17. Pak Man Kedai

 


17. Pak Man Kedai


Kehidupan ini sangat singkat. Zaman aku kanak-kanak dan remaja, penuh dengan aktiviti dengan kawan-kawan sekampung. Kesibukan kami berbeza. Sibuk belajar, bermain dan menolong mak bapa di rumah dan juga di bendang. Pergaulan kami dengan jiran sekampung juga sangat akrab. Kali ini aku ingin bercerita tentang Pak Man Kedai, jiran di kampung aku. 


Pagi itu ayah tebang pokok pisang. Ayah suruh hantar setandan pisang ke kedai Pak Man. Jual dekat Pak Man dan ambil gula pesan ayah. Aku letak pisang di belakang basikal dan kayuh ke kedai. Sampai di kedai aku cakap dekat Pak Man seperti yang ayah suruh. Pak Man timbang pisang tadi. Kemudian dia timbang pula gula mengikut harga pisang dan dia bagi dekat aku.


Kedai Pak Man jaraknya dari jalan besar ke dalam kampung dalam 200 meter. Lorong nak masuk ke kedai kena lalu depan beranda rumah Cikgu Teh. Sebelah kiri rumah Cikgu Pa dan rumah Tok Mah Derani sementara disebelah kanan rumah Pak Ark. Terus jalan akan nampak Kedai Pak Man. Kedai Pak Man di bawah rumah. 


Ada juga aku hantar surat-surat khabar lama ke kedai Pak Man. Macam biasa dia ambil juga surat khabar dan bayar kepada aku mengikut berat surat khabar tadi. Surat khabar lama Pak Man gunakan untuk membalut makanan dan barangan yang pelanggan beli. Dahulu tidak ada bag plastik. Jadi untuk mengisi gula, garam, tepung dan segalanya Pak Man guna kertas. untuk mengisi barang-barang kecil selalunya barang diletak atas kertas dan kemudian kertas dilipat menjadi bungkusan. Ada juga kertas digulung tajam hujungnya seperti menjual kacang putih. Ada kala kertas itu dibuat kelongsong yang ada tapak dan jenis ini kena gam dahulu.


Aku rajin pergi kedai Pak Man. Satu-satunya kedai yang ada dalam kampung ini. Kalau tidak menaiki basikal mengikut jalan raya aku akan berjalan kaki mengikut lorong di dalam kampung. Kalau mengikut lorong kampung aku akan mengikut laluan rumah Mak Ngah Laili, rumah Long Embon, rumah Tok Mek,  rumah Abang Pa, rumah Kak Chak Mah. Kemudian masuk ke dalam kebun getah Tok Chin yang penuh dengan pokok bemban. Keluar ikut rumah Tok Mat Mak Bedah, lalu depan rumah Pak Din Kastam, dan rumah Tok Mat Jambu baru sampai ke kedai Pak Man.


Aku ini pantang orang minta tolong pergi kedai. Aku tolong saja. Kadang-kadang depa bagi juga upah dan kadang tak ada pun. Aku tak kisah. Tak reti nak kata tak mahu bila orang minta tolong. Ngah Laili, Mak Su Yah, Chak dan Tok selalu minta tolong. Masa depa minta tolong selalunya masa depa tengah nak memasak. 


Pelanggan Kedai Pak Man bukan sahaja terdiri dari orang Kampung Telok tetapi ada juga dari kampung sebelah. Ada dari Sungai Lokan, Pengkalan Machang dan juga Merbau Kudung. 


Aku suka lepak kat kedai Pak Man. Pak Man ada anak-anak yang sebaya dengan aku. Depa semua baik-baik. Mak Doyah isteri Pak Man jenis orang yang pandai ambil hati orang. Orang berniaga memang kena macam tu. Aku belajar banyak juga dengan Pak Man masa duduk dekat kedai. Aku belajar membuat kelongsong kertas yang diguna untuk isi tepung dan gula. Aku juga belajar guna penimbang kati yang menggunakan batu pemberat. Mengisi minyak tanah guna pam tangan yang kena tolak tarik untuk minyak keluar ikut corong dari dalam tin minyak yang besar dan masukkan ke dalam botol. Sambil belajar, aku tolong Pak Man berniaga.


