02. Rindu : mereka membesarkan aku

 


02. Rindu : mereka membesarkan aku

Setiap kali hendak sambut hari raya pasti kami sekeluarga sibuk. Ada kala ayah bawa aku ke Tanjung pergi beli baju, seluar dan kasut baru. Naik bas, naik feri. Masa tu terminal Butterworth feri kena panjat tangga kayu. Bila panjat bunyi kasut bising. Ramai orang. Pergi Penang road naik bas. Sana banyak kedai. Senang pilih. Aku tak cerewet. Ayah tanya, aku kata ok. Ukur saiz, jalan. Teringat juga ada sekali beli baju batik, seluar pendek dan kasut Bata. Lepas beli ayah bawa makan nasi kandar. Ada kala makan laksa dan cendol sebelah Chowrasta Market.


Mak pastikan seluar dan baju kemas. Gosok pakai sterika arang. Kadang-kadang kakak yang gosokkan. Bila pakai baju dan seluar, kakak yang akan kemaskan baju bagi lagi kemas. Bila beraya aku ikut saja kakak kemana mereka bawa. Mak bekalkan juadah untuk hantar rumah jiran terdekat. Ketupat dan rendang ayam tuu biasa laa. Semua rumah jiran kampung aku pergi. Dapat makan dan dapat duit raya itu yang seronok sekali. Duit raya tiada sampul. Lepas salam, jiran akan hulur, kalau dapat 20 sen kira rumah tu orang kaya. 10 sen biasa. Tak dapat langsung jarang-jarang ada.


Kenangan itu aku tulis kerana rindukan mereka semua. Emak dan ayah telah tiada. Tetapi bila rindu ku titipkan doa semoga Allah ampuni dosa dan rahmati mereka.


Siapa yang masih ada ibu bapa tercinta. Buatlah apa yang mampu bagi mereka gembira. Sungguh, jasa mereka tiada mampu dibalas dengan apa yang kita ada.


#Tamat. "Ya Allah ampunilah dosa kedua ibu bapa ku yang telah membesar dan mendidik ku sejak dari kecil lagi" ... Aamiin.

Ulasan

Catatan Popular