12. Telinga Wan Kenapa?

 


12. Telinga Wan Kenapa?


Kebanyakan orang pernah mengalami situasi kecemasan. Bagaimana kita menghadapi situasi ini apabila ianya berlaku kepada keluarga kita sendiri memang sangat terkesan. Inilah situasi yang berlaku semasa aku masih kecil. Kejadian yang berlaku itu nampak kecil bagi setengah orang tetapi bagi aku ia lekat dalam ingatan.


Selepas makan malam, aku membelek-belek buku sekolah yang hendak dibawa besok. Tiba-tiba terdengar suara Wan memanggil ayah. Awang, Awang. Panggilan itu kuat dan seperti menahan kesakitan. Ayah meluru ke dapur. Buka pintu dan ajak Wan masuk. Kenapa? ayah bertanya. Ni telinga ni ada binatang masuk kata Wan. Orang utara, serangga pun kami panggil binatang. Kami melihat Wan menelekup telinga kirinya dengan tangan. Muka Wan berkerut nampak seperti orang menahan sakit.


Ayah cepat-cepat pergi mencari lampu picit. Bagi kepada abang Mat untuk suluh lubang telinga Wan. Ayah serodek pula dalam laci setboard. Setboard tu meja solek ala sekarang ni. Ayah cari pengepit besi yang tajam hujungnya. Kami selalu guna untuk letak kapas dan sapu cuci luka. Rumah kami masa itu ada dua lampu elektrik sahaja. Satu di dapur dan satu lagi di ruang ibu rumah. Mentolnya 40 watt. Tak terang mana. Wan berbaring di ruang ibu rumah.


Ayah guna penyepit untuk keluarkan serangga dalam telinga Wan. Lama juga ambil masa. Aku boleh bayangkan serangga itu akan masuk lagi dalam bila ia tercucuk atau terkepit. Wan apa lagi terus menjerit sakit. Akhirnya ayah berjaya juga. Serangga dikepit dan ditarik keluar. Nampak, ia nya seperti kumbang air.


Wan bercerita. Katanya tadi maghrib dia pergi masjid. Masjid Pekan Sungai Dua. Wan menjadi imam masjid. Selepas waktu isyak, Wan kayuh basikal balik. Masa itu musim padi membunting. Banyak kupu-kupu dan serangga berterbangan mencari cahaya lampu. Lampu jalan boleh dikira kalau dari masjid ke rumah Wan. Tak banyak. Jadi tentu banyak serangga tertumpu dekat satu-satu lampu jalan. Itulah puncanya. Bila Wan lalu di bawah salah satu lampu ada serangga hinggap dan terus masuk ke lubang telinga Wan.


Alhamdulillah. Ayah nampak lega. Telinga Wan tidak berdarah. Ayah sapu minyak gamat tepi telinga Wan. Sebelum Wan balik ke rumah kami minum dulu. Mak buat teh O panas hidang untuk kami semua. 


Malam itu tak sempat buat apa-apa kerja sekolah. Harap pagi besok sempat laa habiskan di kelas sebelum cikgu masuk. Kalau cikgu Ghazali tanya, aku kena bersedia dengan cerita ini sebagai alasan. Jika dia tak percaya. Aku akan jadi lebih tinggi dari kawan-kawan kerana aku mungkin kena denda berdiri atas bangku.


#Tamat. 1. Segala puji bagi Allah yang menguji  hambanya dan memberi jalan keluar atas segala masalah. 2. Sampai sekarang aku selalu silap sebut. Serangga ka Serengga. 3. Rumah tepi bendang musim kupu-kupu berterbangan masuk rumah jenuhlah jaga takut miang badan.

Ulasan

Catatan Popular