Pagi-pagi dalam jam sembilan Pak Man akan sampai dari pekan Sungai Dua. Pak Man mengambil barang seperti sayur dan ikan dari pekan. Orang kampung sudah menunggu untuk pilih ikan dan sayur yang Pak Man bawa balik. Berebut juga. Siapa cepat dia dapat. Sambil membeli sambil bercerita tentang hal kampung, hal anak-anak dan keluarga. Begitulah suasana depan kedai Pak Man. Kebanyakan yang datang pagi-pagi berkumpul dan membeli adalah wanita. 


Seronok mendengar Kak Minah duduk bercerita tentang anaknya si Min. Min manja masa kecil. Kadang-kadang dia bercerita tentang perangai anak-anak dia yang lain, Din dan Shima. Kak Midah bini Pak Ad pun sama bercerita tentang anak dia si Non dan Zaini. Kadang-kadang bila ramai berkumpul depan kedai maka lagi lah banyak cerita bersambung-sambung. Cerita paling popular ialah cerita tentang sekolah. Cerita baju sekolah, kasut sekolah, buku sekolah dan jahit lencana sekolah. Masa itu kebanyakan keluarga mempunyai anak-anak yang masih bersekolah. Kehadiran Mak Bedah, Mak Cik Timah, Mak Pah, Kak Tijah, Mak Teh, Kak Nab, Tok Chah, Mak Lang, Mak Char Mah dan lain-lain menambah ceria suasana pagi di depan kedai.


Depan kedai Pak Man jadi sunyi bila semua mereka beredar balik ke rumah masing-masing untuk memasak. Tempat pertemuan ini akan kembali meriah besoknya. Dulu pada mulanya Pak Man pergi pasar membeli barang dengan berbasikal sahaja. Kemudiannya baru beliau membeli sebuah motosikal bagi memudahkan kerjanya. Beliau membeli secara cash motosikal itu.


Petang pula meriah dengan kami budak-budak. Petang kami berkumpul di Kedai Pak Man sebelum pergi ke belakang kedai dekat rumah Tok Chah sebelah rumah Mak Bedah untuk bermain bolasepak. Bola plastik. Kami kutip duit seorang dua kupang untuk beli bola plastik di kedai Akai dekat Pekan Sungai Dua. Abang Chop, selalu jadi kepala dalam permainan bola ini. Semua kami ikut dia bila nak mula. 


Aku, Abang Chop, Not Keria, Lit, Ali, Yahaya, Jan, Maei Pak Din, Maei Pak Hashim, Chop Leman, Din, Bidin, Jun Pak Mat, Jun Pak Din, Sanusi, Bidin Cikgu Mat, Pani, Aziz, Man, Nazri Pak Long Mat, Kamal, Deris, Haris dan Mat Noor merupakan gang bola budak-budak kampung Telok masa tu. 


Ada sekali tu, kami main bola baru. Tidak sampai 2 minit bola sudah pecah. Bola kena paku pada pokok nyior. Paku buat sidaian baju. Tiang gol kami guna pokok nyior dan pokok bacang yang sedia ada. Main bola sampai masuk bawah rumah Tok Chah. Main bola pula tak pakai kasut masa tu. Yang suka sangat jadi gol keeper ialah Si Mael Pak Din dan adik dia Jan.


Kedai Pak Man dibuka sampai ke malam. Pelanggan tetap ada walaupun pada waktu malam. Orang kampung kerja di bendang dan di hutan nipah. Ada yang kerja kilang dan ada juga yang kerja dengan kerajaan. Bukan itu sahaja ada kala kami budak-budak suka berkumpul di Kedai Pak Man pada waktu malam untuk menonton bolasepak beramai-ramai. Kalau ada siaran langsung lagi laa seronok. Sambil menonton sambil makan kacang dan minum kopi. 


