09. Bacaan waktu kecilku
09. Bacaan waktu kecilku
Pada suatu hari aku, isteri dan anak berjalan kat pedestrian zon dalam satu bandar di luar negara. Kami ternampak sebuah bangunan baru yang cantik dan unik. Ia sebuah perpustakaan awam. Kami bercadang untuk masuk. Pertama kali masuk bau enak aroma kopi yang kami hidu. Ingatkan bila masuk nampak buku tetapi nampak cafe dahulu rupanya. Di dalamnya ada satu section khas untuk kanak-kanak. Ada sesi bercerita pada masa tu. Ibu-ibu muda bersama bayi mereka berkumpul mengadap pustakawan. Ramai sekali. Ada juga yang membawa stroller. Pandai pustakawan bercerita, nampak tindakbalas bila diminta.
Biar anak-anak meneroka, betapa banyak ilmu di dunia. Biar mereka sentuh gajet-gajet yang ada, berangan, bercakap sendiri. Mereka sedang input pelbagai daftar kata, cerita alam purba, sains dan teknologi, cerita dongeng dan sejarah. Bila minat tentang ilmu, maka timbul minat untuk membaca. Persekitaran membentuk mereka. Sambil mereka membesar kita bentuk akhlak mereka.
Teringat aku masa kecil, pergi rumah Pak Ngah Zakaria. Dia cikgu. Di rumah dia banyak buku. Ada rak khas koleksi buku-buku yang aku rasa lebih bernilai tinggi. Aku suka baca koleksinya tentang Sukarno. Pak Ngah juga seorang penulis. Buku beliau bertajuk Ahad diterbitkan oleh DBP. Masa itu ejaan bahasa Melayu lama lagi.
Selain itu aku suka pergi rumah Wa Chin. Dia ada almari kecil khas untuk buku-buku. Di sini aku suka baca koleksi Reader's Digest dan National Geographic. Memang lamalah kalau sekali lepak. Siap minum sekalilah jika singgah.
Sekali sekala aku pergi rumah Chak, sebelah rumah saja. Banyak koleksi majalah Life diletak di beranda rumahnya. Majalah Life banyak gambar. Ada banyak cerita tentang sains dan panorama Amerika di dalamnya.
Sebuah lagi rumah tumpuan aku adalah rumah Kak Chak Mah. Setiap Jumaat atau Sabtu aku akan singgah. Mereka melanggan majalah Dewan Pelajar dan Utusan Pelajar untuk anak mereka. Aku tumpang dan guna sepenuhnya untuk persediaan peperiksaan SRP aku.
Itulah perpustakaan aku. Semua dalam kampung. Koleksi mereka menjadi sumber bacaan tambahan aku. Semoga semua ilmu yang aku perolehi dari bahan bacaan yang mereka miliki menjadi pahala buat mereka semua. Aamiin.
#Tamat.



Ulasan
Catat Ulasan