03. Musim durian berlalu
03. Musim durian berlalu
Bila durian bukan lagi pilihan. Semuanya bagi saya sudah berlalu, sekadar mencium bau menjilat rasa. Itu sahaja. Bukan seperti dulu-dulu pantang musim durian tiba, pulut ditanak santan dipanas durian dikopek jadi sarapan bersama keluarga. Musim Durian (bagi diri ini sudah) Berlalu.
Dulu masa kecil selalu ikut Tok Tam masuk kebun selepas hujan lebat kerana durian luruh kerana angin kencang. Ada dua tiga pokok durian yang besar dan tinggi. Kadang-kadang waktu pagi dan kadang kala waktu petang pergi sendiri mencari rezeki kut kut ada. Tupai pun banyak. Ada yang luruh tinggal kulit sahaja bukan rezeki kita.
Mak Cikgu Zakaria (saya panggil Nenek) jiran sebelah rumah bila musim durian selalu juga buat kenduri tahlil musim ini. Sudah tentu hidangan pulut durian. Taruh santan gaul dengan tangan, ha ha ha hingga menjilat jari. Durian kebun sendiri buahnya elok, enak rasanya. Masa itu berapa pinggan pun rasa tak cukup. Bila sendawa aduh maaf dipinta. Baunya orang tak suka. Buah-buah lain pun ada rambutan dan manggis penuh raga.
Bila waktu tahlil bau durian dah buka selera. Belum makan lagi terbayang sedapnya. Kami budak-budak duduk satu kumpulan. Mid adik Mak Ngah Laili, Haris cucu Long Embon, Abang Pa, Ismail Hashim, Abang Sabri Onn, Not Keria, Abu, Bidi, Abang Mat dan lainnya mengaminkan doa. Tok aku Lebai Hamid baca doa yang lain pun ada. Ayah, Wa Chin, Pak Ngah Mei, Pak Ngah Aeeil, Lebai Mat, Pak Hashim, Pak Chik, Pak Man Kedai, Pak Din, Pak Uih, Cikgu Mat, Chu Mat, Pak Hakim dan orang masjid lain pun turut serta. Riuh suasana menikmati durian. Penuh gembira satu kampung muafakat terbina.
Kini ia bukan lagi musim yang ditunggu. Hanya melayan anak-anak dan cucu. Mereka pun laa ni dah pandai layan diri sendiri. Aku pula dah kena jaga kesihatan diri. Cukuplah sekadar satu dua. Nikmat bau pun dah cukup selesa.
#Tamat. Maaf dipinta jika gambar mengganggu mata.



Ulasan
Catat Ulasan