39. Orang Minyak
39. Orang Minyak
Malam itu gelap gelita. Aku mengayuh basikalku dengan laju tetapi masih aku rasa basikal aku bergerak perlahan. Aku melalui di bawah pokok ketapang yang batangnya sebesar sepuluh pemeluk budak-budak seperti aku. Pokok yang keras. Aku menjeling ke belakang ke tempat duduk basikal takut-takut ada yang menumpang. Kosong. Lega. Di depan sana, jalan kelihatan terang. Satu-satunya lampu jalan yang menyala. Lampu jalan di depan rumah Pak Jid. Di situ kawan-kawan berjanji berkumpul di malam itu.
Kami berkumpul kerana satu cerita. Cerita orang minyak. Cerita dari mulut ke mulut yang tidak tahu dari siapa. Tetapi malam itu kami berkumpul untuk berjaga. Menjaga kampung dari serangan orang minyak.
Ada lebih kurang tujuh ke lapan orang budak-budak sebaya aku berkumpul pada malam itu. Kami jiran sekampung. Duduk beramai di beranda rumah Pak Jid. Sambil bersembang pelbagai cerita, kami dijamu dengan kueh dan air teh o panas.
Konon cerita orang minyak telah masuk ke dalam rumah orang berlaku di sebuah kampung. Jangan tanya kampung mana. Kerana aku sebenarnya tidak tahu cerita sebenarnya. Orang minyak ini masuk ke dalam rumah dan ganggu anak gadis orang. Aku cuba berimiginasi macam dalam film "Sumpah orang minyak" yang diarahkan oleh Allahyarham P. Ramlee. Cerita lama diterbitkan pada tahun 1958. Film ini dalam bentuk hitam putih. Imaginasi lagi, orang minyak badannya berminyak. Mungkin dia sapu minyak supaya badannya licin. Badan licin susah orang nak tangkap dia. Kononnya, dalam film dia boleh hilang dan timbul di tempat lain. Reality susah hendak percaya.
Rumah-rumah di kampung aku memang tidak berpagar. Maka senang untuk orang jahat menceroboh rumah orang. Kampung aku sekarang ini orang boleh lalu-lalang kepelusuk kampung dengan mudah. Ikut saja lorong-lorong pejalan kaki.
Balik kepada cerita. Waktu dah hampir pukul 12 tengah malam. Ramai orang balik dari kerja shif malam. Samada dengan bas kilang, bermotorsikal atau berbasikal. Jalan di depan rumah Pak Jid jadi sibuk sekejap. Kilang-kilang di sekitar Prai dan Mak Mandin memang ada shif siang dan malam. Bila motorsikal berkomboi balik ke rumah masing-masing maka riuh di atas jalan.
Jam sudah pukul satu pagi. Sekali sekala ada juga motor yang lalu melepasi jalan di tempat kami berjaga. Aku sudah rasa mengantuk. Aku dengan beberapa orang kawan naik ke beranda rumah Pak Jid untuk tidur.
Belum pun sempat lelap, tiba-tiba terdengar bunyi riuh di halaman rumah. Bunyi motorsikal dan bunyi orang berteriak kuat. "Dia masuk lorong ini" terdengar dari salah seorang dari kumpulan yang datang tadi. Aku jengok keluar dan lihat ramai budak-budak muda berkerumun depan beranda. "Ada apa ni?" tanya kawan aku. "Kami nampak orang minyak masuk ke lorong ini!" jawab salah seorang dari mereka. Biar betul. Kami berjaga di sini, berani pula "orang minyak datang main-main dekat kami" tertanya dalam fikiran aku. "Bagaimana mereka tahu orang minyak ada di sini?" berputar-putar soalan datang dalam otak aku.
Bila berlaku kejadian ini, baru aku tahu rupa-rupanya pada malam itu bukan kampung kami sahaja yang melakukan kawalan kampung malah kampung sebelah pun turut berjaga-jaga juga.
Aku lihat kawan-kawan aku tidak ambil endah dakwaan mereka. Oleh kerana kawasan itu masih ada kami yang berkawal mereka pun kembali ke kampung mereka. Apakah betul dakwaan mereka? atau semua itu ilusi semata-mata. Aku sudah beberapa kali menguap. Badan terasa letih dan terus tarik kain selimut, sambung tidurku. Selamat malam semua.
Kesimpulannya, zaman itu dimana sosial media belum ada, banyak cerita datang dari mulut ke mulut. Banyak keputusan yang dibuat berdasarkan kepercayaan informasi yang diterima itu betul walaupun sebenarnya mungkin ianya tidak betul langsung. Jadi bila kita sudah beralih ke zaman sekarang ini maka kita perlu cekap dan cepat mendapatkan informasi yang sahih serta perlu pandai membuat analisa agar keputusan yang akan dibuat itu tepat.
#siriceritapendek
Ulasan
Catat Ulasan