53. Solat di Masjid Bandar di Negara Balkan

 

53.  Solat di Masjid Bandar di Negara Balkan

Perjalanan aku ke negara-negara Balkan membuka lembaran pengalaman baru dalam kehidupan beragama. Walaupun Islam bukan agama majoriti, kehadiran masjid-masjid di bandar-bandar utama memberi ketenangan hati. Masjid-masjid ini menjadi tempat singgah rohani yang bukan sahaja cantik dari segi seni bina, tetapi juga unik dalam budaya dan pengurusan harian mereka.

Salah satu perkara yang paling aku ingat ialah pengalaman berwuduk. Air paip di negara Balkan, terutamanya ketika musim sejuk atau awal musim bunga, sangat sejuk. Air menyentuh kulit seperti salji yang mencair—tajam dan menggigil. Namun, ada juga masjid yang prihatin dan menyediakan air panas untuk wuduk. Suatu kelegaan besar bagi musafir sepertiku.

Menariknya, masjid-masjid tertentu di bandar mengenakan peraturan agar jemaah memakai sarung kaki ketika solat. Mungkin untuk menjaga kebersihan atau sebagai langkah keselesaan dalam ruang berkarpet. Disebabkan itu, tuala bersih disediakan berhampiran tempat wuduk untuk mengeringkan kaki sebelum masuk ke ruang solat. Satu langkah kecil, tetapi penuh makna dalam menjaga adab dan kebersihan rumah Allah.

Waktu solat juga berbeza daripada kebiasaan di tanah airku. Sebagai contoh, waktu Zohor yang sepatutnya masuk sekitar 12.30 tengah hari, biasanya diadakan azan sekitar jam 1 petang. Rupa-rupanya, waktu ini bertepatan dengan waktu rehat makan tengah hari bagi kebanyakan pekerja. Dengan itu, mereka boleh bergegas ke masjid dan bersolat jemaah bersama-sama. Ini menunjukkan betapa masyarakat Islam di sana berusaha menyesuaikan ibadah dengan gaya hidup sekeliling, tanpa mengabaikan kewajipan agama.

Solat di masjid-masjid bandar di Balkan memberi satu rasa yang berbeza. Ia mengajar aku bahawa Islam itu fleksibel, penuh hikmah, dan mampu berakar dalam pelbagai budaya—dengan syarat, asasnya tetap utuh.

23 April 2025


Ulasan

Catatan Popular