16. Kedai Gunting Rambut
16. Kedai Gunting Rambut
Kali ini aku ingin bercerita tentang Kedai Gunting Rambut. Ini adalah cerita pertama yang aku tulis. Cerita zaman kanak-kanak. Tetapi cerita ini aku terbitkan untuk cerita yang ke 16 dalam kumpulan cerita kanak-kanak. Lama aku simpan. Cerita ini aku tulis masa PKP. Ada isu tentang cluster baru Covid-19. Bergunting rambut di kedai pada mulanya dibenarkan. Tetapi kemudian mendapat banyak bantahan. Lalu dibatalkan. Maka aku pun menulis.
Aku tinggal di Kampung Teluk dan pekan yang paling hampir adalah pekan Sungai Dua. Kampung-Kampung yang berhampiran dengan Kampung Teluk adalah Sungai Lokan, Permatang Che Tak, Kampung Tok Adam, Permatang Sungai Dua, Pengkalan Machang. Merbau Kudung dan Nyior sebatang
Untuk bergunting rambut aku selalu dibawa oleh ayah ke Pekan Sungai Dua. Di Pekan Sungai Dua, kedai gunting ada kedai India, Cina dan ada kedai Melayu. Kedai gunting orang Melayu yang paling awal di sini dikendalikan oleh Pak Murad. Pak Murad seorang yang serious. Seingat aku sikit sangat aku bergunting dengannya. Mungkin perwatakannya. Orang tua. Dia jarang senyum. Tapi sekali dia senyum aku ingat sampai laa ni. Kalau bergunting dengannya lama rasanya baru nak siap. Mungkin juga dia teliti.
Sesuatu yang menarik tentang kedai gunting Pak Murad ialah dia juga menjadi wakil pos di pekan itu. Masa bergunting kadang-kadang terpaksa dia berhenti sekejap kerana ada orang datang nak beli setem. Kalau orang nak buat pos berdaftar lagi laa lama kena tunggu.
Kerusi kedai gunting dia style lama. Aku kecil, jadi dia kena letak papan atas arm rest bagi tinggi. Aku duduk di atas papan. Senang Pak Murad nak menggunting. Bila habis gunting dia akan letak bedak. Maka putih dan wangilah leher dan muka aku. Bila balik rumah naik pula basikal akan terasa berangin di leher. Rasa wangi dan sejuk kerana disapu minyak lenga.
Kedai gunting orang India di pekan ada satu. Nama tukang guntingnya, Marpen. Kedai dia lebih moden sikit. Ada kerusi lama dan ada kerusi baru. Kalau bergunting kat kedai dia, gunting dia berbunyi lebih kuat bila tak gunting rambut. Dia lalu jaa kat atas kepala aku. Kerja dia cepat. Dia sikat dia gunting, dia sikat dia gunting. Muka serious saja. Tak banyak cakap dengan pelanggan. Cakap India banyak dengan keluarga dia. Riuhnya tak kisah kita.
Kedai dia bau setangi India. Bau minyak lenga. Atas pintu masuk kedai ada daun mempelam digantung. Kerja menggunting dia laju. Gaya gunting tak banyak. Aku tengok bila nak cukur rambut tu, dia kilir pisau cukur dekat kulit yang digantung tepi laci tiga empat kali supaya tajam. Selalunya tak adalah kata dia cekap sangat. Ada juga kulit yang pedih bila mandi kesan pisau cukur dia dekat leher aku.
Boleh dikatakan masa kecil aku selalu bergunting rambut dekat kedai Marpen. Ayah yang bawa dan tunggu aku sambil itu ayah akan baca surat khabar atau pergi ronda kat kedai-kedai di pekan. Lepas gunting selalu ayah bawa masuk restauran Habib untuk makan dan minum. Ayah belanja mee rebus atau roti canai. Kalau order teh tarik, ayah tuang dalam piring agar air cepat sejuk. Aku hirup dari piring sahaja.
