40. Lompat sikatak lompat
40. Lompat sikatak lompat
(Sambungan cerita 39. Orang Minyak)
Aku tidak selesa untuk tidur di beranda rumah Pak Jid. Pagi-pagi sebelum subuh aku buat keputusan untuk balik ke rumah. Aku kayuh sekuat-kuat hati meredah pagi yang sejuk dan gelap itu. Sampai di rumah hujan renyai-renyai mulai turun. Lampu di luar rumah terpasang, mungkin ayah nyalakan disebabkan aku tidak balik malam itu. Oleh kerana kunci pintu rumah adalah selak dari dalam maka aku perlu panggil ayah atau emak untuk membuka pintu. Aku mengambil keputusan untuk tidak mengganggu mereka. Jadi aku naik ke beranda rumah dan bercadang untuk tidur sahaja di situ.
Hujan makin lebat dan nyamuk memang banyak. Tidur di atas
bangku panjang di beranda berbekalkan kain sarung. Bila kain sarung aku tutup
kaki, nyamuk serang kepala aku. Bila tutup kepala, nyamuk serang kakiku. Serba
tidak kena. Hujan lebat dan sejuk pagi itu menyebabkan aku terbatuk-batuk. Aku
terlelap juga. Tiba-tiba aku terdengar pintu rumah di beranda dibuka. Lampu
suluh dari pintu menyuluh tepat kepada aku. “Ayah!” terkeluar perkataan dari
ku. Ayah diam tidak berkata apa-apa. Aku terus masuk ke dalam rumah. Aku telah
mengganggu tidur ayahku. Mungkin aku batuk sepanjang pagi itu menyebabkan beliau
tersedar.
Pagi itu aku bangun lewat. Mungkin gangguan tidur aku menyebabkan lena aku begitu panjang. Di dapur senyap sunyi. Ayah dan emak tidak ada. Lepas mandi aku bersarapan. Nasi goreng. Cukup mengeyangkan perut aku pagi itu.
Aku jangkakan ayah dan emak ke sawah. Di sawah musim padi sedang membesar. Kelmarin ayah sudah pesan kepada aku untuk pergi menebas batas. Selalunya bila padi sedang membesar, rumput juga tumbuh dengan suburnya di atas batas sawah.
Selesai sarapan, aku ke bekas padi. Bekas padi atau rumah kecil untuk simpan padi. Ada juga yang panggil jelapang. Di celah dinding luarnya ada tersangkut sabit yang kayu pemegangnya panjang. Aku capai dan terus ke sawah.
Sambil berjalan aku teringat peristiwa semalam di depan jalan rumah Pak Jid. Semuanya berpunca dari kawan-kawan yang bermain-main di tepi jalanraya. Ada sahabat yang membuat kelakar. Memakai kain sarung pelikat macam ninja dalam cerita Samurai. Dulu-dulu aku sangat berminat dengan cerita Samurai ini. Cerita di TV pada masa itu dalam hitam putih.
Semalam, waktu sekitar pukul satu pagi, semua kami yang berjaga sudah mengantuk. Apabila sebahagian kami naik untuk tidur, sebahagian lagi kawan-kawan masih di tepi jalan raya. Mereka bermain-main seperti ninja. Ada seorang dari mereka melompat-lompat seperti katak di atas jalan raya dan pada masa itu ada sebuah motorsikal yang datang dari arah kampung sebelah ternampak "lembaga" ini. Lembaga yang melompat-lompat seperti katak. Mungkin dia menganggap lembaga ini orang minyak. Masa itu dia berada berhampiran dengan kilang kayu yang jarak dengan lembaga ini adalah lebih kurang lima ratus meter. Dia berhenti dan terus membuat pusingan U. Kemungkinan besar dia pergi ke kampung sebelah dan memaklumkan kepada orang kampung yang berjaga di sana.
Sebab itulah orang kampung sebelah datang berderum-derum ke tempat kami malam itu. Sementara disebelah kami tenang sahaja menanggani kejutan malam itu. Begitulah ceritanya.
Lompat sikatak lompat,
tinggi lagi lompat sikera,
Cepat berjaga kawasan setempat,
orang minyak punya angkara,
Kesimpulannya bukan semua yang kita lihat dan sangkakan betul, itu betul. Zaman kanak-kanak, semua mainan adalah untuk keseronokan. Kesilapan dan kesalahan adalah pengajaran dan pelajaran yang bermakna dalam membesar menjadi dewasa.
#siriceritapendek
Ulasan
Catat Ulasan