14. Seni Lukis: Aku Suka!
14. Seni Lukis: Aku Suka!
Ramai orang berminat pada seni. Macam-macam seni ada masa ini dan tak terfikirpun pada masa dulu-dulu. Seni itu berkembang mengikut zaman. Ia suatu yang ekspresi kreativiti imiginasi manusia dalam bentuk visual. Karya yang dihasilkan sangat dihargai kerana ada keindahan di dalamnya serta dilahirkan melalui daya imiginasi yang tinggi. Cabang seni kreatif ini banyak. Ada seni lukis, seni fotografi, seni muzik, seni sastera, seni tarian dan lain-lain yang di panggil seni visual.
Di sekolah rendah tahun 60an kami belajar pelajaran kira-kira, ilmu alam, tawarikh, agama Islam, english, Bahasa Melayu, Pendidikan Moral, Seni Lukis dan Pendidikan Jasmani. Aku nak cerita tentang pelajaran yang aku suka, Seni Lukis.
Dari sekolah rendah lagi aku suka melukis. Aku masih ingat lagi Pak Cik An bawa aku malam itu ke Sekolah Kebangsaan Sungai Dua. Ada pertandingan lukisan di sekolah. Dia tunjukkan pada aku lukisan yang menang. Salah satunya lukisan abang aku. Aku ingat masa itu lukisan nelayan dan perahu layar. Memang cantik.
Pak Cik An memang pandai melukis. Dia ajar abang aku macam mana melukis. Abang ikut apa yang dia ajar, sebab itu lukisan abang menjadi. Masa tu abang aku dalam darjah enam. Tahun 1966.
Malam itu di sekolah ada macam-macam pertunjukan dan pameran yang dibuat di kelas. Rasanya seperti hari terbuka sekolah. Malam itu juga ada Funfair di padang sekolah. Ada gerai makan dan jualan. Untuk menonton persembahan dalam Funfair kami dikenakan bayaran. Kawasan persembahan ditutup dengan kain dan zink. Ada pertunjukan kugiran, nyanyian dan juga boria. Zaman tu boria sangat popular. Sketsa dalam boria mesti ada unsur lawak. Itu yang orang tertunggu-tunggu. Aku tak ingat samada, ada tak ghazal parti. Ghazal parti kena buat cerita lain. Banyak cerita tentang Ghazal parti utara ni.
Aku baru darjah satu masa tu. Bila masuk kelas lukisan. Aku lukis seperti gambar yang menang tu. Akhir kelas, cikgu ambil lukisan aku dan tampal di papan kenyataan. Seronok gila masa tu. Dari situlah mulanya aku minat melukis.
Di sekolah rendah ada satu kelas dijadikan kelas untuk pendidikan seni. Ia terletak di bangunan kayu lama dua tingkat. Berada di tingkat bawah sebelah tangga, betul-betul di bawah bilik pentadbiran dan bilik guru besar. Kelas ini dekat dengan kantin.
Aktiviti seni lukis memang seronok kerana kami bebas berkarya. Kalau lukisan mengecop, kami masing-masing membawa peralatan dari rumah. Warna cikgu sediakan. Cikgu akan bancuh warna dan kami boleh kongsi. Ada kala kami bancuh sendiri kerana warna dalam bentuk serbuk. Dulu mengecop kami selalu guna pelepah pisang, ubi kentang (ubi menggala), pelepah betik, bawang besar dan buah belimbing. Buat macam-macam corak.
Ada satu masa kami kena buat pinggan gunakan kertas basah dan gam kanji. Gam kanji emak masak dirumah guna tepung ubi kayu. Kertas surat khabar dipotong-potong dan dibasahkan. Lapisan pertama dilekat kertas basah tanpa gam pada belakang pinggan. Kemudian atas kertas di sapu gam. Kertas basah kedua dan seterusnya di tampal. Bila siap dijemur hingga kering. Habis kelas baru ambil. Potong keliling kertas supaya bentuk seperti pinggan. Minggu seterusnya pinggan tadi disapu warna.
