18. Mencari kaki dian
18. Mencari kaki dian
Chu Mat adalah bapa saudara pupu aku. Dia seorang guru. Kalau aku ke rumah Tok Su Yaakob, aku suka pergi duduk di beranda. Tangga untuk naik ke beranda adalah tangga batu berwarna putih. Tangganya lebar seperti tangga rumah orang Melaka. Chu Mat selalu membuat kerja seperti memeriksa buku sekolah di beranda. Aku pernah tengok buku laporan guru kepunyaannya. Sebab itu aku pernah bercerita yang tulisannya sangat cantik. Tulisan sambung.
Chu Mat ada tape recorder. Sambil dia buat kerja dia mendengar lagu. Tape recorder zaman itu berbeza dengan apa yang ada sekarang. Kalau hendak mendengar lagu kita kena guna tape yang ada tali tape. Tali tape tadi, dimasukkan ke dalam recorder dan sambung dengan tape kosong. Bila ON sahaja tape kosong tadi akan berpusing dan menarik tape sebelahnya maka terdengarlah lagu darinya. Lagu popular masa aku kecil yang aku masih ingat lagi sampai sekarang adalah lagu Besame Mucho. Lagu bahasa Spanyol. Aku mendengarnya di atas beranda bersama Chu Mat. Bila aku menulis cerita ini baru aku faham maksudnya. Cerita orang bercinta rupanya.
Chu Mat pergi sekolah naik Volkswagen Beetle. PG1536 kalau tak silap aku. Warna coklat cair. Sekali sekala aku tumpang juga naik kereta Chu Mat bila terlewat ke sekolah. Chu Mat mengajar di sekolah lain. Aku selalu ke sekolah rendah naik bas. Bila darjah lima baru ayah belikan basikal baru untuk aku ke sekolah.
Kali ini aku ingin bercerita pengalaman bersama Chu Mat. Cerita yang bukan semua orang dapat merasainya. Ini cerita masa kecilku.
Balik mengaji AlQuran pada pagi sabtu aku terus pergi lepak bawah rumah Tok Su Yaakob. Aku tengok Chu Mat sedang mencuci senapang patahnya. Dia meletak minyak pada kain di hujung kayu panjang dan masukkan dalam laras senapang. Sambil dia menolak dan menarik dua tiga kali supaya laras senapangnya itu bersih.
Chu Mat mempunyai permit menyimpan dan mengendalikan senapang patah. Mungkin kerana Tok Su Yaakob mempunyai kebun buah-buahan di belakang kampung. Ada banyak pokok manggis, rambai dan bacang. Ada juga pokok asam belimbing dan pokok belinjau. Jadi dia menggunakan senjata itu untuk membunuh tupai yang memakan buah-buahan di kebun.
Petang nanti lepas asar kita pergi menembak burung Kata Chu Mat mengajak aku. Aku ok saja. Pada masa itu padi baru sahaja ditanam dan sedang membesar. Pokok padi belum lagi membunting. Kalau padi telah bunting aktiviti menembak burung tak boleh dilakukan. Ini kerana kaedah menghalau burung agar ianya terbang boleh merosakan pokok padi. Waktu ini memang banyak burung seperti burung ayam-ayam dan kaki dian akan datang ke bendang mencari makan.
Menembak hidupan liar perlu mendapatkan permit memburu dan ia dikeluarkan pada musim tertentu masa itu. Bukan Chu Mat sahaja yang turun ke bendang menembak burung tetapi ada juga penembak-penembak lain yang turut sama ke bendang.
Petang itu selepas asar, aku, Mat Chak dan Chu Mat turun ke bendang. Aktiviti menembak kebanyakan dibuat selepas waktu solat asar dan waktu ini kebanyakan aktiviti di bendang sudah berkurangan dan tidak ada orang di bendang masa itu.
Kami bergerak dari rumah Tok Su Yaakob, melintasi jalanraya dan berjalan melalui kebun kelapa dan koko Tok Su Ali. Kemudian kami menyusuri batas bendang Tok Su Ali bergerak ke arah bendang Pak Keria. Kami membawa bersama satu gulung tali plastik yang tebalnya dalam 2 hun dan panjangnya tali mencapai jarak satu petak. Bendang Pak Keria aku ingat sangat sebab dalam bendang ada lopak yang dalam. Paras pinggang aku. Kalau musim kemarau lopak itu banyak ikan.
