15. Kayu Api dan Dapur
15. Kayu Api dan Dapur
Ada suatu pesanan dari Wan yang aku masih ingat sampai sekarang. Masa tu aku tengah makan nasi di rumah Wan. Kami makan bersila. Duduk atas tikar. Nasi aku tumpah ke atas tikar. Wan kata ambil nasi tu. Nasi tu menangis katanya. Nak dapat sebiji nasi kena tunggu enam bulan. Masa tu ayah tanam padi tiga kali dalam dua tahun. Sebelum perubahan menanam padi kepada dua kali setahun. Wan tak bagi membazir. Pantang nasi jatuh pasti aku kena tegur.
Aku tengok Tok Tam pun sama juga. Kalau lauk tak habis dia akan perangat supaya tak membazir. Masa tu tidak ada peti ais. Aku ingat lagi sambal belacan pun Tok Tam akan goreng untuk dapat makan lagi besoknya. Aku paling suka kari perangat. Bau dia sedap.
Lepas makan aku duduk berehat sekejap. Tiba-tiba aku dengar emak panggil balik. Emak panggil makan nasi. Aku balik dan cakap dah makan kat rumah Tok. Mak kata dekat aku yang kayu api dah habis. Nanti petang tolong kerat kayu api. Ada kulit kayu kering bawah zink pesan emak.
Emak selalu suruh aku belah kayu api. Itulah bahan bakar untuk dapur rumah kami. Zaman itu belum ada dapur gas dan rumah kami belum ada dapur minyak. Kapak untuk belah kayu api ada dua. Satu yang ulunya pendek dan satu lagi yang ulunya panjang. Kalau batang getah yang siap dipotong pendek-pendek sekitar dua kaki aku suka guna kapak ulu panjang. Tapi kadang-kadang ayah pergi cari kulit kayu di kilang papan. Kalau kulit kayu, aku akan guna kapak ulu pendek.
Kalau emak dan ayah suruh apa saja jarang aku membantah. Cuma kadang-kadang liat sikit. Buat kerja lambat. Lambat tu maksudnya buat benda lain dulu kemudian baru buat apa yang disuruh. Kalau aku buat macam ni pasti terdengar emak berleter.
Kadang-kadang aku kena masuk hutan belakang kampung cari ranting getah yang patah atau reput. Ranting kayu ni aku cari dekat kebun getah Wan sahaja. Tak pernah masuk kebun orang cari kayu api. Beberapa kali juga ayah tebang pokok getah yang dekat sangat dengan rumah. Ayah panggil orang yang ada mesin gaji untuk potong pokok getah. Pokok getah paling besar dalam tanah Wan duduk tepi telaga dan dekat dengan rumah kami.
Pandai depa potong pokok getah agar jatuh tak kena rumah. Sebelum depa potong pendek-pendek pokok getah yang sudah rebah ke bumi, aku akan main dulu berlari-lari atas dahan. Berangan jadi robot macam cerita karton Gigantor. Karton popular zaman aku tu. Tidak pun aku henjut dahan dan berangan naik kuda macam cerita The Lone ranger.
Bila semua batang pokok getah dipotong pendek, kami Longokkan di satu tempat. Bawah rumah selalunya letak sedikit. Selebihnya sebelah luar rumah belakang dapur. Susun di tempat yang tinggi dan tutup dengan zink. Supaya tidak tempias hujan dan tak dimakan anai-anai. Bila bekalan kayu api dalam rumah berkurangan, ayah dan abang selalu akan belah kayu api supaya jadi lebih kecil. Jika ayah dan abang tak ada di rumah maka aku atau kakak yang akan ambil alih.
Menyusun kayu api ini pun ada caranya. Kami selalunya akan susun bertingkat-tingkat kayu getah yang dibelah ini. Susunan ini membentuk seperti menara. Macam tower dan angin boleh lalu diantara celah susunan kayu ini. Ini menjadikan kayu cepat kering. Atas susunan kayu kami selalu letak zink untuk elak terkena hujan.
Aku pernah ikut ayah pergi ke kilang papan. Kilang papan ini luas dan ada balak besar-besar. Ia terletak dalam kampung Telok juga cuma ia berada di hujung kampung dekat sangat dengan sempadan Sungai Lokan. Balak dibawa dengan lori ke kilang ini. Balak yang baru sampai selalunya masih berkulit. Sebelum balak ini dipotong menjadi papan atau kayu nipis, kulit balak kena dibuang dahulu.
