01. Lokan di Hutan Nipah

 



01. Lokan di Hutan Nipah

Hari ini cuti sekolah. Pagi-pagi lagi aku telah bersedia dengan memakai T Shirt dan seluar panjang lama. Aku membawa sekali bekalan air kosong dan satu karung plastik bekas baja urea. Tangan aku mencapai sabit rumput yang tangkainya diperbuat dari kayu bulat yang panjang sampai ke pinggang. Langkah aku pada pagi ini lebih bersemangat. Pertama kali Chu Mat mengajak aku pergi mencari lokan. Kami berkumpul di bawah rumah Tok Su Yaakob. Aku, Chu Mat, Mat Chak, Bae, Maei Pak Hashim sudah bersiap dengan barang masing-masing. Aku tidak ingat samada Pak Long Mat ikut sama ataupun tidak.


Kami bergerak ke belakang kampung melalui kebun getah Tok Som. Nampak bekas kubur lama. Dulu berhampiran kubur itu ada surau. Kemudian ianya dipindahkan ke pekan Sungai Dua. Kami menyusuri kebun Pak Mud. Beliau menanam ubi kemili. Luas kawasannya. Apabila musim menuai kami sering pergi sama-sama bungkaskan tanah dan mengutip hasil ubi kemili beliau. Beliau menjual dengan harga yang murah kepada kami.


Kami bergerak melepasi kebun Pak Mud dan kini kami melalui semak samun sebelum sampai ke kawasan pokok-pokok nipah. Bermulalah misi kami. Sekeliling kami pokok-pokok nipah dan kawasan tanahnya yang kami pijak pula lembab dan lembik. Aku mengambil kasut sliper getah aku dan masukkannya ke dalam karung baja yang aku bawa. Langkah kami agak perlahan kerana setiap kali melangkah kami kaki kami akan terbenam ke dalam selut. Chu Mat membawa kami ke Alor Tok Perlis. Alor itu laluan air yang seperti parit sahaja dan ianya akan bertemu dengan sungai. Alor Tok Perlis mengalir sampai ke Sungai Perai.


Kami sudah berjumpa kawasan-kawasan yang banyak lokan. Ada yang kami boleh nampak lokan ini dengan jelas kerana ianya berada di atas tanah, ada darinya berada separuh di luar dan separuh badannya berada di dalam selut dan ada yang keseluruhannya terbenam di dalam selut. Sabit yang aku bawa selain digunakan untuk memotong ranting-ranting semak semasa aku berjalan tadi, ianya juga lebih penting untuk aku garis-gariskan pada selut bagi mencari lokan. Bila mata sabit terkena lokan ianya akan berbunyi seperti pisau terkena batu. Jika mengharapkan mata kasar atau meraba-raba dengan tangan di dalam selut memang susah untuk mendapatkan lokan ini.


Ada kala apabila kami sampai di alor ini selutnya bertambah lembik. Aku terbenam sampai ke paha dan aku perlu meranduk air dan selut. Kami kena pandai menggunakan batang nipah untuk memijaknya bagi memudahkan kami bergerak. Dalam kami bergerak mencari lokan, kami terserempak dengan abang Chop Tok Mek yang menetak daun nipah. Daun nipah merupakan bahan utama untuk membuat atap dan ianya merupakan satu perusahaan yang lakukan di kampung kami.


Dalam kami bergerak mengais selut, tiba-tiba Mat Chak berbisik, ada tapak harimau laa. Harimau kumbang kut. Kesan tapak binatang jelas di depan mata kami. Semua kecut. Bukan laa kata Chu Mat. Ini tapak memerang. Tengok tahi dia banyak dekat sana. Lega kami. Bersemangat balik untuk kami terus bergerak ke hadapan.


Asyik kami mencari lokan, tiba-tiba Chu Mat berkata yang dia tak jumpa jalan balik. Panik sekejap. Dalam hutan nipah, kiri kanan nipah. Mana hendak tahu di sebelah mana kampung dan di sebelah mana sungai. Hutan nipah luas.


Kami tidak boleh menunggu. Kami terus sahaja bergerak sehingga bertemu dengan sepohon pokok yang agak besar. Chu Mat meminta Mat Chak memanjat pokok dan mencari arah. Mat Chak cepat sahaja memanjat. Dia memberi tahu yang sebelah kirinya ada kedengaran bunyi kereta. Ini bermakna di sebelah situ ada kampung. Lega sikit kerana sudah tahu arah mana hendak dituju.


Plastik baja yang aku bawa sudah berat dengan lokan. Dahaga dan lapar. Dah pukul dua petang rasanya. Matahari dah condong. Kami terus bergerak dan akhirnya kami bertemu dengan lorong yang kami mula-mula masuk pagi tadi. Alhamdulillah. Letih dan penat mengisi pengalaman pertama kali mencari lokan. Badan berlemuih dengan selut tetapi hati rasa seronok sangat. Sampai di rumah, aku rasa bangga betul tunjukan dekat emak hasil lokan yang aku cari. Masak apa ya yang sedap? Dah tak ingat mak masak apa tah. Tapi yang pasti dua tiga biji lokan itu aku bakar. Baunya dan rasa manisnya aduh menitis air liur bila dikenangkan kembali. Lain kali kalau depa ajak aku hendak pergi lagilah bisik aku dekat mak.


#Tamat. Selepas itu beberapa kali jugalah aku mengikut mereka pergi mencari lokan lagi..

Ulasan

Catatan Popular