04. Singgah sekejap - sekolah
04. Singgah sekejap - sekolah
Teringat kawan-kawan semasa di pantai Bagan Ajam, Butterworth. Masa ini diadakan program Muhibbah antara sekolah-sekolah melibatkan pelbagai sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan. Bertujuan bagi mendekatkan perhubungan kaum kesan dari peristiwa 1969.
Dua tahun lepas pula sedang aku duduk menikmati makanan di Warung Tok Mek di Beseri Perlis, aku perasan seseorang. Dia bersama satu rombongan kawan-kawan berhenti makan di situ. Aku menegur dan cuba meneka namanya. Memang betul dia Ghazali. Ketua murid Sekolah Kebangsaan Sungai Dua tahun 1970. Dia kata ada reunion dengan kawan-kawan sekolah asrama. Aku teringat. Pada tahun 1971 aku pula dilantik sebagai Ketua Murid. Sebagai Ketua Murid, pagi Isnin hari perhimpunan. Maka aku selalu akan berada di atas platform batu dan mengarahkan kepada kawan-kawan dengan kata-kata "Murid, angkat tangan dihadapan, luruskan barisan, jatuhkan tangan. Lagu Negaraku. satu dua tiga." maka kami pun bernyanyi beramai-ramai. Habis nyanyi guru besar akan beri ucapan.
Pada masa itu kalau masuk sekolah melalui pintu pagar utama kita dapat lihat disebelah kanan tempat letak basikal, bangunan rumah guru berkembar disebelah luarnya dan selepas itu kantin sekolah. Sebelah kiri padang mainan ada buaian, jongkang jongkit, besi palang untuk bergayut. Kemudian padang lapang untuk perhimpunan. Sekolah masa itu ada lima bangunan. Bangunan lama dua tingkat, bangunan baru satu tingkat, bangunan rumah guru berkembar, satu bangunan tandas murid dan guru, satu bangunan kayu tambahan kecil yang pada asalnya dijadikan kantin sekolah. Bangunan kantin baru dibina di belakang sekolah. Maka bangunan kantin lama ditukar jagi bilik darjah. Aku pernah belajar dalam bilik darjah itu.
Sekolah kayu dua tingkat selain kelas ada bilik guru dan bilik guru besar di tingkat atas. Di bawahnya juga ada kelas, bilik Seni Lukis dan juga sebuah bilik perpustakaan. Tangga sekolah adalah tangga kayu. Aku pernah belajar di tingkat atas dan di tingkat bawah. Kalau pelajar diatas atas berlari kami di bilik bawah boleh dengar gegaran dan kebisingannnya. Masa darjah 6 baru dapat belajar di kelas dekat bangunan baru.
Mengimbau kenangan di sekolah rendah aku teringat beberapa orang Guru Besar yang berkhidmat masa aku belajar. Mereka adalah Cikgu Zakaria Salleh, Cikgu Othman Abu Bakar, Cikgu Muhammad Said dan Cikgu Wan Hj Kassim. Kerani sekolah masa itu Pak Njang Nan. Guru kelas saya adalah cikgu Ghazali, Cikgu Rahman, Cikgu Omar, Cikgu Ayub, dan Cikgu Fauziah. Guru bahasa Inggeris Cikgu Md Noor, Cikgu Rahman dan Cikgu Azmi. Guru agama ustaz Mat Isa.
Kawan-kawan kelas yang masih aku ingat nama mereka adalah Fauziah Najib, Fauziah Saad, Ahmad Rohani, Fatimah, Noorini Awang, Ghazali Din, Noordin, Toi, Khalilah Khalid, Yusop, Saad, Suraya Abdul Rashid, Salmah, Fauzi, Azmi, Sobri, Azhar, Mansor, Zul, Saad dan Arif Shah. Semoga mereka dalam rahmat dan kasih sayang Allah selalu.
#Tamat. Semasa sekolah cikgu nampak potensi kita. Kita nampak guru yang sayang kita dan garang dengan kita. Yang tidak nampak kita nak jadi apa. Bila Google jumpa link ini baru aku tahu tahun 2020 ini sekolah ini berusia 160 tahun MasyaAllah. Boleh lihat di link ini http://sksungaidua.edu.my/?page_id=20 Syukur alhamdulillah sejarah sekolah masih dapat di simpan dengan baik. Nama bapa saudara aku sebagai guru besar pun ada, Cikgu Md. Yusop bin Hamid.



Ulasan
Catat Ulasan