Kulit balak inilah menjadi kayu api kami. Cuma kadang-kadang kami kena kopek kulit balak ini sendiri. Kalau tidak ayah akan upah Tok Mat yang kerja dalam kilang ini. Kerja dia mengopek kulit kayu balak. Harga kulit ini tak mahal sangat. Penuh basikal dalam seringgit. Disebabkan kami budak kecil, tak lah boleh kami melilau dalam kilang ini. Hanya orang dewasa dibenarkan masuk ke kilang ini. Lagipun kawasan ini bahaya. Banyak lori keluar masuk.
Untuk bawa balik kulit kayu ni, kadang-kadang ayah pesan dekat Pak Long Man. Pak Long Man biras ayah. Dia ada kereta lembu. Dia duduk di Sungai Lokan. Kulit kayu kalau isi dalam kereta lembu banyak laa sikit. Bila penuh dia hantar kat rumah kami. Tak tahulah berapa ringgit yang ayah bayar dekat Pak Long Man.
Mengutip kayu api ini buka kerja aku di rumah sahaja. Kalau pergi mengaji pun kena buat juga. Semua kami, anak-anak murid Tok Su akan disuruh pergi mencari ranting kayu getah untuk jadikan kayu api. Rumah Tok Su dalam ladang getah, senang sikit. Keliling rumah ada jaa ranting getah.
Ada juga anak murid yang kena sapu sampah. Selalunya lelaki cari kayu sementara perempuan menyapu sampah. Selepas buat semua kerja, baru kami semua naik mengaji. Tetapi bukan selalu, seminggu sekali ada laa. Tok Su selalu juga jamu kami dengan air sirap, teh O panas dan bubur. Ada kala dia jamu kami dengan nasi lamuni. Kenyang la kami semua. Kak Jah, Romli, Mat Ijat, Amir, Pa dan aku selalu dapat makan macam ni.
Rumah Wan, rumah aku, rumah Tok Su dan kebanyakan rumah masa tu masih guna dapur kayu. Dapur kayu ini dibuat seperti meja 3 kaki kali 4 kaki dan tinggi separas pinggang. Atasnya diletakkan tanah setebal 6 ke 10 inci. Papan menjadi dinding menahan tanah ini. Tungku untuk letak periok guna bata sahaja. Atas tu selalunya boleh letak dua tungku atau dua periok yang boleh dimasak serentak.
Untuk nyalakan api selalunya kami tuang sedikit minyak tanah atau kami panggil minyak gas ke atas kayu api dan sabut. Kami guna buluh untuk tiupkan angin supaya api cepat menyemarak. Selalu juga debu bekas bakaran kayu api lama akan berterbangan bila tiup terlalu kuat. Kalau siapa biasa dengan dapur ini tentu berair mata masa meniup api kerana asap masuk mata.
Kalau masak dalam rumah memang akan ada jelaga lekat dekat atap rumah. Rumah aku masa tu masih guna atap nipah. Depan dapur ada para. Ada lubang yang memudahkan angin masuk dan asap keluar. Sebelah kanan ada tempat membasuh pinggan. Basuh atas lantai kayu yang jarang dan air akan jatuh ke bawah. Di bawah tanah akan becak berselut. Kami panggil kawasan tanah tu air acaq. Bau masam kalau lalu kawasan tu. Nak buat macam mana. Memang semua rumah kampung keadaannya macam itu.
Rumah Mak Ngah Laili lain sikit. Sebab rumah dia ala banglow. Dapur dia dibuat dari simen konkrit. Tempat tungku pun dari simen. Cara letak dapur tu ala island sekarang ni. Kita boleh bergerak pusing keliling dapur. Rumah Ngah Laili, rumah dua tingkat. Jadi dapur kat tingkat bawah. Itu zaman 60an dah ada gaya tu. Cuma nak masak masih lagi guna kayu api.
# Tamat. Perubahan dari tahun 60an ke zaman sekarang tentang dapur pun sangat ketara. Dari dapur kayu, dapur arang, dapur minyak tanah, dapur gas, dapur eletrik, microwave dan kalau dilihat tentang periok pula hai macam-macam boleh disenaraikan. Zaman sekarang tak payah lah nak cari dapur tanah. Kalau ada tu tentu ada jawapan tertentu kenapa dia masih menggunakan dapur jenis itu.



Ulasan
Catat Ulasan