05. Pie jadi rebutan

 


05. Pie jadi rebutan


Subuh 23 Ramadan 1441 Hijrah. Hujan selebat-lebatnya dan guruh berdentum-dentum di langit. Melihat posting hari ini dapatkah aku merasai sebiji pie jadi rebutan. Bukannya begitu. Sebiji pia makanlah bersama. Tak perlu berebut. Sekadar merasa. Manis, masin, lemak. Tentu mulut akan berkata terima kasih, alhamdulillah sedap. Merasai yang sedikit nikmatnya lebih. Ucapannya bersih. Syukurnya tinggi. Kasih sayangnya hebat. Sambil makan Strawberry pie ini kami sekeluarga menikmati pemandangan cantik di Boh Plantation Cameron Highland. Itu cerita tahun lepas.

Teringat masa kecil dahulu, kakak selalu akan pergi ke kelas masakan pada hari sabtu. Program selalunya akan dibuat pada sebelah petang bertempat di balai raya yang terletak berhampiran Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Dua. Penganjuran KEMAS. Ada sedikit yuran yang dikenakan. Aku selalu menunggu kakak balik kerana dia akan bawa apa yang dimasak di kelas pada hari itu. Dapatlah kami merasai sedikit hasil usahanya. Selalu dapat makan kek. Semuanya sedap. Masa kecil senang. Semua orang bagi sedap. Tak complain.

Suatu budaya di kampung aku adalah apabila ada majlis perkahwinan maka jiran-jiran akan menyediakan barang hantaran tambahan untuk diberi kepada rumah yang buat kenduri. Tuan rumah akan menerima segala macam makanan yang dihias. Kemahiran dari apa yang dipelajari menjadi keyakinan kepada penduduk untuk bersama-sama menyumbang. Kek, agar-agar, buah-buahan. Semua barang hantaran ini akan diberi kepada keluarga besan. Sebaliknya hantaran yang diterima dari sebelah besan pula akan dipotong-potong dan diberi kepada jiran-jiran. Jadi masa kecil macam-macam kami dapat makan. Begitulah kehidupan kami di kampung. Persekitaran kami membentuk jiwa dan jatidiri kami. Tak perlu berebut. Walaupun sedikit rasailah bersama kerana semuanya itu telah ditentukan rezekinya.

#Tamat.

Ulasan

Catatan Popular