Masa sekolah rendah adalah sekali aku dan kawan-kawan dipilih untuk masuk pertandingan lukisan. Pertandingan peringkat sekolah-sekolah di Seberang Perai Utara. Dapat laa hadiah saguhati, macam hadiah penyertaan rasanya. Ingat lagi depa bagi sekali dengan kad board keras untuk aku letak kertas lukisan masa melukis. Bawa balik kad board itu pun aku rasa seronok dah.
Masa sekolah rendah ada beberapa lukisan yang ada di rumah aku yang dilukis oleh Pak Cik An. Aku ingat lagi lukisan waktu malam ada bulan, laut berombak dan bersinar terkena balikan cahaya bulan yang berlatar belakangkan bukit, pantai dan pokok kelapa. Warna hitam, putih dan biru. Menggunakan water color. Jadi bahan rujukan aku juga tu.
Masuk sekolah menengah pula aku suka tengok ukiran kayu yang abang buat. Abang Mat buat ukiran kayu Appolo mendarat di bulan. Ukiran atas kayu lembut ukuran dalam saiz A3 luas dan tebal dalam satu inci setengah. Masa dekat kelas lukisan aku buat ukiran yang sama tetapi kecil sikit. Abang punya lagi cantik dari aku.
Sekali lagi aku dipilih untuk pertandingan lukisan peringkat sekolah-sekolah negeri Pulau Pinang. Masa itu aku di tingkatan tiga. Pertandingan kali ini dibuat di Sekolah Menengah Convent Lebuh Light, Pulau Pinang. Keputusan sama juga macam dulu-dulu hadiah saguhati sahaja. Ada sijil. Aku masih ingat cikgu kata lukis aku batang pokok besar sangat dari budak-budak yang duduk bermain disekelilingnya. Di rumah aku asyik praktis melukis dan mewarna. Tambahan pula aku ambil lukisan untuk peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran.
Beberapa orang guru aku memang pandai melukis. Antara mereka yang aku ingat ialah Cikgu Ayub, dia guru kelas aku di sekolah rendah. Cikgu Ayub juga duduk sekampung dengan aku. Rumah Cikgu Ayub belakang rumah Pak Man Kedai. Aku suka tengok dia melukis di papan hitam. Bila dia melukis nampak senang sahaja. Di sekolah menengah ada juga guru yang pandai mengajar teknik melukis dan mewarna tapi aku tidak ingat nama mereka.
Aku banyak merujuk buku lukisan yang aku beli sendiri. Aku beli komik cerita perang dan juga komik karton untuk aku tiru lukisan mereka. Ada juga aku tiru gambar lukisan dari majalah. Sekali sekala aku pinjam buku tentang lukisan dari perpustakaan sekolah.
Melukis mengajar aku tentang kesabaran, ketenangan, menghargai kecantikan dan susah payah berkarya.
Seni melukis masih ada lagi pada diri aku sampai sekarang. Cuma bila ditinggalkan ianya kian menghilang. Kalau aku ke galeri seni, masa yang aku ambil untuk melihat sesuatu lukisan agak lama. Aku cuba membaca cerita disebalik lukisan.
Kami masa sekolah rendah diajar menulis tulisan sambung dalam pelajaran Bahasa Melayu. Ianya juga satu seni. Tulisan sambung yang paling cantik yang pernah aku lihat adalah tulisan Chu Mat. Dia guru sekolah rendah. Aku tengok tulisan dia yang cantik dalam buku laporan guru. Aku ingat aku seorang sahaja yang perasan, adik aku juga mengakui tentang tulisan Chu Mat. Kalau anak-anak dia masih simpan tulisan bapa mereka tentu menjadi khazanah keluarga yang menarik.
#Tamat. Cadangan aku untuk menyimpan hasil karya seni lukis anak-anak semasa kecil dalam bentuk jurnal fotografi sebagai kenangan mereka nanti.



Ulasan
Catat Ulasan