11. Wan Lebai Hamid
11. Wan Lebai Hamid
Antara kita, ada yang masih ada datuk atau nenek dan ada yang sudah tiada. Yang pernah bersama datuk tentu ada kenangan. Rumah datuk jika di kampung tentu berlainan dari rumah kita. Banyak perkara yang kita perhati dan pelajari dari mereka. Kasih sayang mereka tentu berbeza dari ibu bapa kita. Siapa yang sudah bergelar datuk tentu tahu rasanya.
Aku suka pergi rumah Wan. Orang panggil Wan, Lebai Hamid. Wan panggilan Tok lelaki bagi keluarga aku, sementara Tok pula untuk Tok perempuan. Rumah Wan belakang rumah aku. Rumah Wan kalau hendak naik kena panjat tangga. Tangga kecil. Sebelum naik kalau kaki kotor kena basuh dulu. Tepi tangga ada buyung penuh air. Ada gayung kecil buat dari tempurung kelapa. Rumah Wan ni rumah lama. Tiang dari batang pokok hutan. Kebanyakan tiang bulat ikut bentuk pokok. Ada juga batang pokok nibong. Dinding pelupuh. Dari anyaman kepingan pokok buluh. Cantik anyamannya seperi corak kain sampin.
Naik saja ke atas nampak para. Atas para ada banyak kitab-kitab Wan. Wan banyak membaca. Nampak juga longgokan surat khabar Utusan Melayu tulisan jawi. Selalu nampak ayah beli bagi dekat Wan. Sebelah kanan ruang lapang dan ada satu tingkap mengadap hutan bemban dan pokok getah. Dari tingkap itu jelas nampak dapur rumah Tok Meah. Ruang tengah ini bersambung dengan ruang tidur Tok dan Wan. Tiada dinding pemisah. Hanya kelambu di pasang waktu malam. Tilam nipis dan bantal kemas disusun di hujung dinding. Ada sebuah almari. Simpan macam-macam benda di dalamnya.
Tengah rumah tergantung pelita gasoline. Bila malam Wan akan pasang pelita ini. Pelita ini lebih terang dari pelita biasa. Tidak ada jelaga bila ia menyala.
Turun selangkah bawah ada dapur. Luas dapur ni. Dari dapur boleh keluar. Ada pintu dan tangga untuk turun ke bawah. Kalau dari pintu ini boleh nampak reban ayam Tok di sebelah kiri dan hutan bemban Cikgu Zakaria di arah depan serta rumpunan pokok pandan dan pokok nangka di sebelah kanan.
Ruang awal masa naik tadi adalah tempat aku suka duduk dan lepak dengan Wan. Kadang-kadang dengar Wan berwirid. Kadang-kadang dengar Wan beratip atau berzikir. Aku suka Wan kerana dia suka bercerita. Cerita nabi-nabi paling aku suka.
Aku teringat bermain permainan monyet pukul drum. Mainan berwarna merah. Aku pusing pemutarnya dua tiga kali pusing dan lepaskan. Monyet pun memukul drum dan menghentak cymbal (perkataan yang baru aku dapat bila search Google apa nak panggil benda tu) sambil kepalanya melenggok-lenggok mengikut irama gendang. Aku tidak banyak mainan masa tu. Mungkin sebab itu aku boleh ingat sampai sekarang. Terbayang-bayang aku bermain dekat dengan ruang yang aku lepak dengan Wan.
Wan suka hisap paip. Sambil hisap dia banyak berbual dengan aku. Dia suka tembakau cap nanas. Banyak tin tembakau kat rumah. Pak Cik Zain anak menakan Tok bila datang dari Naga Lilit selalu bawa tembakau kesukaan Wan. Senyum lebar Wan bila tahu Pak Cik Zain datang.
Wan sekali sekala ada membuat pengajian di rumah. Pernah dia mengajar sifat 20. Beberapa minggu juga pengajian dia. Orang kampung tak panggil kuliah atau kelas tetapi depa sebut "baca kitab". Anak murid semuanya orang kampung. Kebanyakan wanita. Pangkat mak mak semuanya. Aku masih kecil. Aku tunggu sahaja dekat bawah rumah dan main dengan mainan aku. Kadang-kadang aku naik ke atas beranda. Jengok dekat dalam dengar apa yang depa tengah belajar. Dengar juga Wan bercerita. Yang aku ingat perkataan Wan; Ada, tiada, mustahil baginya.
Wan baca kitab pada petang jumaat. Aku suka kelas dia. Sebab apa? Lepas kelas ada makan-makan. Style potluck. Semua anak murid bawa juadah. Ada kueh karia, ada cucuq udang, cucuq bawang, tepung talam, bengkang, goreng pisang dan macam-macam ada. Tok cuma buat air panas, kopi O dan teh O saja.
Apa lagi habis kelas yang tadi dengar suara Wan seorang saja bercakap, kini jadi riuh dengan suara mak cik-mak cik bercerita hal depa pula. Aku sambil mengunyah kueh, pasang telinga juga mendengar macam-macam cerita. Nasib cerita depa aku tak ingat dah. Kalau tidak jadi bahan cerita kat sini pula.
#Tamat. Nak dengar orang baca kitab masa dulu, depa kena rajin cari Tok Guru. Tok Guru tak ramai. Kalau depa dengar ada orang baca kitab dekat kampung lain pun depa akan pergi belajar.



Ulasan
Catat Ulasan