Ada satu lagi kedai gunting rambut yang dijalankan oleh Pak Sheik Mohamad. Aku tak berapa ingat kedai ini. Mungkin jarang bergunting dekat Pak Sheik ini. Tapi aku kenal sangat dengan anak-anak dia. Othman anak lelaki dia yang aktif dengan persatuan belia. Ali pula sama umur dengan aku. Ali suka main sepak takraw. Dia dan aku pernah jadi pemain sepak takraw Sekolah Kebangsaan Sg Dua. Ali ada kakak. Ramai kawan-kawan kata kakak Ali cantik. Sampai ada yang pergi bergunting sebab kakak Ali ini kut. Adik pada Ali, Hamid. Hamid join kami juga main bola kat kampung.
Tahun 70an ada satu lagi kedai gunting Melayu dibuka. Nama Kedai Gunting Rambut Sakura. Tukang gunting namanya abang Rashid. Dia yang buka kedai ini merupakan ahli band kugiran. Aku pernah lihat dia main guitar di majlis kenduri dan dengar rakaman kugirannya di corong radio Pulau Pinang. Masa dia buka kedai ini, dia sudah tidak aktif dalam kugiran. Tetapi bakat bermain alat muzik tetap utuh. Jadi ramai anak muda yang suka datang ke kedai gunting beliau. Termasuk aku.
Di kedai Sakura, style rambut dah banyak masa itu. Kalau dia bercerita pun seronok, cerita orang muda. Cerita tentang band kugiran dan penyanyi. Muzik pun ada dalam kedai. Masa itu tape keset lagu-lagu sudah banyak untuk dipilih dan dimainkan. Kira riuh laa kedai gunting nii. Hujung tahun 80an anak beliau pernah jadi anak murid aku di sekolah. Lepas itu aku dapat tahu anak beliau pun dah boleh menggunting seperti bapanya.
Kedai Cina ada juga tetapi lebih kepada saloon kecantikan dan kebanyakan untuk wanita. Ramai yang karan rambut. Istilah karan rambut sebab rambut dibentuk oleh mesin yang memanaskan rambut guna wap menggunakan eletrik atau karan panggilan orang utara. Bagi rambut kembang, bergulung dan macam-macam fashion.
Masa itu wanita tak ramai yang bertudung. Kebanyakan berselendang di bahu atau berskaf sahaja. Jika nak raya atau pergi makan kenduri ramailah orang masuk saloon ini. Saloon ini dekat rumah kedai batu. Panggilan kedai batu sebab ianya di bina atas dan bawah dengan batu bata. Tidak banyak kedai yang dibina dengan batu bata di pekan ini. Kedai-kedai lain kebanyakan dari kayu sahaja dan ianya satu tingkat.
Style rambut yang popular tahun 70an bagi lelaki masa itu selain guntingan biasa ada juga gaya rambut panjang di belakang. Ikut gaya penyanyi popular masa itu. Kadang-kadang masih terjumpa juga orang yang masih kekal style fashion itu sampai sekarang. Susah sebenarnya untuk berubah tentang fashion ni.
Masa kecil-kecil dulu di tempat aku ada seorang tukang gunting rambut yang bergerak mencari pelanggan. Tukang gunting ini orang Melayu. Nama dia Salleh. Kami panggil dia Pak Leh. Dia pergi dari kampung ke kampung dengan menaiki basikal. Dia akan bawa bag berisi peralatan mengunting, termasuk kain putih bagi menutup badan orang yang digunting.
Pak Leh membuat kerja ini sebagai part time job sahaja. Dia memang ada kerja lain. Dia bekerja di kilang batu bata. Kilang ini terletak di Merbau Kudung tak jauh dari kampung kami. Sangat baik orangnya. Selalunya dia akan buat kerja ini pada hari Jumaat kerana hari itu kilang tutup. Bapa mertuanya pula ada di kampung aku. Ini membuatkan aku dapat berjumpa dia masa kecil dulu. Rasanya aku tak pernah bergunting dengannya. Aku kenal dia dan anak-anaknya. Anak dia junior aku di sekolah rendah masa tu.
#Tamat. Masa dulu- dulu upah menggunting rambut kurang dari seringgit. Main sen sen saja. Tidaklah mahal macam sekarang. Sekarang peralatan menggunting rambut mudah dibeli. Masa PKP tiga bulan tak dapat bergunting. Rambut panjang. Dapatlah merasa kembali zaman afro. Tukang gunting ala Pak Leh ni kalau dibuat sebagai satu produk kerja pun boleh mendatangkan pendapatan juga. Nak dengan tak nak ja.



Ulasan
Catat Ulasan