Kalau tidak di depan kedai yang ada bangku, kami budak-budak remaja ni sampai ke dapur duduk melepak.  Air minuman sentiasa ada di atas meja untuk kami minum. Kalau ada kueh mereka semawa sahaja. Tidak berkira langsung. Mak Doyah suka bersembang. Macam-macam cerita. Pak Man pun sama. Ada saja cerita tambahan. 


Pada satu hari dalam bulan Ramadan tahun berapa aku dah tak ingat. Kami budak-budak remaja kampung berkumpul dan berbincang untuk mengadakan jamuan malam raya. Aku cadangkan supaya kami buat BBQ. Mael Pak Hashim pula cadangkan kutipan seorang RM4. Ramai yang join. Malam itu meriah dengan lagu dan takbir raya. Tempat proses dan bakar ayam kami buat di tepi kedai Pak Man bersebelahan dengan rumah Mak Char Mah. Sponsor pun ada dari Pak Jid TNB dan Pak Dali. Itulah permulaan jamuan malam raya yang telah diteruskan sampai generasi sekarang. Kedai Pak Man menjadi tempat pertemuan kami budak-budak remaja pada masa itu.


Pintu masuk ke kedai asal yang bawah rumah Pak Man diperbuat dengan papan keping yang disusun-susun. Kebanyakkan kedai dulu-dulu pintu depan kedai dibuat dari papan-papan kayu. Di Pekan Sungai Dua kebanyakan kedai lama pun pintunya seperti itu. Kunci pintu dengan selak kayu sahaja dari dalam. Setelah beberapa lama Pak Man buka kedai di bawah rumah, dia membuat ubahsuai di luar rumah untuk dijadikan kedai baharu. Setelah siap ubahsuai maka ruang kedai yang asal menjadi ruang tamu yang ada settee dan tempat letak TV. Dinding luar dicat dengan warna kuning yang ceria. Mungkin masa itu Pak Man hendak mendapat menantu rasanya.


Aku selalu memerhatikan bagaimana Pak Man melayan pelanggannya. Satu hari aku bertanya kepada Pak Man bagaimana dia boleh bercakap dengan semua orang yang pelbagai profesion dengan mudah sahaja. Aku tengok Pak Man serba tahu. Dia terangkan kepada aku. Tengoklah siapa yang datang. Kita bersembang mengikut kerjaya dia. Kalau orang itu cikgu kita bertanya tentang sekolah dan murid-murid dia. Kalau dia bekerja bendang kita tanya tentang padi dia. Kalau dia tokey kedai kita tanya tentang barang-barang yang dia jual. Jelas Pak Man. Aku masih ingat sebab aku yang bertanya.


Jarang aku lihat Pak Man marah-marah. Selalu juga dia mengusik budak-budak kecil. Kadang-kadang meleleh air mata aku ketawa melihat telatah dia mengusik budak-budak ini. Ada pada suatu hari Pak Man senggaja makan mempelam depan Zaini anak Kak Midah. Terlior budak itu melihat Pak Man menggigit mempelam yang berair dan menitik-nitik. Ternganga mulut si Zaini. Lepas mengusik Pak Man bagi juga mempelam pada Zaini. Aku lihat walaupun dia suka mengusik, budak-budak tetap suka pada dia.


#Tamat. Bila dewasa aku selalu nampak Pak Man menaiki motor pergi ke masjid. Boleh dikatakan banyak waktu dia solat berjemaah di masjid. Kini Pak Man sudah tiada. Dia meninggalkan isteri dan anak menantu yang sangat baik. Cerita ini aku nukilkan bagi mengenangkan kebaikan beliau serta anak-anak beliau kepada aku di kampung dan juga semasa aku belajar di Kuala Lumpur dahulu. Terima kasih kepada Pak Man, Mak Doyah, Chop, Kak Jah, Lit, Ali dan Mah serta abang Rosli kerana menjadikan zaman budak-budak dan remaja kami begitu ceria di Kampung Telok.

Ulasan

Catatan Popular