Catat Ulasan