Padi menghijau pekat dan kelihatan air jernih dalam petak yang tidak terlalu dalam. Kelihatan pokok-pokok keladi hidup segar di bawah pokok-pokok padi ini. Memang keadaan ini sesuai untuk burung bergerak dicelah-celah pokok padi mencari makan.
Pada tahun itu padi masih ditanam menggunakan tangan. Jarak antara satu-satu anak semaian yang ditanam kira-kira sepuluh inci ke satu kaki. Jadi antara pokok padi masih ada ruang untuk burung bergerak mencari makan. Jika kami masuk ke dalam bendang sekali pun, kami masih boleh bergerak antara pokok-pokok ini tanpa memijak pokok padi yang tumbuh segar.
Chu Mat akan memilih petak bendang yang dia merasai adanya burung. Aku akan pegang hujung tali dan hujung tali sebelah lagi Mat Chak akan pegang. Kami akan regangkan tali di mana aku berada di batas sebelah kiri sementara Mat Chak di batas sebelah kanan. Chu Mat akan berada di belakang kami bersedia dengan senapangnya. Kami bergerak ke hadapan dengan menarik tali di atas pokok padi.
Pergerakan kami dan sentuhan tali ke atas pucuk pokok padi menyebabkan burung terkejut dan ia akan terbang. Apabila ia mula terbang Chu Mat akan menghala senapangnya dan menembak tepat ke arah burung tadi. Ada kalanya dua ekor burung terbang serentak. Chu Mat kenalah cepat memilih sasarannya. Ada juga tembakannya tidak tepat dan burung akan terbang jauh menyelamatkan diri. Jika terkena tembakan, burung akan jatuh dan kami akan berlari masuk ke dalam bendang mencari burung tersebut. Bila dapat burung tadi kami terus bawa kepada Chu Mat untuk disembelih. Selalunya burung masih hidup bila kena tembakan kerana peluru yang digunakan adalah jenis penabur halus nombor 12.
Ada kala burung yang kena tembakan masih boleh bersembunyi dicelah-celah pokok padi. Tetapi selalunya tiada yang terlepas. Dari satu petak ke satu petak kami bergerak menduga nasib mengharapkan ada burung dipetak yang kami lalui. Pernah sekali kami bergerak sampai ke Permatang Haji Hasan dekat Permatang Sungai Dua. Jauh perjalanan kami. Hendak patah balik dah nampak jauhnya. Kalau dah sampai ke situ masuk maghrib baru kami sampai balik ke rumah.
Sampai di rumah selalunya dapatlah dua tiga ekor burung ayam-ayam atau burung kaki dian yang Chu Mat beri sebagai upah. Masa kecil-kecil aku dan keluarga sudah merasai kesedapan memakan burung-burung ini. Tetapi bila aku mula masuk sekolah menegah tiada lagi aktiviti begini. Tidak ada permit yang dikeluarkan lagi kerana Akta Hidupan Liar 1972/ Akta 76 (Akta 76) telah dikuatkuasakan. Pada masa ini Akta 76 telah dimansuhkan dan diganti dengan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar Tahun 2010/ Akta 176. Ia kekal meletakan burung ayam-ayam ini sebagai spesis yang dilindungi dan mereka yang memiliki atau menangkapnya boleh didenda.
Pengalaman ini tidak mungkin ada lagi kerana apabila padi mula ditanam dua kali setahun, sarang-sarang burung yang kadang kala ada dalam bendang tidak dapat lagi dibuat oleh burung-burung ini. Kekurangan burung-burung ini disebabkan juga kawasan paya yang menjadi kawasan pembiakan burung sudah ditebus guna menjadi kawasan perindustrian atau perumahan.
#Tamat. Pengalaman pergi menembak bersama Chu Mat dapat juga aku rasai beberapa kali. Tetapi bagi penduduk kampung aku pada masa itu mereka mempunyai banyak skil dalam mencari burung ini. Selain menembak, ada yang menggunakan jerat dan juga pukat. Ada juga yang mempunyai kemahiran memanggil burung untuk memasuki jerat. Pada masa itu burung masih banyak. Sekarang di tempat aku semua sudah tiada.



Ulasan
Catat Ulasan