38. Kerana Lopak


38. Kerana Lopak

Beberapa bulan lepas aku menonton video dari seorang youtuber Indonesia yang mengkritik tempat lahirnya sendiri. Beliau membuat slide dan menyenaraikan sebab-sebab daerahnya tidak maju maju. Salah satunya adalah tentang infrastruktur jalanraya. Jalanrayanya banyak yang rosak. Berlubang di sana sini. Bila hujan banyak kenderaan yang tersangkut. Maka teringatlah aku pada suatu masa, aku melalui jalan-jalan sebegini .. ini ceritanya.

 

Cerita aku.

Balik dari kampus, masa itu cuti semester. Selalu aku lepak rumah Chu Mat. Petang itu Chu Mat minta tolong aku. “Tolong hantar Mak Su ke Klinik Kesihatan besok pagi”. “Gunakan kereta tu” katanya merujuk kepada kereta lama Volkswagen. Kereta yang enjinnya jangan cari di depan. Cari dekat belakang baru jumpa. Aku jawab “InsyaAllah boleh”. Masa inilah aku nak cuba bawa kereta. Lesen sudah ada. Aku ambil lesen masa di kampus lagi. Tetapi di kampus aku pakai motorsikal sahaja. Masa ini anak-anak Chu Mat masih kecil .. Fauzi, Lee, Jan ..

 

Pagi besoknya, Chu Mat awal pagi sudah bergerak dengan kereta barunya ke sekolah. Dia guru. Aku pula selepas sarapan terus ke rumah Chu Mat. Mak Su dah bersedia untuk ke klinik. Jarak dari rumah ke klinik tidak jauh, dalam 3 Kilometer saja. Selepas semua masuk ke kereta, aku dengan rasa confident terus bawa kereta naik ke jalanraya. Kenderaan masa itu tidak sesibuk sekarang. Sampai di simpang Sungai Dua ke arah Pengkalan Machang bermulalah cerita lawak. Jalan Pengkalan Machang  pada masa itu jalan berpasir lada atau jalan tanah merah yang dilapisi di atasnya dengan pasir. Jalan itu kecil dan sesuai untuk sebuah kenderaan sahaja melaluinya. Jalan berlopak-lopak ada yang lopak jangkat dan ada yang berlopak dalam. Hari itu hujan renyai-renyai. Semalam hujan lebat. Jadi pasti jalannya berlopak teruk.

 

Pengkalan Machang terkenal sebagai pengkalan tempat nelayan kampung mengumpulkan tangkapan udang galah dan lain-lain hasil sungai. Ianya juga tempat orang kampung mengumpul daun nipah untuk dibuat atap.

 

Dua ratus meter dari simpang Sungai Dua terletaknya Klinik Kesihatan Sg Dua. Aku mulai masuk ke jalan tersebut dan apalagi oleh kerana jalan berlopak-lopak maka kereta yang aku pandu sekejap ketepi sekejap ketengah, kiri sekejap kanan sekejap kerana mengelak lopak yang aku tempuhi. Pada masa yang sama aku lihat jauh didepan aku seorang pakcik yang sedang membawa basikal penuh dibelakangnya dua ikat daun nipak. Satu ikat sebesar satu pemeluk orang dewasa.

 

Aku lihat Pak Cik tiba-tiba turun dari basikalnya. Masa itu kereta yang aku pandu sudah sampai di pintu besar Klinik tunggu untuk aku belok masuk saja. Aku dengar pakcik itu merunggut “bawa kereta macam orang gila”. Marah benar dia kepada aku kerana cara pemanduan aku yang ke kiri ke kanan macam orang mabuk agaknya. Sebenar-benarnya aku mengelak lopak. Aku diam tanpa bagi sebarang jawapan. Muka Pak Cik itu masam saja. Dia terus tuntun basikalnya. Aku terus pandu masuk ke Klinik dan pakir.

 

Peristiwa itu masih terlekat diingatan aku sehingga hari ini. Cara pemanduan aku memberi kesan kepada orang lain. Apa yang boleh aku simpulkan adalah hormati orang lain walau apapun pekerjaannya. Kita tidak mengetahui kenapa seseorang itu berkelakuan sebegitu sehingga kita berada di “kasutnya”. Tenang dan sabar banyak membantu keputusan kita. Diam itu lebih baik jika itu adalah jawapan kepada kedamaian.

Ulasan

Catatan Popular