22. Paip besar di depan rumah

 


22. Paip besar di depan rumah

Usaha kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membekalkan air ke Pulau Pinang dari Sungai Muda Kedah adalah dengan membuat terusan dari Sungai Muda ke Pusat Rawatan Air Sungai Dua. Dari Pusat Rawatan Air ini, air disalurkan melalui paip bawah tanah ke Pulau. Lubang parit untuk paip besar ini dikorek sepanjang tepi jalanraya yang melibat banyak kampung termasuk Kampung Telok, Sungai Lokan dan lain-lain kampung lagi.  Lubang parit yang besar ini kemudiannya diisi dengan paip besar yang disambung-sambung. Bagi mengelak runtuhan tanah semasa proses mengorek parit ini mereka meletakkan cerucuk besi di tepi tebing. Masa mula-mula mereka mengerjakan projek ini,  aku masih di sekolah rendah. Apabila mereka membuat kerja di hadapan rumah aku, aku sudah di tingkatan satu, kerja belum siap lagi pada masa itu. Besar paip air ini, aku boleh berlari di dalamnya. Pernah aku turun ke dalam saluran paip ini yang siap dipasang di dalam tanah. Gelap tak berani aku hendak berjalan di dalamnya. Bila kita bercakap ianya bergaung. Maklumlah paip kosong dan panjang. Proses menyiapkan saluran paip ini memakan masa yang lama. Apabila hujan, lubang yang dikorek dan tidak sempat dikambus akan menakung air. Kerja mengepam air terpaksa dibuat bagi kawasan yang terlibat bagi meneruskan kerja penyambungan paip-paip ini. Kawasan yang lama ditinggal menjadi kolam-kolam kecil dan ikan pula banyak di dalamnya. Aku pernah memancing di tempat-tempat takungan air ini. Sepat, puyu, keli dan haruan memang banyak pada masa itu. 


Sekarang projek ini sudah siap,  generasi baru kalau tidak diberitahu mungkin tidak perasan bahawa di dalam tanah sebelah jalan di Kampung Telok Sungai Dua ada paip besar yang mengalirkan air ke Pulau Pinang.


Masa kerja mengorek tanah di depan rumah ini, aku terjumpa banyak pasir seperti pasir laut. Aku juga terjumpa siput dan juga kerang. Dulu-dulu mengikut cerita orang tua-tua kawasan kampung ini adalah sebahagian dari laut.


Aku teringat masa pergi melawat Tapak Arkeologi Lahar Kepah di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, aku dimaklumkan bahawa pada masa dahulu kawasan laut juga merentasi kawasan berhampiran Kepala Batas. Penemuan rangka manusia Neoliti berusia 5000 tahun terdapat juga di situ. Banyak kerang ditemui di situ. Pernahkah anda sampai ke sana? Kalau belum singgahlah. Belajar sedikit tentang tamadun kita. Banyak yang kita belajar masa kecil dahulu telah berubah dengan penemuan ini.


Ulasan

Catatan Popular