13. Musim Padi Tiba
13. Musim Padi Tiba
Musim ambil padi telah tiba. Seingat aku musim mengerat padi selalunya musim panas. Aku, abang, kakak, emak dan ayah ada banyak kerja nak kena buat. Salah satu kerja kami adalah menjemur padi.
Pagi-pagi lepas sarapan kami akan hampar kertas plastik baja urea yang telah dijahit menjadi tikar di tepi jalan raya. Kadang-kadang hampar tikar terus atas jalan raya. Sekaki dua atas jalan raya. Masa tu kereta tak banyak. Kereta pun tak akan melenyek padi yang kami jemur. Kenapa kena jemur? Padi yang kering sahaja yang baik untuk dijual. Kalau basah harga padi kena potong kerana ada berat air.
Bila tiba musim mengerat padi tiba. Emak, Mak Tom(isteri Pak Awang), Tok Som (isteri Tok Mat), Ngah (isteri Wa Chin), Mak Timah (isteri Pak Bakar), Mak Cu (Mak Not Keria), dan ada lagi makcik-makcik tetapi sudah tak ingat yang merupakan salah satu gang wanita kampung yang akan pergi mengerat padi. Ada beberapa gang mengerat padi dalam kampung kami. Satu petak, satu petak depa pergi mengerat. Orang lelaki pula pergi memukul padi, atau membanting padi. Padi dipukul di tengah bendang. Pokok padi yang telah dikerat akan diambil beberapa cekak, dililit dengan kain dipangkalnya bagi ketat dan pokok padi tadi dipukul dalam tong padi. Ya pukul padi menggunakan tong padi.
Tong padi dibuat dari kayu. Layar penghalang dari padi tertempias keluar dibuat dari plastik baja urea yang dijahit. Layar ini akan diikat pada tong padi. Separuh tong padi selalunya akan dipasang layar ini. Orang lelaki akan memukul padi pada penahan seperti tangga kecil yang disandar dalam tong ini. Bila dipukul, berderai padi tertanggal dari tangkainya dan jatuh dalam tong. Bila padi sudah banyak dalam tong ianya dipindah dalam guni untuk dibawa ke rumah.
Padi yang di bawa dari bendang akan dijemur dahulu. Itu gunanya tikar tadi yang kami hampar dekat tepi jalan. Pagi-pagi bila matahari naik, itulah masa kami mula menjemur. Setiap jam kami akan cakar padi tadi agar padi yang basah akan berada diatas untuk kena cahaya matahari. Pencakar ini dari pemegang hingga jari pencakarnya semua dibuat dari kayu. Sambil mencakar kami akan buang jerami dan daun yang masih ada di atas tikar. Bagi memudahkan kerja membuang jerami ini ayah selalu mengayak padi. Mengayak padi lebih mudah jika ada angin kerana hampa padi mudah terbang jauh.
Mencakar padi di tengah hari yang panas terik memerlukan kami memakai topi. Kami selalu guna topi mengkuang yang berbentuk seperti kun. Kadang-kadang emak menggunakan kain batik bagi menutup kepala.
Bila padi sudah kering kami bawa masuk ke bawah rumah Wan. Padi dianginkan untuk membuang hampa padi, daun dan jerami halus yang masih ada bersama padi tadi. Bila dianginkan atau kami panggil mengayak padi, padi yang berat akan jatuh terus ke bawah, sementara hampa padi, jerami dan lainnya akan terbang jatuh jauh di hadapan. Hampa padi tu adalah padi yang tidak ada isi.
Sebelum ada kipas elektrik kami guna kipas kayu. Kami memusingkan kipas menggunakan tangan. Bilah kipas ini dibuat dari kayu. Menggunakan konsep basikal, pedal diputar dan rantai memusingkan bilah kipas. Kerja mengipas ini kami lakukan pada waktu malam. Selalunya selepas maghrib sampai tengah malam.
Teringat emak, ayah, kakak, abang dan kadang kala Mak Tom dan Kak Lah datang menolong. Ani, Leha, Not dan Jo ikut datang teman Mak Tom. Kadang-kadang Wa Chin, Ngah dan Chak datang berkumpul. Sambil kami bekerja sambil bersembang bergurau senda sesama saudara. Teh panas dan kadang-kadang cucur udang jadi santapan malam untuk kami semua.
Padi yang dah dianginkan nampak cantik dan elok. Ayah tak lupa untuk asingkan dua tiga guni untuk bayar zakat. Selalu juga ayah minta aku hantar ke rumah orang tertentu di kampung ini sebagai zakat untuk mereka. Ada juga yang akan datang ambil sendiri setiap kali musim padi. Dari kecil ayah dah ajar kami tentang zakat. Alhamdulillah sampai sekarang aku ingat.
Padi ayah jual pada Ah Seng, tokey Cina yang ada kedai runcit di pekan Sungai Dua. Ah Seng dan Ah Thiam dua beradik. Kedua-dua mereka ada kedai runcit. Pekerja mereka semuanya Melayu. Mereka akan datang isi padi dalam guni dan timbang sekali.
Timbang guni padi masa itu guna batu penimbang macam timbang kati cara lama. Cuma batang penimbang besar dan panjang seperti pemegang cangkul saiznya. Ada gelang besi diletak dihujung penimbang. Gunanya untuk masukkan kayu panjang supaya dua orang boleh angkat guni nanti. Seorang lagi akan menggerakan tali batu penimbang bagi mendapat bacaan. Jadi untuk menimbang padi masa itu memerlukan tiga orang pekerja.
Orang yang membuat timbangan padi akan cakap berapa berat guni yang diangkat. Kemudian dia akan tulis pada guni tersebut menggunakan kapur putih berat tadi. Kerja aku pula tulis pada kertas. Kertas tadi sehelai bagi kepada depa dan satu salinan bagi dekat ayah. Petang depa datang lagi bawa lori besar. Dua orang angkat guni dan seorang akan tanggung guni ke lori. Guni dihumban ke lori. Bagi elak guni jatuh depa pakai cangkok besi yang bengkok dan tajam cucuk kepada guni. Semua guni padi yang telah ditimbang tadi depa angkut habis.
Musim padi musim seronok bagi kami. Beberapa guni padi baru ayah simpan dalam bekas padi untuk kami makan nanti. Bekas padi tu orang panggil juga jelapang padi. Kebanyakan orang kampung aku yang buat bendang ada bekas padi. Bila beras di rumah sudah hampir habis, ayah suruh aku ambil satu guni padi bawa ke kilang untuk dimesin. Dapatlah kami beras baru.
#Tamat. Aktiviti musim padi seperti ini tidak ada lagi seperti dulu. Bendang mengingatkan kami tentang jerit perit emak dan ayah yang membanting tulang mencari nafkah menyara kami sekeluarga.



Ulasan
Catat Ulasan