06. Ramadan & Jumaat - tiada biasa begini
06. Ramadan & Jumaat - tiada biasa begini
Hari ini khamis sudah 21 Ramadan 1441 Hijrah. Besok Jumaat. Kita sudah dengar masjid di Perlis, Perak dan Wilayah Persekutuan akan mula bersolat Jumaat setelah PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dikuatkuasakan akibat Covid-19. Tidak ramai yang dibenarkan bersolat paling ramai 12 orang dengan kaedah yang paling cepat untuk diselesaikan. Memang kita tidak biasa begini. Tetapi itulah hakikatnya yang kita perlu terima.
Teringat masa kecil, pergi solat di masjid pekan Sungai Dua. Sekarang masjid lama ini tidak digunakan lagi. Telah diganti dengan masjid baru. Dahulu mulanya pergi solat Jumaat naik basikal bonceng dengan ayah. Kadang basikal pelantar besar dan kadang basikal kecil. Bila besar sikit berbasikal sendirian. Selalunya kalau hari Jumaat apabila selesai solat, aku akan singgah di pekan untuk beli ais ketul. Balut dengan surat khabar supaya tak cepat cair. Harga masa tu dalam dua kupang separuh dulang bekas ais. Beli kat kedai Not. Beli sekali dengan air botol F&N orange atau Fanta Strawberry. Segarnya panas panas balik Jumaat minum ais sambil makan tengahari.
Masjid lama masa itu ada kolah besar untuk jemaah ambil wuduk. Kolah, marmar berwarna hijau muda. Ada tabuh besar disebelah luar kanan ruang solat. Tabuh ini akan dipukul bila masuk waktu solat. Tabuh juga akan dipukul jika ada berita kematian di kampung kami. Selalunya yang memukulnya Pak Hakim, siak. Orang yang sangat baik dan berbudi bahasa. Selalu nampak dia berbasikal ke masjid.
Diluar masjid betul-betul hadapan tempat imam ada sebuah kubur lama. Ada batu nisan. Ada pokok kemboja ditanam sebelah kubur ini.Tidak pasti samada ada kaitan dengan tanah masjid ini diwakaf oleh arwah.
Masjid ini separuh kayu separuh batu. Tiang kayu. Sebelah kiri bangunan dibuat tambahan sekitar tahun 80an. Ingat kerana tengok ayah dan beberapa orang tukang buatkan tambahan dinding dan tingkap masjid.
Bulan puasa, masjid pasti meriah. Selalunya ada moreh pada setiap malam. Ada pergiliran penduduk yang membiayai moreh ini. Menu yang saya masih ingat adalah laksa, bihun sup, mee goreng, bihun goreng, cucur udang kuah kacang, pak tongko atau char koai kuah kacang dan bubur kacang roti benggali.
Malam 27 Ramadan selalunya ada kenduri. Lepas solat taraweh 20 rakaat dan witir akan ada jamuan. Penuh masjid malam itu. Awal pagi selalunya ayah dengan penduduk kampung seperti Pak Bakar, Wa Chin, Pak Hakim, Pak Pin, Pak Senoh, Pak Man Kedai, Pak Cik, ustaz Not, Pak Din, Pak Man, Cikgu Yusof, Pak Dali, Pak Jid, dan ramai lagi penduduk Kg Telok dan Pangkalan Machang akan bantu menyediakan masakan. Selalunya dia orang masak samada nasi tomato, atau nasi daging atau nasi minyak. Oleh kerana ayah yang jadi tukang masak, anak dia tukang kacau di periok jaa laa.
Malam 27 Ramadan kampung akan cantik dengan lampu lip lap atau lampu hiasan. Ada yang susun lampu minyak tanah di hadapan dan lorong rumah. Ada yang kreatif buat pelbagai bentuk arca, bulan bintang berwarna warni. Bunyi meriam buluh kuat terdengar dari belakang rumah aku. Kadang-kadang dari kanan rumah. Sayup-sayup dengar bunyi dentuman dari kampung sebelah Permatang Sg Dua, Permatang Che Tak dan Sg Lokan. Percikan bunga apa dari kampung Permatang Sg Dua boleh nampak dari rumah aku kerana depan rumah hanyalah sawah padi. Masa kecil kami main bunga api dan mercun roket. Masih ingat ada mercun roket bila meletup di udara akan ada payung terjun kecil terbakar jatuh ke dalam bendang. Mercun kecil merah dan mercun lada memang banyak. Pagi-pagi halaman rumah merah dengan kertas bakaran mercun. Memang seronok masa itu. Kenangan masa kecil hanya dapat dizahirkan dalam tulisan. Tiada lagi peluang kedua. Begitulah kenyataan hidup ini.
#Tamat.



Ulasan
Catat Ulasan