36. Mengurus masa yang masih ada

36. Mengurus masa yang masih ada

Bila sebut tentang pengurusan masa, ramai yang malas nak baca kerana sudah berkali-kali diperingatkan sejak dibangku sekolah lagi. “Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian.  Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran ” terjemahan surah Al-‘Asr ayat 1-3.

 

Kalau menulis tentang pengurusan masa selalu kita akan membandingkan dengan pelajar. Memang benar bahawa pengurusan masa sangat berkaitan dengan pencapaian atau prestasi akademik pelajar. Sebenarnya pengurusan masa ini ada yang kata ia berkaitan dengan kemahiran menguruskan kehidupan atau kualiti kehidupan seseorang. Hasilnya kegembiraan, kepuasan hidup serta kurang menghadapi tekanan. Kecekapan dan produktiviti akan nampak peningkatannya bila faktor pengurusan masa diambilkira pada seseorang. Maknanya pengurusan masa ini bersifat peribadi, ianya disiplin diri. Kita buat kita dapat.

 

Masa bekerja, pengurusan masa ditekankan kepada keutamaan menguruskan tugas yang “perlu lakukan”, “patut lakukan” dan “boleh lakukan”. Keutamaan ini menekankan kepada tahap tugas-tugas yang sedang dihadapi dan apakah tindakan yang sepatutnya pekerja tersebut buat. Selalunya kerja yang kritikal, ada kesan kepada pelanggan, ada tarikh akhir dan kerja yang memberi peluang kepada peningkatan kerjaya menjadi kerja “perlu dilakukan”. Kerja “patut dilakukan” selalunya tidak ada tarikh akhir dan ia membantu memperbaiki mutu kerja staf. Sementara kerja “boleh lakukan” merupakan kerja yang boleh dipanjangkan jangkamasanya , menyeronokkan dan boleh ditangguhkan.

 

Sekarang ini kebanyakan temu janji menggunakan Apps. Apps sangat menyenangkan kita. Tidak perlu lagi ke kaunter. Isikan sahaja dalam apps, tarikh dan waktu untuk kita hendak menghadiri temujanji. Contohnya kalau kita hendak service kereta. Apps menunjukkan tarikh dan masa yang masih tersedia untuk menerima temujanji kita. Apps juga membantu kita apabila orang luar hendak berurusan dengan kita. Bila kita bersedia atau senang untuk ditemui. Contohnya bila perkhidmatan menukar filter air tapisan di rumah kita. Pekerja mudah mengaturkan kawasan yang mereka akan pergi membuat perkhidmatan, masa yang akan mereka sampai ke rumah kita dan jangkamasa yang mereka akan ambil dalam membuat perkhidmatan tersebut.

 

Ada satu kajian tentang pelajar tahfiz, iaitu kajian bagi mengetahui pendapat mereka tentang masa yang paling baik untuk mengulang hafalan Al-Quran. Jawapan paling tinggi bilangannya adalah di awal pagi. Sebab itulah mereka digalakkan bangun seawal pagi bagi memantapkan hafalan al-Quran. Ramai yang berpendapat bahawa masa yang diambil untuk hafalan adalah lebih dari 1 jam. Hasil kajian mendapati ada yang menghafal ikut juzu’, ada yang melakukannya mengikut masa sendiri untuk menghafal, ada yang menanda pada ayat yang mereka lupa, ada yang cuba habiskan hafalan mengikut ketetapan setiap hari, ada yang akan berusaha memahami makna setiap ayat yang dihafal, dan ada yang mencari guru bagi membantu hafalan.

  

Saya pernah terbaca bahawa pengurusan masa ini bagi orang Islam sudah bermula dengan solat 5 waktu. Datang awal ke masjid atau surau dan solat diawal waktu. Itu sudah bermulanya pengurusan masa setiap hari. Selalu bila kerja kita buat mesyuarat tanpa fikir bahawa kita sudah ada jadual khusus untuk solat yang sebaik-baiknya pada awal waktu. Tetapi kita jarang ambil kira tentang waktu solat dan kita meleretkan masa mesyuarat hingga waktu solat sudah sampai hujungnya.

 

Pengurusan masa itu bukan kepada jam yang kita kehendaki sahaja tetapi kepada ketepatan masa yang kita akan laksanakan. Kalaupun sudah ditentukan jadualnya tetapi ketepatan kita untuk melaksanakan apa yang dirancangkan perlulah tepat maka barulah terjadinya pengurusan masa yang berkualiti. Cuba uruskan waktu-waktu untuk waktu makan, sarapan, makan tengahari, minum petang, makan malam dan supper. Menguruskan perjalanan kenderaan kita di lebuhraya dengan bilangan kenderaan yang bertambah setiap hari. Hari apa yang sesuai untuk bergerak. Hujung minggu? Jumaat? Mengurus masa menjaga orang tua! Sebenarnya hidup kita ini perlu dirancang perjalanannya. Kalau kita tidak merancang, orang lain yang akan merancangkannya untuk kita.

 

Rujukan:

Kadir, M. N., Yauzi, M. Y. ., Mohamed Salleh, D. A. M. ., & Wan Ibrahim, W. M. H. . (2021). TEKNIK PENGURUSAN MASA MENGULANG HAFAZAN AL-QURAN DALAM KALANGAN PELAJAR TAHFIZ MARSAH JOHOR. QIRAAT: Jurnal Al-Quran Dan Isu-Isu Kontemporari4(2), 41–50. Retrieved from http://qiraat.kuis.edu.my/index.php/qiraat/article/view/2

 

WAN ALI, W. Z., MD. YUNUS, A. S., HAMZAH, R., ABU, R., AHMAD TARMIZI, R., MD. NOR, S., ABU BAKAR, K., & ISMAIL, H. (2008). KEMAHIRAN PENGURUSAN MASA PELAJAR UNIVERSITI TEMPATAN: STATUS DAN HUBUNGANNYA DENGAN PENCAPAIAN. Sains Humanika49(1). https://doi.org/10.11113/sh.v49n1.298

 


Ulasan

Catatan Popular